ADA pelbagai kategori golongan kurang upaya yang wajar diberi perhatian. Setiap golongan ini mempunyai kehendak dan masalah tersendiri berkaitan ibadah, sama ada dalam sudut pembelajaran ilmu fardu ain atau melaksanakan tuntutan agama.
Orang kurang upaya (OKU) ditakrifkan sebagai individu yang mempunyai kekurangan jangka panjang dari segi fizikal, mental, intelektual atau deria.
Golongan istimewa yang dipilih Allah ini mempunyai beberapa kekangan yang menyebabkan kesukaran memahami dan melaksanakan tuntutan syariat.
OKU yang berakal adalah dikira mukalaf sama seperti Muslim lain kerana keupayaan akal membezakan baik, buruk dan keupayaan akal untuk menerima beban perintah agama.
Walau bagaimanapun OKU dengan kekurangan akal dan minda seperti mereka yang tidak siuman atau kecacatan akal yang teruk adalah terkecuali daripada tanggungjawab agama.
Ulama menyatakan mereka yang hilang kewarasan fikiran dalam tempoh masa tertentu tidak ditaklifkan dengan perkara agama ketika mereka tidak waras.
Sebabnya, kemampuan akal secara sempurna adalah syarat utama bagi mereka untuk menyempurnakan tugasan agama.
Ini jelas dalam sebuah hadis Nabi SAW daripada Saidatina Aishah yang menyatakan dengan maksudnya: Terangkat kalam (tanggungjawab) dari tiga golongan; dari mereka yang tidur sehingga terjaga, dari kanak-kanak sehingga mereka bermimpi (baligh) dan dari mereka yang gila sehingga berakal.
Maka ini adalah bukti besarnya rahmat Allah hanya memberi tanggungjawab agama kepada mereka yang berkemampuan penuh secara sempurna. Dalam masa yang sama, orang yang cacat penglihatan juga masih wajib melakukan kewajipan beragama seperti solat, puasa dan zakat. Keadaan mereka seperti orang yang mempunyai kekurangan deria pendengaran dan percakapan.
Namun demikian, mereka yang mempunyai kekurangan fizikal kekal seperti golongan cacat pendengaran adalah golongan istimewa yang sangat sukar mendapatkan maklumat dan ilmu agama sama ada fardu ain atau fardu kifayah melalui pengajaran secara lisan. Mereka boleh mendapat ilmu melalui bahasa isyarat dan juga penulisan.
Orang cacat penglihatan pula mendapat maklumat melalui penglihatan seperti bahan bacaan. Mereka mendapat maklumat melalui bahan pendengaran atau bahan bacaan braille.
OKU pembelajaran pula menghadapi masalah mengingati maklumat dan mencerna maklumat, sedangkan banyak ilmu agama memerlukan kefahaman dan penghafalan seperti bacaan tertentu, rukun ibadah dan perkara asas yang perlu diingati oleh setiap mukalaf.
MESRA OKU
Pihak berkenaan perlulah menyediakan fasiliti bersesuaian dengan golongan istimewa seperti menyediakan juru bahasa isyarat dalam sesi pengajian agama di mana sahaja, atau penerbitan bahan agama braille.
Kawasan rumah ibadat seperti masjid, surau dan musolla perlulah mesra golongan OKU.
Ini termasuklah akses kawasan beribadat berkerusi roda, penyediaan al-Quran braille di masjid, papan tanda dan nota kuliah braille.
Masjid sedia ada haruslah dinaik taraf menjadi mesra OKU. Pihak masjid atau pihak berkenaan juga perlu menyediakan fasiliti yang sesuai, dari kawasan tempat mengambil wuduk hinggalah ke dewan solat agar mudah diakses semua golongan OKU.
Penyediaan jurubahasa isyarat harus dimulakan sekurang-kurangnya di masjid-masjid besar agar golongan ini turut sama dapat mendengar dan menghayati dakwah.
Penerbitan bahan bacaan dakwah mudah dan bersesuaian perlu diperbanyakkan memandangkan golongan ini tidak ramai yang berpendidikan tinggi dan tidak mempunyai akses mencukupi.
Ceramah daripada pakar agama bertauliah boleh dipermudahkan dan diulang siar menggunakan khidmat jurubahasa isyarat.
Dalam masa yang sama, golongan istimewa yang tidak dapat membaca al-Quran seperti golongan pekak dan bisu dapat dibimbing agar dapat melaksanakan ibadat seperti solat, berzikir dan mengaji dengan cara yang bersesuaian dengan keupayaan mereka.
Golongan bisu sebagai contoh tidak perlu menuturkan beberapa rukun agama yang wajib seperti bacaan takbir, fatihah dan lainnya tapi boleh dibimbing agar melaksanakan ibadat sesuai dengan keadaan mereka.
TIDAK TERHALANG
OKU tidak seharusnya terhalang menimba ilmu dan menjadi golongan terpelajar.
Antara sahabat nabi yang cacat penglihatan ialah Abdullah ibn Umm Maktum.
Hatta sebuah surah di dalam al-Quran iaitu surah Abasa diturunkan adalah berkenaan dengan kisah seorang buta yang bertemu Rasulullah SAW.
Surah ini menunjukkan bahawa golongan istimewa tidak boleh dipinggirkan dan diketepikan keperluan dan kehendak mereka. Abdullah ibn Umm Maktum adalah golongan terawal memeluk Islam. Beliau sendiri pernah diutus oleh Rasulullah SAW untuk mengajar al-Quran di Madinah sebelum Hijrah dan turut terlibat dalam peperangan.
Golongan minoriti OKU seperti ini perlu diberi perhatian khusus oleh pihak berkuasa agama kerana mereka adalah sebahagian daripada masyarakat.
Kes kejahilan agama, perpecahan keluarga dan keciciran dalam kalangan golongan ini juga kian meningkat saban hari.
Malah sekolah agama khas untuk golongan istimewa juga tidak banyak tersedia untuk kemudahan anak-anak dan golongan dewasa.
Pihak berkuasa boleh bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan dalam penyaluran dana, pembinaan silibus dan merangka perancangan khusus untuk keperluan golongan yang memerlukan ini.
Silibus pengajian agama tidak lagi setakat pengetahuan asas, malah boleh dipertingkatkan ke peringkat lebih tinggi.
Bukan sesuatu yang asing terdapat OKU upaya yang mampu menjadi ulama dan golongan berilmu sekiranya mendapat sokongan dan menerima fasiliti yang secukupnya dari semua pihak.
Sebagai contoh, ramai golongan cacat penglihatan, autisme yang mampu menghafal al-Quran.
Dalam masa yang sama, golongan bisu dan pekak juga boleh diberikan perhatian untuk merasai mukjizat al-Quran dengan cara tersendiri seperti melalui pembacaan al-Quran atau penghayatan isi kandungannya melalui kelas tadabbur dan tafsir yang khas.
Bahasa isyarat khusus untuk istilah agama boleh diperkembangkan dan ditambah baik untuk pengajaran dan pembelajaran golongan istimewa ini.
Jelas Islam adalah agama rahmat untuk seluruh umat. Keperluan menunaikan syariat tidak hanya kepada golongan sempurna fizikal dan akal namun merangkumi golongan istimewa. Tiap manusia akan dihisab pengamalan Islam berdasarkan kemampuan masing-masing.
Penulis ialah pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM