alat gembur tanah

Rotovator bantu petani produktif, jimatkan masa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pertanian kaedah fertigasi kebiasaannya menggunakan cocopeat atau sekam padi sebagai media tanaman yang diletakkan di dalam polibeg.

Selepas proses menuai, cocopeat di dalam polibeg berkenaan biasanya akan digemburkan semula bagi pusingan penanaman seterusnya.

Bagaimanapun sejak sekian lama, proses berkenaan menjadi salah satu isu yang dihadapi petani fertigasi, memandangkan proses menggembur mengambil masa lama, sekitar sebulan hingga 40 hari.

Ia sekali gus menjadikan pusingan tanaman petani kurang efisien selain meningkatkan kos operasi.

Menyedari permasalahan itu, Agen Pengembangan Tanaman, Sahabuddin Samsudeng bersama kumpulannya membangunkan inovasi alat penggembur tanah lebih praktikal, Cocopeat Rotovator.

Inovasi ini menggantikan cangkul dalam kaedah manual itu memudahkan petani menggemburkan cocopeat dengan kadar yang lebih cepat sekali gus mengurangkan kos operasi.

“Alat ini diperbuat dari bahan terbuang sahaja seperti besi terpakai, plate belakang mesin rumput yang sudah tidak digunakan lagi dan gerigi.

“Ia boleh menggemburkan tanah secara terus di dalam polibeg selain mampu memotong akar lebihan tanaman atau tunggul lama,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis Hari Inovasi Jabatan Pertanian baru ini-baru ini. Menariknya, inovasi daripada bahan terbuang itu hanya membabitkan kos sekitar RM20.

Dalam majlis itu inovasi Cocopeat Rotovator, berjaya merangkul pingat emas.

JIMAT MASA

Maklumbalas diterima daripada petani yang sudah menggunakan inovasi itu juga memuaskan.

Antaranya adalah ia dapat menggembur, memutuskan akar dan menghancurkan sisa tanaman dengan mudah.

Sahabuddin berkata, inovasi itu diaplikasikan kepada kelompok Usahawan Projek Fertigasi di Kampung Bukit Kenau yang mempunyai 7,500 bilangan polibeg dengan pelbagai jenis tanaman seperti cili besar, timun dan bendi.

“Maklumbalas kami terima sangat memberangsangkan. Dengan menggunakan alat ini, petani dapat menjimatkan masa daripada sebulan lebih kepada hanya beberapa hari.

“Secara purata mereka mampu mengembur sebanyak 1,000 polibeg dalam masa hanya dua hari menjadikan mereka dapat memulakan pusigan tanaman seterusnya dengan lebih cepat.

“Petani dapat mengurangkan kos pekerja kerana kadangkala ada petani mengupah pekerja untuk menggembur tanah dan upah juga agak tinggi memandangkan ia mengambil masa lama,” jelasnya lanjut.

Inovasi berkenaan turut membantu mengurangkan keletihan petani memandangkan ia dapat dibuat terus di dalam polibeg serta memerlukan tenaga kerja minima.

Kebiasaannya, kaedah manual memerlukan petani untuk membuang satu-satu cocopeat di dalam polibeg ke atas tanah dan digembur menggunakan cangkul.

Kemudian, petani perlu memasukkan semula cocopeat di dalam polibeg secara satu persatu untuk digunakan semula dan mereka juga perlu mencabut dan membuang tunggul atau sisa secara manual.

PENGGUNAAN DIPERLUAS

Mengenai perancangan ke hadapan, Sahabuddin berharap inovasi itu dapat diperluas ke peringkat nasional.

Penggunaan itu bukan sahaja memudahkan proses penanaman fertigasi, malah menarik lebih ramai anak muda terutamanya untuk menceburkan diri dalam dunia pertanian sementelah pertanian adalah perniagaan.

Penglibatan lebih ramai pihak dalam industri pertanian juga secara tidak langsung dapat menyumbang kepada keterjaminan makanan yang menjadi kebimbangan rakyat pada ketika ini.

Penghasilan kos inovasi murah juga memungkinkan ia digunapakai oleh sesiapa jua.

Hanya bermodalkan barangan terpakai sekitar RM20, sudah mampu menghasilkan penggembur tanah yang boleh membantu menjimatkan keringat petani.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya