TANGGAL 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat buat negara apabila buat pertama kalinya laungan merdeka bergema di bumi tercinta ini sekali gus menandakan bebas daripada belenggu penjajah.
Sejak itu, saban tahun Malaysia meraikan sambutan Hari Kebangsaan yang turut disytiharkan sebagai cuti umum.
Bagi peminat fotografi, merakam sambutan Hari Kebangsaan adalah pengalaman yang sangat mengujakan. Warna-warni Jalur Gemilang di segenap ruang sekali gus memberikan pemandangan menarik.
Pastinya, acara perarakan pasukan keselamatan seperti tentera dan polis yang berpakaian seragam lengkap menjadi tumpuan utama dan dinanti-nantikan. Tarikan lain adalah persembahan udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan tarian kebudayaan.
Kali ini Seni Foto berkongsi sedikit tips kepada peminat fotografi yang ingin merakam momen sambutan Hari Kebangsaan.
MASA
Dengan jumlah pengunjung yang sangat ramai, adalah disarankan datang awal bagi mendapatkan lokasi menarik dan strategik untuk menyaksikan perarakan. Lazimnua, semua tempat duduk penuh menjelang pukul 7:30 pagi.
SHUTTER SPEED
Kebiasaannya, kelajuan shutter lebih daripada 1/125 digunakan untuk mendapatkan imej pegun bagi merakam pergerakan. Bagi mencipta kelainan, cuba kelajuan yang perlahan atau slow shutter untuk mendapatkan kesan yang pelbagai.
APERTURE
Untuk bukaan cahaya atau aperture penggunaannya adalah mudah disebabkan acara diadakan pada waktu pagi. Kamera boleh diletakkan pada bukaan besar untuk mendapatkan kesan depth of field atau bukaan kecil untuk imej pada fokus tajam pada latar depan dan belakang.
ISO
Memandangkan acara berlangsung pada waktu pagi dan cahaya mencukupi, maka anda boleh menggunakan ISO sekitar 100 hingga 800 bergantung kepada keadaan cahaya matahari.
LENSA
Anda disarankan membawa lebih daripada satu lensa iaitu lensa zoom sudut luas seperti 16-23mm atau 24-70mm untuk gambar perarakan dan keadaan sekeliling di samping lensa telefoto 70-200mm untuk gambar potret dan close up.
PERSONALITI / KARAKTER
Pengunjung lazimnya memakai pelbagai fesyen menarik termasuk baju bercorak bendera dan pakaian tradisional. Tidak ketinggalan yang melukis muka dengan corak Jalur Gemilang. Gunakan peluang ini untuk mendapatkan potret-potret menarik pengunjung.
HIASAN BENDERA / LOGO KEMERDEKAAN
Anda disaran memasukkan latar belakang Jalur Gemilang dan logo-logo kemerdekaan yang menghiasi ruang acara sambutan. Secara tidak langsung umum mengetahui ia adalah Hari Kebangsaan dan memberi lebih ‘rasa’ pada gambar.
KREATIVITI/TEKNIK
Digalakkan mengambil apa sahaja gambar yang melintas di depan atau di pemandangan anda. Eksperimentasi dengan sudut dan perspektif bagi mencipta kelainan. Anda boleh mencuba teknik zooming seperti zoom in dan zoom out untuk mendapatkan kesan menarik. Selain itu, cuba kelajuan yang perlahan untuk mendapatkan kesan movement blurry bagi pergerakan dan membuat teknik panning pada gambar perarakan.
Semoga panduan ini dapat membantu anda menghasilkan beberapa gambar yang hebat dan akhir sekali, selamat menyambut Hari Kebangsaan yang ke-66. -UTUSAN