Peperangan Uhud berlaku pada pagi Sabtu 15 Syawal tahun ke-3 Hijrah. Perang ini memberi kesan yang begitu mendalam dalam setiap hati umat Islam kerana ia menatijahkan kesyahidan 70 sahabat Rasulullah SAW.
Walaupun peperangan ini pada pusingan awalnya dimenangi umat Islam, kesilapan tanpa sengaja kebanyakan pasukan pemanah yang ditempatkan di atas Bukit Pemanah dalam memahami keinginan sebenar Rasulullah SAW, akhirnya membawa kepada kematian jumlah yang besar dalam kalangan sahabat Nabi SAW.
Setelah Rasulullah SAW dan para tentera Islam selesai melaksanakan solat fardu subuh di Kebun al-Shawt, baginda dan para tentera meneruskan perjalanan sehingga sampai di medan peperangan Uhud.
Maka yang mula-mula sekali dilihat oleh mereka sewaktu tiba di medan pertempuran adalah Jabal ‘Aynayn (Bukit Dua Anak Mata Air). Bukit ini dinamakan sedemikian kerana dahulunya terdapat dua mata air di bukit tersebut. Bukit ini pada hari ini lebih dikenali dengan nama Jabal al-Rumah (Bukit Para Pemanah).
Ia mengambil sempena keberadaan 50 pemanah yang ditugaskan oleh Rasulullah SAW untuk terus berkawal di atas bukit itu agar pasukan tentera Islam tidak diserang dari arah belakang.
Para pemanah diketuai Saidina Abdullah bin Jubayr bin al-Nu‘man. Mereka diperintahkan Rasulullah SAW berkawal dan jangan turun dari bukit ini tidak kira sama ada tentera Islam menang atau kalah.
Namun setelah tentera musyrikin dikalahkan pada pusingan pertama perang Uhud, para pemanah mula turun meninggalkan bukit ini kerana memahami bahawa mereka hanya diminta tetap berada di atas bukit selagi peperangan masih berlangsung.
Mereka sangka perang sudah tamat sepenuhnya. Saidina Abdullah telah menasihatkan mereka agar tetap berada di atas Bukit ‘Aynayn namun kebanyakan pemanah tetap turun sehingga yang tinggal di atas bukit itu hanyalah beliau dan beberapa orang yang bilangan mereka kurang daripada 10 orang.
Apabila Saidina Khalid bin al-Walid yang ketika itu masih seorang musyrik, melihat dari jauh kekosongan bukit daripada pasukan pemanah, beliau terus bergerak bersama-sama dengan pasukan berkudanya dengan disertai oleh Saidina ‘Ikrimah bin Abu Jahl yang juga belum memeluk Islam ketika itu.
Mereka menuju ke Bukit ‘Aynayn untuk menyerang pemanah yang masih berada di atas bukit. Akhirnya semua para pemanah yang masih berada di atas bukit termasuklah Saidina Abdullah dibunuh tentera berkuda musyrikin. Seterusnya tentera berkuda musyrikin ini menyerang tentera Islam yang sedang mengutip harta rampasan perang dari arah belakang sehingga keadaan menjadi kelam-kabut.
Peristiwa ini akhirnya membawa kepada kekalahan umat Islam setelah diserang dari arah belakang oleh pasukan berkuda Saidina Khalid dan Saidina ‘Ikrimah.
Sementara dari arah hadapan pula tentera Islam diserang semula oleh tentera musyrikin yang pada awalnya sudahpun bertempiaran lari meninggalkan medan perang.
Laungan Iblis Dari Atas Bukit ‘Aynayn
Semasa peperangan Uhud, Iblis telah berupa dengan rupa seorang sahabat Rasulullah SAW yang bernama Saidina Ji‘al bin Suraqah al-Dhomriyy lalu iblis telah berkata di atas Bukit ‘Aynayn: “Sesungguhnya Muhammad telah terbunuh” sebanyak tiga kali laungan.
Penyerupaan ini menyebabkan sebahagian tentera Islam ingin membunuh Saidina Ji‘al bin Suraqah kerana menyangka beliaulah yang melaung itu.
Namun Saidina Khowwat bin Jubayr dan Saidina Abu Burdah bin Niyar menenangkan tentera Islam mereka berdua berperang melawan musuh bersama-sama dengan Saidina Khowwat bin Jubayr dan orang yang melaung tersebut bukanlah Saidina Ji’al.
