‎‎Mohamad sahabat akrab saya - Muhyiddin - Utusan Malaysia

‎‎Mohamad sahabat akrab saya – Muhyiddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Allahyarham Tan Sri Mohamad Aziz seorang sahabat yang selalu mengambil berat tentang rakan-rakan dan sentiasa memberikan nasihat tidak ternilai harganya.

Perdana Menteri yang sangat sedih dengan pemergian bekas Ahli Parlimen Sri Gading itu berkata, hubungan mereka sangat akrab dan dikenali lama sebagai wakil rakyat Johor.

Kata beliau, sikapnya yang tegas membuatkan Allahyarham dihormati dan disegani ramai.

Malahan, katanya, Allahyarham banyak memberi inspirasi dalam arena politik tanah air.

“Saya berasa amat sedih apabila mendapat perkhabaran sahabat baik saya meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, lewat malam tadi.

“Sebagai sahabat, beliau sering memberikan pandangan dan nasihat dari sisi politik melalui penilaiannya,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Muhyiddin pada masa sama turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara dan rakyat Malaysia, terutama di Sri Gading.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham atas pemergian insan tersayang dan mendoakan agar mereka tabah menghadapi detik memilukan ini.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Allahyarham adalah bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.50 malam semalam selepas mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) sejak lima hari lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya