Guna IoT urus ladang superfruits

Guna IoT urus ladang superfruits

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tanaman superfruits kian berkembang berikutan permintaan tinggi terhadap buah-buahan berkenaan dalam kalangan masyarakat.

Situasi berkenaan mendorong pengusaha pertanian meneroka bidang tanaman buah-buahan yang membekalkan nutrisi tinggi dan memberi banyak manfaat kepada kesihatan manusia.

Petani, Robin Lim, 50, antara usahawan yang mengusahakan ladang Superfruits Valley di Chuping, Perlis, sejak 2016.

Ladang seluas 25 hektar itu ditanam dengan lebih 150,000 pokok superfruits, antaranya mulberi, tin, gac, markisa, finger lime dan lemon.

Katanya, buah-buah berkenaan turut dipasarkan ke sekitar Lembah Klang bagi memenuhi permintaan pengguna di sana.

“Buah-buah dari ladang ini akan dijual ke beberapa tempat seperti pasar raya dan restoran sekitar Lembah Klang, malah permintaannya semakin tinggi setiap tahun,” katanya.

Tambah anak kelahiran Kedah itu, purata hasil tanaman superfruits yang dipasarkan dari ladang berkenaan adalah antara enam hingga lapan tan metrik setiap bulan.

“Lokasi tapak ladang, termasuk cuaca sekitar kawasan Chuping, ini amat bersesuaian untuk tumbesaran superfruits.

“Kawasan ini memiliki suhu panas pada waktu siang dan sejuk di sebelah malam. Ia amat mempengaruhi dalam penghasilan buah berkualiti, dengan rasa yang lebih manis berbanding kebiasaan,” katanya.


Penjagaan aspek mencabar
Proses penjagaan tanaman superfruits agak mencabar dan memerlukan perhatian sebaiknya bagi menghasilkan buah berkualiti.

Berikutan itu, Robin mengambil pendekatan dengan menggunakan teknologi era internet kebendaan (IoT) bagi menguruskan tanaman berkenaan secara lebih teratur.

“Ladang ini tidak mempunyai ramai pekerja kerana kami mengaplikasikan penggunaan sistem bagi membantu tugas seperti penyiraman dan sebagainya mengikut jadual.

“Dengan sistem ini, kita juga mempunyai pangkalan data bagi melakukan kajian terhadap tanaman-tanaman berkenaan,” katanya.

Selain mengusahakan tanaman, Robin aktif melakukan inovasi produk makanan dan minuman berasaskan superfruits yang turut dipasarkan di ladang berkenaan.

Untuk tahun lalu, ladang berkenaan menerima lebih 200,000 pengunjung yang ingin melihat secara dekat tanaman yang ada di ladang superfruits terbesar di Malaysia itu.

Katanya, ladang berkenaan juga merupakan antara destinasi agro-pelancongan yang menarik untuk dikunjungi di Perlis.

“Kami turut menerima kunjungan delegasi luar yang berminat mengetahui tentang kaedah penanaman di ladang ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya