Mok Zah, generasi ke-9 saba

Mok Zah, generasi ke-9 saba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI sebalik kemerduan suaranya mengalunkan ‘mantera’, hakikatnya Che Wan Noorsaidi Che Wan Abdul Rahman, 64, menggalas amanah amat besar dalam mempertahankan seni warisan yang diancam kepupusan.

Lebih lima dekad wanita warga emas yang mesra disapa Mok Zah itu berjuang mengangkat seni saba yang merupakan pusaka turun-temurun keluarga.

Bermula sebagai penari pada 1972, ketika usianya cuma 13 tahun, generasi ke-9 itu kemudian mengambil alih tugasan ditinggalkan bapanya, Allahyarham Che Wan Abdul Rahman Che Wan Mohd. pada 1995.

Kini, Che Wan Noorsaidi tokoh saba tunggal di Malaysia dan dunia, malah menjadi pakar rujuk utama bagi keseniaan tersebut.

Saba seni asal Kuala Jengai, Hulu Dungun, Terengganu itu menggabungkan elemen tarian, nyanyian, muzik, lakonan dan pengucapan dialog.

Penat lelah memulihara seni itu membolehkan Che Wan Noorsaidi meraih pelbagai pengiktirafan antaranya Anugerah Tokoh Seni Budaya 2018, Tokoh Lisan 2016 dan Tokoh Seni Terengganu 2015.

Selagi kudratnya masih ada, Che Wan Noorsaidi bertekad meneruskan perjuangan memartabatkan seni berkenaan.

“Saba sebati dalam diri dan tidak sangka terpilih mewarisi pusaka turun-temurun yang tidak dapat dijumpai di mana-mana.

“Tidak ramai tahu tentang saba dan saya seronok dapat memperkenalkan karya seni ini kepada hadirin terutama orang muda.

“Walaupun masyarakat semakin moden tetapi khazanah warisan bangsa sebegini tidak boleh dipinggirkan kerana di dalamnya tersimpan 1,001 sejarah berharga,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.


Ikut jejak bapa
Ratusan tahun dahulu, saba dianggap sebagai ritual pemujaan kerana menjadi medium perubatan dalam kalangan masyarakat zaman lampau, sama seperti ulik mayang dan main puteri di Kelantan.

Namun, sejak 1972, ia diolah menjadi persembahaan kebudayaan oleh Che Wan Abdul Rahman yang merupakan generasi ke-8 ketika itu.

Menceritakan penglibatannya, Che Wan Noorsaidi memberitahu sering mengikuti bapanya membuat persembahan ketika kecil, lama-kelamaan timbul minat untuk menari dan menyanyi.

Bapanya merupakan peduan iaitu bintang utama saba yang berperanan untuk menyanyi dan bermain alat muzik khas, anak umbang.

Tugasan itu kemudian digalasnya bermula 1995 selepas kira-kira tiga tahun Che Wan Abdul Rahman meninggal dunia.

Jelasnya, peduan merujuk kepada watak bomoh yang mengetuai persembahan saba dan perlu berkomunikasi dengan Muda di Awan iaitu perantara di kayangan.

“Semasa ayah masih ada, saya turut menyanyi bersamanya setiap kali membuat persembahan tetapi selepas pemergiannya pada 1992, seni ini terus terhenti.

“Tiga tahun berikutnya, hati tiba-tiba tergerak untuk memegang anak umbang dan cuba-cuba bermain lagu anak burung baniung, tidak sangka itulah permulaan yang menguatkan semangat saya untuk meneruskan warisan keluarga hingga kini,” katanya.

Che Wan Noorsaidi berkata, saba tidak boleh dipersembahkan jika peduan tiada kemahiran bermain anak umbang.

Hal itu kerana alunan muzik tersebut akan dimainkan sepanjang persembahan berlangsung.

“Ayah tidak pernah mengajar saya bermain anak umbang sedangkan ia merupakan syarat wajib bagi menjadi peduan.

