Wang kertas ‘tak laku’ di China - Utusan Malaysia

Wang kertas ‘tak laku’ di China

URUSAN perniagaan banyak diselesaikan dengan QR Code, menjadikan wang tunai Yuan kurang popular.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lima hari berada di Shenzhen, China, selama itu jugalah saya sama sekali tidak pernah melihat apatah lagi menyentuh mata wang kertas China, Yuan.

Di China, wang kertas seolah-olah tidak wujud lagi kerana segala urusan jual-beli, pembayaran atau apa sahaja berkaitan dengan kewangan akan dijalankan menerusi atas talian.

Kalau tradisi warga kita nak melancong ke luar negara, kita wajib siap-siap tukar duit dari Ringgit Malaysia sama ada ke dalam mata wang Dolar ataupun Euro, saat tiba ke destinasi negara yang dituju, barulah kita akan menukar wang itu ke dalam mata wang negara tersebut.

Namun berbeza pula kisahnya di China, syarat sebelum ke negara Sosialis ini, kita wajib muat turun aplikasi AliPay dan WeChat terlebih dahulu kerana kedua-dua aplikasi inilah akan digunakan sepanjang masa untuk tujuan membeli belah.

Selain AliPay dan WeChat, aplikasi Union Mobile Pay, HD Bank Mobile Wallet atau Iqianbao turut digunakan sebagai kaedah pembayaran di China.

Malaysia juga giat dengan penggunaan wang atas talian (digital) dan sudah mula mendapat tempat di hati masyarakat kita. Minum teh tarik di restoran mamak pun kita dah boleh bayar dengan menggunakan QR Code.

Namun ia masih terlalu baru dan tidak ramai yang biasa menggunakannya terutamanya dalam kalangan warga emas. Lagipun tidak semua tempat menyediakan khidmat pembayaran seperti itu.

Di China, setiap lapisan masyarakat tak kira umur termasuklah setiap premis perniagaan terutamanya di kota-kota besar mempunyai sebuah telefon bimbit untuk urusan jual-beli.

Menurut TenbaGroup, kini terdapat sekurang-kurangnya 900 juta pengguna internet di China yang menjalankan urusan jual-beli secara atas talian dan daripada itu, transaksi urus niaga telah mencecah lebih 17 bilion AS$ (RM79 bilion).

Kaedah pembayaran secara digital di China telah mula secara meluas sejak pandemik Covid-19. Kerajaan China telah menyeru rakyatnya supaya mula menggantikan wang kertas kepada digital sebagai antara langkah untuk mengurangkan jangkitan Covid-19 menerusi sentuhan.

Untuk pengetahuan, tidak ramai warga China yang membawa beg dompet seperti kita kerana selain pembayaran atas talian, kad pengenalan atau identiti peribadi mereka termasuklah lesen memandu turut dimuatkan dalam telefon bimbit.

Sekiranya membawa kad pun, ia hanyalah sekadar kad bank dan selalunya digunakan oleh warga asing untuk urusan pembayaran.

BATERI KENA PENUH

Walaupun penggunaan digital itu memudahkan, namun ia tetap mempunyai sisi negatifnya contohnya bateri telefon bimbit anda kena sentiasa penuh. Memang kebanyakan tempat di China mempunyai tempat mengecas telefon, namun ia tetap mengambil masa untuk memastikan bateri telefon dalam peratusan mencukupi.

Mungkin ada yang tertanya, bagaimana kalau ada masalah jaringan internet contohnya internet bergerak perlahan atau wifi tak berfungsi sama sekali? Kalau situasi di China, masalah jaringan internet ini bukanlah masalah utama kerana China merupakan antara negara yang mempunyai kelajuan internet di dunia, 165.38 Mbps (2021).

Sistem internet di China dijaga dengan baik kerana mereka tahu kepentingannya dalam memastikan ekonomi bergerak dengan lancar.

Oleh itu kalau kita mahu rakyat Malaysia menukar kaedah pembayaran kepada digital sepenuhnya, maka jaringan internet kita perlulah laju dan diselenggara pada tahap terbaik.

Saya pernah beberapa kali berdepan masalah sewaktu membuat pembayaran secara atas talian di Malaysia.

Bukan sahaja mengambil masa tunggu internet kembali stabil, bahkan terpaksa membuatkan orang ramai menunggu dalam tempoh yang lama.

Itu belum lagi bab pembayaran dengan menggunakan kad debit. Kadang-kadang mesin alat kad debit di pasaraya juga alami masalah dan pada akhirnya terpaksa bayar secara tunai.

Saya fikir, daripada sudut ini, Malaysia kurang bersedia untuk mengikut jejak langkah China.

Perkara paling utama kita harus buat sebelum menggerakkan usaha ini ialah dengan memastikan jaringan internet lebih pantas dan menyediakan lebih banyak tempat mengecas bateri.

Masalah scam atas talian turut dilihat begitu parah di Malaysia.

Terlalu banyak kes berkaitan pencurian wang atas talian yang masih berlaku, ianya berkemungkinan sama ada sistem keselamatan digital kita masih tidak begitu berkualiti atau sebahagian pengguna internet masih tidak biasa dengan selok belok digital.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya