Aneh, jalan di China, tersusun, selesa

Aneh, jalan di China, tersusun, selesa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANJANG perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Shenzhen Bao’an, China ke pusat bandar, mata saya hanya ditumpukan ke arah keadaan jalan dan lebuh raya di sana.

Cantik, terurus dan selesa. Itulah tiga perkataan yang boleh diungkapkan. Dalam masa sama, saya cuba menjadi adil dalam penilaian, fikir saya, “Alah, ini mungkin di pusat bandar sahaja, entah-entah tempat lain teruk kot.”

Namun, sangkaan saya meleset kerana jalan raya di hampir seluruh kota Shenzhen berada dalam keadaan baik walaupun di penempatan yang kurang membangun.

Perasaan geram dan marah pun terbit dalam hati tatkala memikirkan keadaan jalan raya di Malaysia yang sangat teruk. Faktanya, Shenzhen merupakan bandar ketiga terbesar di China dengan kepadatan penduduk mencecah lebih 17 juta orang.

Aneh, bagaimana negara yang mempunyai belasan juta penduduk itu dapat menikmati keadaan jalan raya yang baik.

Berbeza dengan kota metropolitan Kuala Lumpur yang merupakan bandar terbesar dan ibu negara Malaysia. Rakyatnya saban hari terpaksa mengadu dan merintih selain ‘disakiti’ kerana keadaan jalan raya sangat teruk.

Saya yakin, pembaca sendiri pun sudah masak dengan keadaan di sekitar Jalan Ampang, Setiawangsa atau senang cerita mana-mana sahajalah.

Cukup menyedihkan. Itu belum lagi ditambah dengan lampu jalan yang kadang-kadang berfungsi, kadang-kadang tidak. Sepatutnya jalan-jalan di sekitar ibu kota perlulah dalam keadaan terbaik.

BEBAN KEWANGAN
Bila jalan raya berada dalam keadaan baik, pengguna pun akan rasa selesa, tidak perlu fikir tentang tayar, servis dan sebagainya sekali gus mengurangkan bebanan kewangan.

Di China, selain keadaan jalan raya yang memuaskan, basikal juga mula digunakan secara meluas tanpa mengira perbezaan usia. Mereka tidak perlu pun membeli basikal, cukup sekadar menyewanya. Di mana?

Di mana-mana sahaja ada tempat menyewa basikal, anda hanya perlu muat turun aplikasi Mobike. Menariknya, penyewa boleh meninggalkan basikal di mana sahaja mereka inginkan, baik di kaki lima atau taman.

Cukup sekadar mengunci basikal yang dilengkapi dengan sistem GPS itu.

Kalau melihat basikal di kaki lima, anda boleh menyewanya terus dengan menggunakan alat pengesan QR Code dan membuat pembayaran sebanyak 1RMB (RM 0.64) secara dalam talian bagi tempoh sejam. Jangan risau kerana di setiap pelusuk Shenzhen terdapat laluan khas basikal dan keadaannya baik serta memuaskan.

Kadang-kadang ada juga satu atau dua kawasan yang jalannya kurang baik, namun tahap kerosakan sangat minimum dan selalunya berada di kawasan pembinaan dengan lori berat keluar masuk.

JALAN LUAS
Seperti di Malaysia juga, masalah trafik turut berlaku di Shenzhen lebih-lebih lagi pada waktu puncak, tetapi yang membezakan ialah keluasan jalan rayanya. Kebanyakan jalan dan lebuh raya di China mempunyai empat atau lima lorong.

Pelik, negara yang selalu dimomokkan dengan Komunisme ini nampaknya mampu menyediakan jalan raya yang baik kepada warganya. Betul kata orang, kalau kita mahu tahu tentang sesebuah negara, kita sendiri yang kena pergi tengok, bukan sekadar baca di Google lebih-lebih lagi kalau sumber itu dari Barat yang secara terang-terangan tidak pernah adil dalam menilai negara-negara bukan Mat Salih.

Perkongsian kali ini hanya menumpukan kepada keadaan jalan raya di China. Akan datang saya akan kongsikan pula bagaimana cara pemanduan di China. Adakah mereka berdisiplin atau berbahaya? Kalau anda mahu tahu, tunggu perkongsian akan datang. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya