PERMAINAN video mampu membawa pengaruh buruk kepada kanak-kanak, jika digunakan secara berlebihan atau tanpa kawalan.
Namun, sekiranya dimanfaatkan dengan baik, aplikasi itu boleh meningkatkan penguasaan ilmu seseorang.
Demikian perjalanan dua beradik dari Melaka, Yusuf Dini Rosdi Izam, 11, dan Umar Dini, 13, yang mengasah bakat muzik mereka menerusi permainan video instrumen.
Hingga kini, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Balak itu mahir bermain ukulele dan keyboard di samping menyanyi manakala abangnya yang menuntut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Bharu pula menguasai alat muzik dram.
Bakat dimiliki dua beradik itu turut mendorong mereka menubuhkan kumpulan muzik dikenali sebagai Dini’s Band hingga mampu meraih tempat kedua dalam Pertandingan Tunjuk Bakat Kita (TBK) 2020 yang melibatkan 10 sekolah-sekolah di Melaka.
Menurut ibunya, Surhaini Mohd. Saidi, 43, minat anak sulung dan keduanya dalam bidang muzik bermula sejak 2017 apabila mereka mampu mengikut irama ketika bermain permainan video, namun, penglibatan secara serius adalah semasa Covid-19 pada 2020.
Terdahulu, Yusuf Dini dan Umar Dini pernah mengikuti kelas muzik pada 2019 tetapi tidak bertahan lama kerana pandemik.
“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka mendapat idea untuk membuat persembahan akustik menerusi Facebook bagi mengisi masa lapang dan mengelak bermain gajet.
“Usaha itu mendapat pujian ramai sekali gus menguatkan lagi motivasi anak-anak untuk terus berlatih dengan dibantu ‘guru baharu’ iaitu Youtube,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Sesekali sesi latihan muzik itu turut disertai bapa kanak-kanak itu, Rosdi Izam Ibrahim, 45, yang berkebolehan bermain gitar.
Antara lagu pilihan Dini’s Band ketika latihan dan persembahan adalah daripada kumpulan muzik kegemaran mereka iaitu The Score, Imagine Dragons dan Skillet.
Dalam pada itu, Surhaini berkata, Dini’s Band aktif membuat persembahan di majlis rasmi, sekolah-sekolah di samping chalet sekitar Pengkalan Balak pada hujung minggu.
Majlis itu termasuk Konsert Bakat Muda Malaysia anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) pada Ogos 2022 diikuti Rumah Terbuka Aidilfitri 2022 Parlimen Masjid Tanah dan Sambutan Hari Kanak-Kanak SK Pengkalan Balak.
Duit persembahan beli keperluan sekolah, yuran
Setiap bayaran yang diterima daripada jemputan persembahan dimanfaatkan oleh dua beradik itu untuk membeli keperluan sekolah mahupun yuran mereka.
Di samping itu, wang berkenaan turut disimpan untuk membeli instrumen dan selebihnya dimasukkan ke dalam bank.
Langkah itu bertujuan meringankan beban ibu bapa yang banyak menyokong mereka selama ini.
Sebagai ibu, Surhaini lega kerana anak-anaknya dapat berjimat-cermat dan tidak boros dengan pendapatan sampingan yang dimiliki.
“Bermula tahun ini, persembahan Dini’s Band agak terhad memandangkan anak sulung sudah memasuki sekolah berasrama penuh di Selangor.
“Tetapi, setiap bulan kami sekeluarga akan mengisi masa berkualiti bersama dengan jamming di studio sekitar Melaka,” katanya.
Surirumah itu berkata, anak ketiganya turut berkebolehan bermain keyboard manakala anak bongsu yang berusia tiga tahun mampu memahami rentak lagu.
Akademik tetap jadi keutamaan
Selain bidang muzik, Yusuf Dini dan Umar Dini aktif dalam sukan catur, bola sepak dan teakwondo.
Malah, kedua-duanya merupakan wakil negeri berturut-turut dalam pertandingan anjuran Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di samping di peringkat Kebangsaan dan antarabangsa.
“Saya dan suami menyokong apa sahaja minat anak-anak sama ada muzik atau sukan tetapi akademik tetap perlu diutamakan.
“Sebaik-baiknya biarlah minat itu seiring dengan pelajaran mereka dan setakat ini kedua-duanya menyatakan minat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan,” katanya. -UTUSAN