Kayak elektrik guna solar

Kayak elektrik guna solar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) muncul institusi pendidikan pertama di negara ini menggunakan kayak elektrik berasaskan tenaga solar dalam ekspedisi kemerdekaan di Sungai Pahang baru-baru ini.

Inovasi berkenaan diilhamkan pensyarah kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSSP), Shahril Eashak Ismail, 51, dan penyelidik reka bentuk kerangka, Muhammad Khalid Abdullah, 45.

Menurut Shahril Eashak, ekspedisi sejauh 80 kilometer dari Jerantut ke Esplanade Temerloh itu mengambil masa selama tujuh jam untuk diselesaikan.

Katanya, selain panel solar, kayak berkenaan turut dilengkapi peralatan elektronik dan kalis air, bagi mengelak sebarang risiko jika keadaan cuaca buruk berlaku.

“Kayak ini mampu bergerak pada kelajuan 15 kilometer per jam. Ia boleh digunakan bagi ekspedisi jauh dan memakan masa panjang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Kos pembangunan pengangkutan air itu dianggarkan antara RM3,000 hingga RM5,000 tidak termasuk kos kayak.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi berkata, program anjuran Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak) itu secara tidak langsung dapat membuktikan kebolehan warga institusi berkenaan dalam menghasilkan inovasi untuk manfaat ramai.

Beliau berharap, inovasi diperkenalkan itu dapat menyuntik semangat masyarakat untuk menghasilkan lebih banyak produk berasaskan tenaga solar terutama dalam bidang agrikultur.

“Kewibawaan dan pemikiran berdaya saing untuk menghasilkan inovasi seperti ini perlu dicontohi.

“Kami di UiTM sentiasa menggalakkan budaya kreativiti dan inovasi dalam kalangan warga kampus untuk menyumbang kepada pembangunan universiti, masyarakat dan negara,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN