DUA dekad tidak mengeluarkan buku puisi, bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Hashim Yaacob, 74, kembali dengan karya Laut Biru.
Istimewanya, naskhah tersebut ditulis sejak 1969, ketika dirinya hanya berusia 19 tahun.
Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Dr. Mohd. Yahya Mohamed Ariffin berkata, buku mengandungi 67 puisi itu menarik pembaca dengan lukisan tangan penulis yang melengkapkan setiap penceritaan.
“Puisi Laut Biru ditujukan khas buat isteri dikasihi kerana banyak jasa yang tidak mampu dibalas oleh suami.
“Antara kandungannya berbunyi, cintaku setinggi langit biru, sampai pun hujung waktu, takkan hakis kasihku,” katanya.
Selain kehidupan berkeluarga karya lain menyentuh mengenai penghormatan kepada tokoh-tokoh dan mengangkat tema berkaitan kemerdekaan negara kita seperti dalam puisi Negara Kita, Kita Bina.
Mohd. Yahya berkata, penulis mengajak pembaca mengambil semangat pemimpin dan pahlawan terdahulu dalam mempertahankan kesejahteraan serta kedaulatan negara.
Sebaliknya, jangan sekali-kali menjadi petualang dan penderhaka yang sanggup menghancurkan tanah air tercinta.
Naskhah ini turut menyentuh tentang beberapa tokoh termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di samping Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid; Tokoh Pendidikan Negara, Tun Arshad Ayub dan rakan sasterawannya, Datuk Rahman Shaari.
“Hashim amat menyanjungi dan menghormati Allahyarham Pak Ungku dan Tun Arshad atas jasa dan sumbangan besar tokoh berkenaan kepada dunia pendidikan.
“Kritikan halus tetapi membina Hashim dapat dilihat menerusi tajuk Jika Perpaduan Yang Engkau Mahu, Jadi Orang Berguna dan Manusia Mengubah Nasib,” kata Mohd. Yahya.
Laut Biru merupakan buku puisi keenam nukilan Hashim. Sebelum ini, karya Aku Hanya Mahu Ke Seberang berjaya memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (2000-2001) bagi antologi puisi.
Buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu jelas membuktikan kecintaan berterusan Hashim terhadap puisi.