Penipu atau kini lebih popular dengan panggilan scammer mempunyai banyak modus operasi untuk memperdayakan mangsa.
Antara yang paling banyak berlaku pada ketika ini adalah penipuan berkaitan akaun bank iaitu keldai akaun.
Keldai akaun ialah individu yang menyerahkan kad Mesin Teler Automatik (ATM) serta nombor pin kad tersebut kepada individu lain dan akaun tersebut pula digunakan bagi tujuan jenayah.
Perkara itu didedahkan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat), Mohd. Nor Izzat Mohd. Johari yang memaklumkan menerima banyak kes laporan berkaitan jenayah berkenaan.
Laporan-laporan itu dibuat oleh mangsa yang baru sahaja menyedari bahawa mereka diperdaya sindiket dan dijadikan sebagai keldai akaun bagi aktiviti jenayah.
“Pada kebiasaannya kes bermula apabila mangsa yang kebanyakannya daripada golongan B40 membuat pinjaman kewangan dengan scammer yang menyamar sebagai kredit komuniti. Mangsa diminta menyerahkan kad ATM kosong melalui perkhidmatan pos, konon-konon untuk memudahkan urusan kemasukan wang.
“Scammer kemudiannya senyap tanpa berita dan mangsa meneruskan kehidupan seperti biasa kerana menganggap tiada apa-apa kerana memberi kad ATM tanpa wang di dalamnya.
“Tetapi sebenarnya akaun itu telah diekploitasi untuk tujuan jenayah. Selepas sebulan baru mangsa menyedari, itupun selepas kad ATM mereka yang lain tidak boleh digunakan untuk mengeluarkan duit di mesin,” jelasnya.
Sedangkan keadaan itu berlaku kerana nama mangsa disenarai hitam pihak berkuasa kerana beberapa laporan yang telah dibuat atas nama mangsa.
Daripada situ baru mangsa mengetahui akaun atas nama mereka digunakan scammer untuk menipu duit daripada mangsa penipuan lain.
“Biasanya, bila berlaku keadaan ini mangsa akan direman untuk siasatan.
“Mangsa datang kepada kami untuk memohon bantuan dan kami jalankan siasatan tertutup bersama mangsa untuk mengesahkan sama ada mereka mangsa atau tahu mengenainya,” katanya yang menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) itu sejak 2020.
Badan berkenaan menguruskan hal berkenaan penipuan komersil dan kempen Buy Muslim First (BMF).
Antara isu yang diberi perhatian adalah keldai akaun, ceti haram, perjanjian tidak sah, perumahan dan institusi kewangan.
Jelasnya, pihaknya juga akan terus membawa setiap masalah kepada kementerian atau agensi kerajaan dalam kadar segera sebagai pembelaan.
Sasar anak muda
Dalam pada itu, Izzat turut memberikan nasihat kepada anak muda terutamanya yang sedang mencari pekerjaan menggunakan akaun media sosial.
“Modus operandi mereka (scammer) sekarang ini adalah membuat temujanji kononnya untuk temuduga.
“Kemudian, katanya diterima bekerja dan kena buka akaun untuk gaji dan serahkan kembali kepada syarikat untuk pengesahan dan sebagainya.
“Selepas itu seperti biasa mereka akan diam dan mangsa juga tidak menyedari ditipu sehinggalah akaun bank mereka yang lain disekat,” jelasnya.
Tegasnya, anak muda harus lebih berhati-hati dan mengambil berat tentang penipuan bagi mengelakkan mereka ditipu dan dijadikan keldai akaun.