Selain daripada kisah para pemanah dan laungan iblis, Bukit ‘Aynayn juga pernah didaki Rasulullah SAW. Baginda juga pernah solat di atas bukit tersebut di bahagian sebelah barat bukit ini. Lokasi solat Nabi SAW ini, ditandai dengan pembinaan sebuah masjid di lokasi tersebut yang masjid ini dikenali dengan nama Masjid ‘Aynayn. Namun bangunan masjid itu sudah diruntuhkan dan kini hanya berbaki tinggalan semata-mata.
Lokasi Kesyahidan Saidina Hamzah
Saidina Hamzah bin Abd. al-Muttalib, iaitu bapa saudara Rasulullah SAW telah gugur sebagai syuhada berdekatan Bukit ‘Aynayn. Beliau semasa peperangan Uhud berjaya membunuh lebih 30 tentera musuh sebelum beliau syahid.
Beliau dibunuh oleh Saidina Wahshiyy sebelum keislamannya dengan tujahan tombak secara curi-curi atas permintaan tuannya iaitu Saidina Jubayr bin Mut‘im bin ‘Adiyy yang ketika itu juga belum memeluk agama Islam.
Tindakan itu kerana ingin membalas dendam atas kematian bapa saudara beliau, Tu‘aymah bin ‘Adiyy bin Nawfal yang telah dibunuh oleh Saidina Hamzah di dalam peperangan Badar.
Saidina Jubayr berjanji membebaskan Saidina Wahshiyy daripada perhambaan sekiranya beliau berjaya membunuh Saidina Hamzah. Selain itu Saidina Wahshiyy juga dijanjikan dengan harta kekayaan yang banyak oleh Saidatina Hind binti ‘Utbah bin Robi‘ah yang juga ketika itu belum memeluk agama Islam jika Saidina Wahshiyy berjaya membunuh Saidina Hamzah.
Ia demi membalas dendam atas kematian bapanya, ‘Utbah bin Robi‘ah dan pak ciknya, Shaybah bin Robi‘ah yang kedua-dua mereka dibunuh Saidina Hamzah dalam peperangan Badar.
Mayat Saidina Hamzah diperlakukan secara sadis oleh Saidatina Hind dengan membelah perut, memotong hidung, memotong telinga beliau bahkan Saidatina Hind juga telah memotong kemaluan Saidina Hamzah.
Saidatina Hind juga telah mengunyah hati Saidina Hamzah sebelum beliau meluahkannya semula.
Setelah peperangan selesai dan tentera Musyrikin sudah meninggalkan medan Uhud, Nabi SAW menemui jenazah Saidina Hamzah yang begitu teruk diperlakukan sehingga baginda menangis sedih sehingga kedengaran nafas kesedihan baginda.
Baginda lalu bersabda: Allah merahmatimu.Sesungguhnya anda benar-benar seorang yang menyambungkan hubungan kekeluargaan jua seorang yang benar-benar melakukan kebaikan-kebaikan. Kalaulah tidak kerana kesedihan orang selepas anda terhadap anda, nescaya saya suka untuk membiarkan (jenazah) anda (tanpa dikebumikan) sehingga anda akan dibangkitkan (pada hari kiamat nanti) daripada (perut) berjenis-jenis (binatang buas yang makan jasad anda). Demi Allah saya akan merosakkan 70 (mayat) mereka ganti kepada (kebiadaban mereka terhadap jasad) anda”.
Lalu semasa Rasulullah SAW masih lagi berdiri di tepi jenazah Saidina Hamzah, Saidina Jibril turun membawa firman Allah daripada ayat ke-126, surah al-Nahl sehingga akhir surah tersebut bermaksud: Sekiranya kalian membalas, maka balaslah sebagaimana kalian telah dibalas.
Sekiranya kalian bersabar (daripada membalas dendam), ia benar-benar adalah baik bagi orang-orang yang bersabar. Bersabarlah dan tiadalah kesabaranmu melainkan hanya dengan sebab (bantuan) Allah. Janganlah anda bersedih atas sebab (perbuatan) mereka dan janganlah anda berada di dalam kesempitan daripada apa sahaja yang mereka menipu daya. Sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berlaku baik.
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.