Green Camp cungkil bakat terpendam pelajar

Green Camp cungkil bakat terpendam pelajar

MUHAMMAD AIMAN DANIEL Saiful Nizar (kiri) dan Ainnur Delynna Nabilla Azizi menunjukkan sijil penghargaan yang diterima pada Majlis Perasmian Penutup Program Green Camp Melaka 2023 di Pengkalan Balak, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Berani, kreatif, memimpin dan bertanggungjawab antara elemen dalam diri yang cuba dipupuk oleh Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) terhadap para peserta Program Green Camp 2023.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ismail Hasim berkata, aktiviti berkumpulan mendedahkan pelajar tentang ilmu alam sekitar dan konsep mengekalkan kelestarian.

Katanya, mereka kemudiannya perlu melakukan aktiviti seperti persembahan, melepaskan anak penyu dan eksplorasi supaya dapat mengaitkan ilmu yang telah dipelajari dengan aktiviti berkenaan.

“Contohnya aktiviti eksplorasi membolehkan mereka menyelami fungsi dan peranan yang dilakukan masyarakat setempat. Proses ini mengajar mereka untuk menghargai peranan masing-masing.

“Kita juga mahu memupuk semangat setia kawan, berkumpulan dan memimpin yang mana akhirnya nanti pelajar ini dapat menyampaikan pengalaman tersebut kepada rakan sekolah dan keluarga,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Perasmian Penutup Program Green Camp Melaka 2023 di sini, semalam.

Sementara itu, pelajar terbaik kategori lelaki, Muhammad Aiman Daniel Saiful Nizar, 11, berkata, Green Camp mencungkil bakatnya sebagai pemimpin apabila diberi peluang untuk menjadi ketua kumpulan.

Menurut pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Bidara itu, pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang tiga hari, ia berjaya mengubahnya menjadi seorang yang berani, yakin pada diri dan menjadi lebih bertanggungjawab terhadap orang lain.

Dalam pada itu, pelajar terbaik kategori perempuan, Ainnur Delynna Nabilla Azizi, 11, memberitahu, dia menyertai kem berkenaan secara sukarela kerana pengisiannya yang sarat dengan aktiviti bermanfaat.

“Antara perkara menarik yang saya dapat belajar adalah tentang spesis hidupan marin yang semakin terancam iaitu penyu karah. Banyak maklumat baharu yang saya dapat dan akan berkongsi dengan rakan-rakan lain selepas ini.

“Selain itu, aktiviti eksplorasi mengajar saya untuk menghargai setiap perkara kerana tidak semuanya diperolehi dengan mudah. Benda yang dianggap tidak berguna lagi masih ada fungsinya, cuma perlu dihantar ke tempat yang betul,” kata pelajar SK Datuk Demang Hussin itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya