RUMAH-rumah fesyen mewah seperti Dolce & Gabbana (D&G), Roberto Cavalli, Moschino, Philipp Plein dan Isabel Marant kembali memperkenalkan tampalan, manik, lipatan dan sulaman pada denim dengan sejak tahun lalu.
Kemunculan semula fesyen era 2000 atau Y2K itu dapat dilihat dalam koleksi musim bunga dan panas 2022 sentuhan D&G antaranya jeans bermanik yang memukau penonton di minggu fesyen di Milan.
Jenama ini antara pencetus semula fesyen menghias denim hingga menjadi ikutan ramai di seluruh dunia.
Citarasa ini turut menjangkiti peminat fesyen.
Penampilan seseorang bukan sahaja jadi lebih menarik, malah mampu membuatkan helaian lusuh kelihatan baharu.
Jurugaya, Sabby Hassan berkata, tiada istilah do’s atau dont’s dalam menghias denim kerana keseluruhan konsep itu mengangkat nilai kebebasan.
Individu bebas berkarya dan mengekspresikan gaya peribadi mereka tanpa ada sekatan bagaimana sesuatu tampalan atau sulaman harus dibuat.
“Hiasan sarat atau simple, terpulang kepada citarasa kerana sentuhan gaya ini 100 peratus berasaskan kepada personaliti individu.
“Cuma beberapa sensitiviti perlu dijaga misalnya tampalan atau sulaman tidak dibuat di bahagian alat sulit,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Trend bermusim itu boleh digayakan pelbagai peringkat usia dan jantina asalkan yakin menggayakannya.
“Kelebihan menghias jeans boleh menyerikan seluar lusuh dan penampilan nampak lebih ranggi dan stylo,” kongsinya.
Hias sendiri
Sementara itu, bintang baharu, Seri Khodijah Kamarul Bahrin atau mesra disapa Khodi merupakan antara peminat gaya berkenaan.
Bahkan, gadis berusia 22 tahun ini turut berkongsi minat sama dengan bapanya.
“Saya ada dua helai jeans baggy kegemaran yang dihias sendiri dengan patches berbentuk perkataan.
“Semuanya bermula semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana bosan tidak buat apa-apa di rumah, dan masa lapang diisi dengan menghias jeans,” katanya.
Tafsiran 501 asli, tersendiri
Terbaharu, jenama denim terkenal, Levi’s turut mempromosikan pendekatan menghias jeans dan pelanggan berpeluang menambah reka bentuk sulaman, tampalan, lipatan atau hiasan pada rangkaian 501 termasuk shorts, 81, cropped, 90s dan original.
Kempen yang dijayakan bersama kumpulan K-Pop wanita, New Jeans itu bertepatan dengan kehendak dan trend semasa bagi mencipta sentuhan gaya peribadi unik.
Peminat boleh berkunjung ke kedai jahit jenama itu bagi mencipta tafsiran 501 yang asli dan tersendiri. – UTUSAN