Al-Quran untuk semua, bukan untuk bangsa tertentu - Utusan Malaysia

Al-Quran untuk semua, bukan untuk bangsa tertentu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Dalam politik, semua orang berpotensi menjadi teman atau musuh, namun dalam dakwah, semua bukan Islam berpotensi menjadi Muslim. Ini sebabnya saya lebih cenderung bersama Gerakan dakwah di Malaysia bukannya gerakan politik.”

Kata-kata ini diucapkan al-Marhum Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Kamal Hassan dalam satu sesi khas bersama beliau ketika saya baru menyertai Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sekitar 2001.

Dalam program latihan untuk kakitangan UIAM di Felda Tekam Plantation Resort, Pahang itu, beliau berkongsi pengalaman panjangnya dalam bidang dakwah dan pendidikan yang dilakukan sejak tahun 60-an.

Sudut pandang beliau itu, lantas melekat kemas dalam minda saya untuk lebih cakna dengan dakwah, terutama sekali dakwah kepada yang belum Islam.

Bagi orang beriman, dunia menjadi tempat mencari bekal ke akhirat dan antara bekal terbaik adalah kerja dakwah yang mampu meramaikan jumlah umat Nabi kita.

Baginda SAW pasti tersenyum melihat umatnya datang berganda di akhirat kelak.

Ayuh kita renungi sabda Rasulullah SAW bermaksud: Penghuni syurga terdiri daripada 120 barisan. 80 barisan daripadanya terdiri daripada umat ini, manakala 40 barisan lagi terdiri daripada umat lain. (Sunan al-Tirmidzi, 2469
Peningkatan umat baginda dalam syurga kelak tidak mungkin berlaku tanpa usaha dakwah kita semua.

Dakwah sebenar saranan Allah dan Rasulullah bukan hanya mengajak Muslim yang sudah mengenal Allah kepada kebaikan, tetapi lebih utama mengajak yang belum mengenal Allah kepada Islam.

Itu sudut tersirat hadis di atas yang jarang kita singkap tabir hikmahnya.

Bahkan sejurus pelantikan Nabi SAW sebagai Utusan Allah, ‘Sunnah pertama’ digerakkan Nabi SAW adalah dakwah mengislamkan yang belum Islam seperti Khadijah, Abu Bakar dan para sahabat.

Untuk itu, sempena hari kelahiran junjungan tercinta Nabi SAW tahun ini, penting untuk kita memerhatikan cara interaksi baginda dengan golongan yang bukan Islam atau yang belum terbuka hati untuk menerima Islam.

Ini kerana cuaca politik dan sosial di Malaysia selalu sahaja dilanda ribut yang mampu menggegar kerja dakwah seolah-olah Islam hanya eksklusif untuk satu bangsa sahaja.

Pernah seorang murid dewasa saya mengadu kemarahannya yang memuncak setelah melihat seorang lelaki bukan Islam membelek terjemahan al-Quran di sebuah kedai buku di Kuala Lumpur. Segera saya bancuh amarahnya menjadi sebuah rasa tanggungjawab:

“Jangan marah dia. Kita sepatutnya gembira melihat minatnya kepada al-Quran. Jika ia berlaku lagi, segera dekatinya dan tawar khidmat untuk bantu dia faham al-Quran. Kalau dia masuk Islam kerana sumbangan awak, besar pahalanya,”.

Pernah dalam sebuah kelas tafsir yang pesertanya warga emas, saya bawakan kisah murid saya di UIAM, Santiago Solah Mora yang memeluk Islam selepas setahun membaca dan mengkaji al-Quran.

KUALITI ISLAM

Hasil kajiannya, Santiago yang berasal dari Colombia itu menjadi Muslim sejati.

Ketika sesi soal jawab, saya dikejutkan satu soalan warga emas kelas tersebut yang menampakkan kerencatan minda dakwah sesetengah orang Melayu:

“Ustaz! Mana boleh dia baca al-Quran? Orang kafir ni najis tak boleh pegang al-Quran!”

Dalam senyum pahit saya berseloroh menjawab soalan itu: “Puan! Dia baca dan kaji al-Quran. Kemudiannya memeluk Islam dan punyai kualiti Islam yang jauh lebih baik daripada sesetengah orang kita yang lahir Muslim, tetapi sampai mati tak pernah sentuh apatah lagi faham al-Quran. Saidina Umar bin al-Khattab RA dahulu memeluk Islam setelah dengar dan faham ayat al-Quran yang dibaca adiknya.”

Sempena Maulid Rasul ini saya ingin menyarankan agar kita semarakkan slogan dakwah “Al-Quran dan Islam Untuk Semua!’ Maksud perkataan ‘semua’ ini turut melibatkan yang belum Islam.

Kita tak mahu bukan Islam hanya melihat istana Islam dari jauh kerana kita tidak mengalukan mereka masuk untuk mencium haruman al-Quran atau menyantapnya sebagai hidangan istimewa dari Allah.

Saranan menyebarkan slogan ‘Al-Quran dan Islam untuk semua’ ini saya petik daripada firman Allah yang bermaksud: Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit batin yang ada dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang yang beriman. (Yunus: 57)

Pada pangkal ayat ini, Allah memanggil semua manusia agar mendekati dan menerima kedatangan al-Quran yang memiliki pelajaran, penawar jiwa, panduan dan limpahan kasih sayang Allah kepada mereka.

Kenyataan ini sangat logik kerana ia seiring dengan roh agama dan tujuan pengutusan para rasul yang bertanggung jawab mengajak semua manusia kepada Allah. Allah bukan milik eksklusif sesetengah bangsa sahaja.

Dia wajib disembah semua manusia. Mana mungkin mereka kenal Allah jika bukan kita yang mengajak?

Oleh itu, jangan sesekali pandang orang yang belum Islam sebagai bahan bakar atau kelodak api neraka, sebaliknya lihat mereka sebagai kilauan emas dan perak yang perlu kita rebut dan Islamkan biar sepayah mana pun tugasan itu.

Jadikan mereka teman yang akan saling bergandingan tangan dengan kita ke syurga.

Boleh jadi, setelah menerima Islam mereka akan menjadi benteng dan bata yang tambah mengukuhkan Islam.

Motivasikan diri anda dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: (Sesetengah) manusia itu (nilainya) seperti galian emas dan perak. Yang terpilih (dengan kualiti yang bermutu) pada zaman jahiliah, turut menjadi yang terpilih ketika Islam. Lebih-lebih lagi apabila mereka mendalami agama. (Sahih Muslim, 4774).

Indahnya dunia Islam jika mentaliti dakwah sebegini dimiliki semua Muslim.

Lalu demi memperkenalkan Islam dan al-Quran kepada semua manusia sejagat, kita akan jadi Muslim progresif yang ‘terpaksa’ belajar dan mendalami al-Quran.

Pun begitu, percayalah perkataan ‘terpaksa’ yang saya maksudkan ini tidak sama sekali membawa konotasi negatif, sebaliknya ia menjadi ubat mujarab untuk diri sendiri dan manusia sejagat.

Insya-Allah ia akan mengangkat darjat kita di sisi Rasulullah SAW kerana berusaha mengangkat sunnah utama baginda.

———–
Penulis ialah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Pusat Bahasa, UIAM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya