kantung kelulut

Propolis terbuang jadi kantung madu buatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hasilan propolis lebah kelulut yang dahulu hanya menjadi bahan buangan kini dikitar semula menjadi kantung bagi koloni itu.

Presiden Persatuan Usahawan Lebah Kelulut Johor (Jbees), Hazrulnizam Abu Bakar berkata, inovasi itu terhasil daripada permintaan pengusaha kelulut yang mahu meningkatkan produktiviti hasilan mereka.

Katanya, inovasi yang dijenamakan sebagai QPOT itu diperbuat daripada bancuhan propolis yang dapat membantu kelulut menyediakan persekitaran yang harmoni iaitu kantung madu mudah diterima dan diguna pakai untuk mengisi madu dan bee bread.

“Inovasi pembuatan kantung madu lebah kelulut adalah yang pertama di Malaysia daripada hasilan propolis.

“Sejak lima hingga 10 tahun kebelakangan ini, propolis dibuang begitu sahaja oleh petani membuatkan kami terfikir perlunya ada satu inovasi untuk memanfaatkan bahan terbuang itu,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada Majlis Perasmian Hari Inovasi Jabatan Pertanian 2023 baru-baru ini.

Hazrulnizam dan kumpulannya mewakili Jabatan Pertanian Negeri Johor berjaya merangkul pingat Emas dalam kategori inovasi petani.

Tambahnya yang juga pengusaha kelulut dari Johor Bahru, inovasi yang dibangunkan itu juga mampu menghasilkan madu dalam tempoh masa yang lebih cepat.

“Secara tradisionalnya, hendak siapkan kantung kelulut asli mengambil masa dua hingga enam bulan bergantung kepada tempat dan kawasan.

“Tetapi dengan adanya kantung buatan ini ia memudahkan kantung di buat dan dalam masa sebulan sahaja pengusaha sudah boleh mendapat madu,” katanya yang telah mengaplikasikan inovasi itu pada peringkat perladangan.

Selain dapat melestarikan alam serta mengurangkan risiko perladangan, katanya kantung buatan itu juga bakal menjadi tambahan ekonomi buat para pengusaha.

Kaedah pembuatannya juga mudah dengan hanya perlu mencairkan propolis yang sudah diproses ke dalam mesin pemanas dan kemudiannya dibentuk menggunakan sebatang kayu sebagai acuan.

“Saiz kantung madu boleh diukur dan sangat efektif. Penghasilan madu yang lebih banyak dan boleh dianggarkan.

“Kantung asli kebiasaannya bersaiz dua hingga tiga mililiter (ml) sahaja, tetapi yang kita buat ini adalah lima ml, jadi madu lebih banyak,” katanya yang sudah terlibat dalam industri selama 13 tahun.

Negara perlu berinovasi

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Lokman Hakim Ali berkata, Hari Inovasi Jabatan Pertanian Tahun 2023 bertemakan Inovasi Pertanian ke Arah Keterjaminan Makanan, bertepatan dengan senario semasa yang mengangkat aspek keterjaminan makanan sebagai agenda penting di peringkat nasional dan global.

Ia manifestasi komitmen Jabatan Pertanian untuk terus menghasilkan pelbagai produk inovasi pertanian berteknologi tinggi supaya sektor ini akan terus berdaya saing dalam menghasilkan makanan mencukupi, berkualiti, tersedia dan mampu dibeli oleh semua lapisan masyarakat, seiring dengan Dasar Agromakanan Negara, 2021 – 2030 (DAN 2.0).

“Katanya, perubahan iklim yang mengakibatkan beberapa bencana seperti banjir di Yan, Kedah dan kebakaran di Hawaii akibat cuaca kering dan Taufan Dora menjadi penanda aras Malaysia menjadi negara berinovasi.“Terdapat keperluan untuk Malaysia menjadi sebuah negara yang berinovasi, mencipta, membangunkan teknologi dan bukan lagi semata-mata sebagai pengguna teknologi sahaja.

“Inovasi yang dicipta seharusnya mengikut acuan keperluan dalam negara supaya relevan untuk menangani sebarang isu-isu yang didepani oleh para petani negara,” katanya.

Ujarnya, tahun ini jabatan menerima penyertaan sebanyak 125 inovasi, yang merupakan penyertaan tertinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya