“Dua kali saya dijangkiti virus Covid-19. Saya pun tidak tahu kenapa tetapi saya bertuah kerana terselamat daripada gejala yang lebih teruk,” kata Tan Sri Michelle Yeoh.
Pemenang Oscar ini pertama kali dijangkiti, sekitar tayangan perdana filem dibintanginya, Everything Everywhere All At Once pada 2021 dan jangkitan kedua pada awal tahun 2023.
“Dalam insiden pada 2021, ketika itu, saya baru saja pulang ke Los Angeles dari San Francisco. Tiba-tiba saya mengalami selsema teruk dan batuk. Disebabkan saya sibuk mempromosikan filem, saya anggap tiada yang serius.
“Tapi bila menjalani ujian dan didapati saya positif, saya terpaksa berehat dan berkurung bagi memastikan tidak menjangkiti orang lain,” katanya yang hanya tidak bermaya selama beberapa hari saja dan tidak mengalami hilang deria rasa dan bau.
Awal tahun ini, Yeoh sekali lagi dijangkiti, bagaimanapun, ia hanya selesema biasa yang datang dan menghilang dengan cepat.
Yeoh bersyukur kerana sudah mengambil vaksinasi dan suntikan penggalak sebelum ini.
“Jika tidak kesannya pasti lebih teruk. Justeru saya menggalakkan orang ramai terus menjaga asas mencegah jangkitan Covid-19. Lebih penting, segera menjalani ujian sekiranya mengalami gejala.
“Di dalam filem, saya nampak pantas bergerak dan melompat di atas kenderaan yang sedang bergerak tapi hakikatnya kehidupan bukan seperti dalam filem aksi. Kita tidak mampu menunggu untuk penyelamatan dramatik di saat akhir.
“Sekiranya ada sebarang gejala, bertindak pantas. Dapatkan bantuan segera. Perlu diingat, Covid-19 kini boleh dirawat dan kita boleh menyelamatkan nyawa,” katanya berkongsi pengalaman pada forum Lindungi Malaysia, Sihat Bersama sempena majlis pelancaran MyPELINDUNG, baru-baru ini.
Turut hadir, Tunku Temenggong Kedah, Tunku Puteri Intan Shafinaz Almarhum Sultan Abdul Halim.
MyPELINDUNG adalah kempen pendidikan awam dan membimbing masyarakat mengenai kepentingan vaksinasi Covid -19 serta memupuk sikap segera mendapatkan rawatan Covid-19.
Kempen itu dilancarkan oleh Persatuan Kawalan Jangkitan dan Penyakit Berjangkit Malaysia (MyICID), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Bulan Sabit Merah Malaysia (MRCS) dengan kerjasama Pfizer Malaysia.
CIPTA IMPAK
Tunku Puteri Intan Safinaz berkata, MyPELINDUNG mampu mencipta impak ketara dalam usaha memerangi Covid-19.
Katanya menerusi persembahan video yang dipaparkan pada majlis berkenaan, berganding bahu dengan kekuatan perpaduan dan tanggungjawab bersama, mampu menyumbang kepada pembentukan negara yang lebih sihat dan selamat untuk rakyat.
Hidup dalam endemik
Walaupun kini kita sudah berada dalam endemik dan bergerak bebas ke mana saja, namun virus Covid-19 tetap kekal dan terus merebak.
Namun jangan mengambil ringan kerana peringkat endemik tidak bermakna penyakit ini sudah lenyap.
Jangkitannya masih boleh menyebabkan kemasukan ke hospital dan kematian terutama dalam kalangan mereka yang berisiko tinggi.
Presiden MyICID, Dr. Shaharudeen Kamaludeen berkata, orang ramai perlu sentiasa mengikuti perkembangan terkini dengan vaksinasi yang disyorkan.
“Penting untuk kita memahami peranan vaksin dalam mengurangkan kesan jangkitan Covid-19. Vaksinasi termasuk dos penggalak adalah barisan pertahanan utama terhadap virus ini.
“Sekiranya ujian positif, rundingan dan rawatan perubatan segera harus diutamakan. Paling penting adalah untuk mencegah kesan teruk yang menyebabkan kemasukan ke hospital dan paling tragik, kematian,” katanya pada forum berkenaan.
Vaksinasi selamatkan golongan berisiko
VAKSINASI menyelamatkan nyawa terutama bagi golongan berisiko tinggi.
Pengerusi Immunise4Life, Prof. Datuk Dr. Zulkifli Ismail, berkata vaksinasi penuh boleh mengurangkan risiko penyakit teruk dengan ketara.
“Kami menggesa semua rakyat terutama kumpulan berisiko tinggi, mempertimbangkan vaksinasi sebagai perisai peribadi melawan virus ini.
“Vaksin lain perlu diambil adalah influenza kerana penyakit itu semakin meningkat kini selepas semua orang kembali bebas bergerak ke mana saja, “ katanya.
Ujarnya, mereka yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak berusia enam bulan ke atas dan warga emas serta pesakit kronik boleh mengalami kesan teruk akibat influenza.
Sementara itu, Pengarah NCSM, Dr. Murallitharan Munisamy berkata, mereka yang mempunyai tahap imunisasi rendah, ada penyakit seperti kanser, lebih berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.
“Pesakit kanser diisyorkan untuk mengambil vaksin. Bagaimanapun, bagi mereka yang dalam rawatan aktif sama ada kemoterapi, radioterapi atau bentuk terapi lain, penilaian individu harus dibuat oleh pakar dan pesakit sendiri,” katanya.
Setiausaha Agung MRCS, Hakim Hamzah berkata, ada yang mempersoalkan mengenai keberkesanan vaksin diberikan serta bertanya status halal.
“Ada yang tanya adakah ia berkesan, cukup penyelidikan dijalankan dan adakah ia selamat? Dalam menjawab persoalan ini, kami perlu terus memberikan pendidikan, untuk memberitahu vaksin itu selamat dan berkesan dalam usaha kita mencapai komuniti herd iaitu sebahagian besar masyarakat mengambil vaksin.
“Kami pergi rumah ke rumah memberikan vaksin kepada mereka yang tidak dapat ke pusat vaksin, terutama komuniti pendatang dan pelarian yang takut untuk tampil mendapatkan vaksin,” katanya.