KAJIAN mendapati hanya 30 peratus pesakit yang mengalami jantung terhenti menerima bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebelum kehadiran pasukan perubatan di lokasi kejadian.
Penemuan itu sekali gus membuktikan yang pengetahuan dan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan CPR masih lagi di tahap kurang memuaskan.
Sedangkan, penguasaan kemahiran tersebut amat penting dalam meningkatkan jangka hayat pesakit dan mengurangkan kes kematian di luar hospital.
Melihat kepada situasi itu, Pensyarah Kanan di Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Muhamad Nur Fariduddin Abdul Aziz menyarankan agar CPR dijadikan subjek wajib untuk semua pelajar di sekolah.
Katanya, langkah tersebut selaras dengan pendekatan di Eropah yang menjadikan CPR sebagai pembelajaran utama di sekolah rendah serta menengah.
Ujarnya, ketika ini CPR merupakan sebahagian daripada kurikulum di peringkat menengah dan ditekankan dalam subjek sains serta pendidikan kesihatan, namun, pelaksanaannya bersifat teori tanpa latihan praktikal khususnya dengan menggunakan mannequin.
“Justeru, saya berharap agenda mewajibkan pengajaran dan pembelajaran CPR ini dapat diintegrasikan sepenuhnya dalam kurikulum nasional di Malaysia.
“Inisiatif itu bakal mewujudkan populasi dewasa yang terlatih dengan CPR dan berupaya untuk memberi bantuan dengan efektif semasa kecemasan dan seterusnya menyumbang kepada penurunan kadar kematian di luar hospital di negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Latih guru, modul khas
Dalam merealisasikan agenda itu, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah memastikan ejen penggerak utama iaitu guru dilatih dengan ilmu CPR serta kes-kes perubatan kecemasan.
Muhamad Nur Fariduddin berkata, apabila guru menguasai pengetahuan serta kemahiran yang sewajarnya, mereka dapat mengajar golongan sasar dan ilmu itu seterusnya disalurkan kepada keluarga dan masyarakat.
“Dalam kesan jangka panjang, satu komuniti yang terlatih dengan kemahiran CPR akan berjaya diwujudkan.
“Contohnya, di Jepun, guru di negara itu berkebolehan mengajar CPR setara dengan kumpulan pengamal perubatan manakala 90 peratus pendidik di Eropah yang mengajar CPR mempamerkan keyakinan tinggi dalam menyampaikan ilmu tersebut,” katanya.
Begitupun, ujarnya penambahbaikan kepada bahan-bahan pembelajaran turut perlu dilakukan antaranya membabitkan isi kandungan buku teks.
Malah, penggunaan bahan pembelajaran berbentuk kendiri amat digalakkan seperti inisiatif dilakukan Amerika Syarikat dalam memperkenalkan modul khas beserta kit tambahan yang dibekalkan ke setiap sekolah.
Sasar 16 peratus populasi dewasa
Sekurang-kurangnya 16 peratus atau 3.6 juta daripada populasi dewasa di Malaysia perlu terlatih dengan penguasaan CPR bagi mengurangkan kes jantung terhenti di luar hospital (OHCA).
Muhamad Nur Fariduddin berkata, jumlah itu dapat dicapai jika Malaysia mewajibkan kesemua pelajar mempelajari, menguasai dan seterusnya lulus dalam pembelajaran CPR secara efektif serta berkesan.
Hingga kini Malaysia memiliki lebih 10,000 buah sekolah dengan anggaran sebanyak lima juta pelajar dan 420,000 guru daripada peringkat pra sehingga menengah.