“Ilmu bermain alat muzik itu datang secara semula jadi barangkali kerana pendedahan sejak kecil walaupun tiada sebarang kemahiran,” katanya.

Sehingga kini, ibu kepada lima anak itu sering dijemput dalam acara-acara rasmi seperti Citrawarna dan lain-lain lagi, di samping pernah membuat persembahan di Jogjakarta, Indonesia.


Asal-usul
Saba merupakan upacara perubatan yang bertujuan menyembuhkan pelbagai jenis penyakit dan diperkenalkan oleh seorang bomoh wanita bernama Che Mek Comot sekitar 1718, bersamaan 300 tahun dahulu.

Kononnya saba adalah nama pohon kayangan dan wajib diletakkan semasa upacara perubatan berlangsung bagi memanggil dewa-dewi.

Dahulunya, proses tersebut boleh berlangsung selama tiga malam berturut-turut di rumah pesakit dengan diketuai oleh seorang peduan dan tiga pembantu.

“Saya pernah menyaksikan upacara ritual saba yang dilakukan arwah datuk dan saya akui ada rasa takut kerana masa itu masih budak-budak.

“Antara yang saya ingat, proses itu dibuat di dalam bilik dan jiran-jiran yang mahu turut serta melihatnya perlu meminta izin daripada tuan rumah iaitu keluarga pesakit terlebih dahulu,” katanya.

Walaupun corak persembahan saba sudah diubahsuai kepada bentuk kesenian dan hiburan, tetapi plot penceritaannya masih mengekalkan kisah datuk dan moyang Che Wan Noorsaidi.

Katanya, antara watak itu ialah peduan (perantara di bumi) dan Muda di Awan (perantara di kayangan) sekali gus menjadikan persembahan saba lebih menarik.

“Selain nyanyian, saba juga dipersembahkan dalam bentuk teater bertajuk Nong Sakti yang menceritakan kisah tiga puteri kayangan turun ke bumi dan berdepan pelbagai kejadian.

“Beberapa alatan muzik tradisional lain turut digunakan seperti gong dan rebana,” katanya yang merupakan pembimbing program perantisan teater saba, Nong Sakti anjuran JKKN.

Hafal 15 lagu
Terdapat kira-kira 15 lagu saba yang diingati Che Wan Noorsaidi daripada keseluruhan 36 buah.

Antara lagu itu ialah Muda di Awan, Anak Tedung, Anak Burung Baniung, Anak Udang, Nong Sakti, Awang Kasim Gila, Raja Budak, Muda Lingah, Canggung dan Dondang.

Katanya, setiap satu lagu mempunyai maksud dan tujuan tersendiri dengan lirik-lirik yang penuh dengan kiasan.

“Saya tahu ramai susah memahami dan menghayati lagu saba kerana bait-bait liriknya yang mendalam, contohnya lagu anak tedung ada rangkap berbunyi seperti anak tedung ke laman abang, bertimang roh bertimang maya.

“Memandangkan saba ini berasal daripada ritual perubatan, maka lagu-lagunya bersifat penyembuhan sakit dalaman dan luaran termasuk buatan orang, keteguran, sakit jiwa, kemurungan dan mengeluarkan bisa,” katanya.


Anak umbang

Alat muzik anak umbang diperbuat daripada buluh nipis yang mempunyai ruas panjang.
Fungsi instrumen itu diibaratkan seperti biola dan rebab dengan bunyian yang terhasil apabila digesek menggunakan kayu penggesek.

Menurut Che Wan Noorsaidi, tempoh selama seminggu diperlukan untuk menyiapkan anak umbang.

“Panjang ruasnya kira-kira 91 sentimeter dan selepas dikikis perlu dijemur di tempat teduh sebelum ukiran dibuat.

“Kemudian tali akan dipasang pada buluh dan sedia dimainkan dengan kayu penggesek,” katanya yang mahir menghasilkan alat muzik itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya