Hias rumah untuk merdeka, erat hubungan kekeluargaan

Hias rumah untuk merdeka, erat hubungan kekeluargaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali kemerdekaan, semangat jadi berkobar-kobar untuk menghias rumah dengan Jalur Gemilang.

Demikian situasi yang dialami surirumah, Siti Mahfuzah Mohammad Muktar, 46, bersama anak-anak dan suami.

Bagi mereka, tidak lengkap sambutan kemerdekaan saban tahun jika tiada hiasan bertema merdeka di teratak mereka yang terletak di Kampung Budiman, Meru, Selangor.

Uniknya, bukan sekadar hiasan semata-mata, malah Siti Mahfuzah bersama anak-anak turut menyelitkan kad informasi bagi menambah ilmu pengetahuan kepada sesiapa sahaja yang melihatnya.

“Setiap tahun kami sekeluarga berganding bahu menghias halaman dengan tugasan menyediakan kad informasi mengenai kronologi kemerdekaan dibuat oleh anak.

“Suami paling bersemangat dan sering bertanya bila hendak mula menghias? Cuma kali ini dia tidak dapat turut serta kerana kekangan kerja,” katanya ketika ditemui di kediamannya baru-baru ini.

Katanya, pendekatan menghias rumah itu secara tidak langsung dapat membangkitkan semangat patriotik dan menyelami kisah pengorbanan pejuang kemerdekaan.

“Saban tahun saya konsisten buat hiasan sebegini bagi mengekalkan semangat kemerdekaan dalam kalangan ahli keluarga,” katanya yang memperuntukkan RM200 untuk menghias rumah.

Sementara itu, seorang lagi penduduk kampung sama, Mahmud Masom, 83, mengakui tidak menurunkan bendera kebangsaan yang digantung di rumahnya.

Warga emas itu berkata, semangat kemerdekaan tidak pernah luntur dalam diri apatah lagi pernah merasa kehidupan di zaman penjajahan.

“Harga sebuah kemerdekaan sangat mahal dan ini adalah cara saya menghormati kemerdekaan serta bangga dengan kejayaan negara mencapai kebebasan.

“Memang rasa sangat bersemangat setiap kali tengok bendera berkibar di hadapan rumah lebih-lebih lagi semasa musim perayaan,” katanya yang menetap di situ sejak 1965.

Seorang lagi surirumah, Norafida Johari turut tidak ketinggalan menghiasi kediamannya dengan puluhan bendera Malaysia pada bulan kemerdekaan.

Hiasan secara bergantung yang dibuat oleh suaminya itu adalah untuk mengingati jasa-jasa pahlawan dan generasi terdahulu.

“Ini cara kami berterima kasih kepada generasi terdahulu kerana telah memberikan kita semua kehidupan yang selesa pada hari ini,” ujarnya.


Isu 3R kuasai semangat kemerdekaan?
Sambutan hari kemerdekaan kian suram? Yang ada dalam fikiran kita semua, 31 Ogos adalah hari untuk bercuti.

Sambutan ketika ini dilihat jauh berbeza daripada zaman dahulu apabila bendera berkibar megah dan meriah di serata tempat tidak kira di jalan raya mahupun kediaman.

Pengerusi Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Novel Lyndon memiliki pandangan sama.

Katanya, perubahan semangat kemerdekaan ketika ini terutama dalam kalangan anak muda berpunca daripada beberapa faktor seperti struktur sosial masyarakat dan sistem kapitalis.

“Sambutan merdeka dahulu meriah kerana struktur sosial masyarakat yang bersifat agrarian dan sistem kapitalis belum lagi memasuki ruang kehidupan .

“Keadaan ini menyebabkan isu 3R (Agama, Bangsa, Raja) menguasai semangat kemerdekaan, sedangkan isu berlegar pada hari ini ialah sejauh manakah kemerdekaan itu diterjemahkan dalam bentuk perpaduan atau hubungan kaum di negara kita.

“Selain itu, semangat kemerdekaan dalam kalangan anak muda dikesan terhakis kerana pemahaman lemah tentang sejarah pembentukan negara dan tahap pengetahuan politik yang rendah akibat semangat kenegerian serta kepartian,” katanya.

Punca-punca lain adalah fahaman politik berdasarkan perkauman dan pembentukan masyarakat yang semakin bebas serta liberal.

Pakar sosial itu turut tidak menolak dakwaan yang pengaruh media sosial menyebabkan aktiviti kemerdekaan seolah-olah aktiviti tahunan dan aktiviti pemerintah yang intipatinya tidak sampai kepada anak muda.

Rangka program mesra anak muda
Bagi mengatasi permasalahan tersebut, katanya, program-program yang dirangka sepanjang bulan kemerdekaan harus bersifat mesra anak muda, tetapi tidak boleh lari daripada struktur dan norma sosial masyarakat.

“Isu yang berlegar hari ini ialah apakah indikator semangat kemerdekaan? Berapa peratuskah anak muda yang ada semangat kemerdekaan?

“Sejauh manakah tahap literasi anak muda tentang pembentukan Malaysia? Betulkah Malaysia ada dua hari kemerdekaan iaitu 31 Ogos dan 16 September? Perkara ini penting bagi memastikan program intervensi dapat dilakukan oleh institusi kerajaan,” ulasnya.

Selain itu, pihak keluarga, rakan-rakan, pemegang taruh, institusi sosial dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bebas daripada agenda politik perlu memainkan peranan untuk menghidupkan semangat kemerdekaan dalam jiwa generasi Z.

Tegasnya, kemerdekaan itu kedudukannya di atas dan tidak boleh dicampuradukkan oleh politik kepartian.

Bagi anak muda pula, nilai patriotisme yang perlu dihayati adalah tentang sejarah kemerdekaan negara.

“Sudah tentu ia berkaitan pengorbanan nenek moyang dalam menuntut kemerdekaan, sayangkan negara dengan meletakannya di hadapan berbanding kepentingan diri, nilai insan dan norma sosial masyarakat.

“Dari segi sosiologinya, nilai kemerdekaan merujuk kepada hubungan yang harmoni antara rakyat pelbagai kaum, Perlembagaan, raja dan budaya,” akhirinya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya