menghadapi tekanan dengan bijak

Urus tekanan, elak ‘burnout’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Penatnya…kenapa tak habis-habis kena hadap macam-macam masalah dalam hidup?” Lemah semangat dan putus asa dengan diri sendiri adalah perkara biasa yang sering dihadapi oleh setiap insan.

Bagaimanpun sebaiknya perasaan itu tidak dibiarkan berpanjangan kerana dikhuatiri boleh menjejaskan kesejahteraan mental, cari sokongan untuk meringankan beban yang dipendam.

Bukan anda seorang mengalami cabaran. Individu kita lihat mempunyai kerjaya dan kewangan kukuh pun turut diuji dengan pelbagai dugaan hidup. Antaranya jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang,35, yang diuji dengan penyakit jantung pada tahun lalu sehingga terpaksa berehat daripada sebarang aktiviti termasuk latihan berbasikalnya.

Namun, semua itu tidak melemahkan semangat beliau untuk terus berjuang.

Selepas setahun melakukan pembedahan jantung, Azizulhasni yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman, berjaya membawa pulang pingat perak pada Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Jakarta, Februari lalu.

“Saya cukup terkejut bila disahkan mengalami sakit jantung kongenital iaitu masalah yang terjadi sejak dilahirkan. Penyakit itu diketahui masa saya buat pemeriksaan kesihatan untuk mendapatkan lesen kelulusan sebagai pelumba. Doktor pun tidak percaya saya ada masalah jantung sebab agak mustahil ia berlaku ke atas saya sebagai atlet sukan yang bertanding di peringkat Olimpik.

“Saya terpaksa melalui pembedahan pada 21 April 2022 dan perlu berehat selama beberapa bulan. Memang saya tergamam dan sedikit rasa kecewa. Dari seorang yang aktif tiba-tiba saya kena duduk rumah saja. Namun saya tidak layan perasaan itu. Saya cari hobi baharu, menanam pokok dalam rumah dan bela ikan dalam aquarium kecil. Saya gembira bila tengok ikan berenang. Ia buat saya tersenyum,” katanya.

Pemenang pingat gangsa dan perak Olimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020 itu berkata demikian pada sesi bual bicara, ‘Kesejahteraan Bermula Di Rumah’ dianjurkan Gardenia Bakeries KL (Gardenia KL), di bawah payung #GardeniaCares dengan kerjasama SOSCILI, baru-baru ini.

Turut serta, Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA), Anita Abu Bakar, Pengasas We & I Art, Zuraini Anuar dan Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam, Gardenia Kuala Lumpur, Hazlinah Harun. Bual bicara itu dipengerusikan oleh Saree Abdullah.

Azizulhasni berkata, lagi tinggi cita-cita, cabarannya akan lebih besar. Bagi mengatasi sebarang cabaran yang perit, beliau menasihatkan supaya jangan malu meminta bantuan pihak sepatutnya. Beliau bersyukur kerana mempunyai sistem sokongan daripada keluarga terutama isteri dan anak-anak yang banyak memberikan sokongan dan doa.

Tinjauan kesihatan mental

Gardenia Bakeries KL (Gardenia KL) dengan kerjasama Soscili, baru-baru ini membuat tinjauan ‘Kalis Koyak’ dan mendapati kaitan cabaran dihadapi dengan tindakbalas orang ramai terhadapnya.

Responden terdiri daripada campuran individu yang bujang dan yang sudah berkahwin serta yang mempunyai anak dan juga tiada anak.

Ketua Kandungan Cilisos Media, Nabihah Rosli, berkata tinjauan disertai 1,020 responden dari Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pulau Pinang, membabitkan individu berumur 17 hingga 56 tahun ke atas mendapati, 57.7 peratus responden mengakui keyakinan diri mereka terjejas apabila berdepan cabaran getir dan 56.3 peratus pula terasa seolah-olah gagal.

“Kira-kira 51.8 peratus responden terasa keseorangan tanpa orang lain dapat membantu, hilang pedoman dan tujuan hidup (50.4%) dan mengalami kemerosotan kesihatan mental (42.7%).

“Tingkah laku membimbangkan lain yang dialami apabila menghadapi cabaran termasuk lebih panas baran (38.2%), terlintas di fikiran untuk mencederakan atau membunuh diri (27%) dan terasa terdesak dari segi kewangan (25.6%),” katanya membentangkan hasil tinjauan berkenaan.

Nabihah berkata, hanya segelintir (11.3%) daripada responden menyatakan mereka mendapatkan bantuan profesional apabila berdepan cabaran getir. Manakala hanya 22.1 peratus sedar mereka memerlukan bantuan.

Sebahagian besar daripada responden lebih suka mengambil pendekatan pasif apabila berdepan dengan masalah.

Antara reaksi popular termasuk mengharapkan cabaran tersebut akan berlalu nanti (49.4%), menyerahkan segalanya kepada Tuhan (43.5%), dan mengelakkan diri daripada memikirkan tentang masalah (40.5%).

Jawapan yang terima menunjukkan pilihan umum untuk menggunakan pendekatan ‘tunggu dan lihat’ dalam kalangan responden.

Anak Autism beri cabaran

Cabaran paling besar dilalui Zuraini adalah membesarkan anak autismnya dalam status diri bergelar ibu tunggal.

“Anak autisme tidak boleh meluahkan perasaan mereka. Sebagai orang kurang upaya (OKU) mereka perlukan tempat yang selamat supaya mereka tidak dihukum dan berdepan stigma atau diskriminasi.

“Bagi membolehkan anak-anak OKU meluahkan perasaan dan emosi mereka, ‘We & I Art’ ditubuhkan oleh anak saya sendiri, Izati Shahril. Kami pamerkan lukisan yang dihasilkan sehingga ibu bapa lain bertanya cara untuk ketengahkan bakat anak mereka.

“Hari ini sudah ada galeri dan kedai menjual produk yang dihasilkan di Muzium Telekom. Kami galakkan mereka datang dan bina keyakinan diri. Sekarang ada trend di mana ada banyak bengkel bukan saja untuk OKU, tapi untuk orang ramai untuk menjalankan seni terapi emosi,” katanya.

Tambah beliau, kaedah menggunakan seni sebagai terapi lebih baik berbanding berkongsi masalah dengan rakan sebaya. Ini kerana dikhuatiri ada yang menawarkan kaedah songsang seperti ‘pil gembira’ untuk melegakan tekanan.

Anita pula berkata pandemik Covid-19 banyak mengajar mengenai kepentingan sistem sokongan bagi membantu mereka yang berdepan cabaran dalam kesejahteraan mental.

“Ketika pandemik, ternyata sistem sokongan kita tidak bersedia untuk membantu mereka yang berdepan cabaran Covid-19. Ilmu kesihatan mental sebenarnya sangat penting bagi membina daya tahan kita.

“Ibubapa dan guru memainkan peranan penting dalam membantu mereka yang berdepan cabaran getir. Anda hanya perlu seorang saja untuk berkongsi masalah tapi lebih ramai lebih baik dan menjadikan anda lebih kuat,” katanya.

Ujarnya, rasa tertekan adalah biasa sebagai manusia tetapi apabila tekanan dialami mengganggu fungsi harian sehingga tidak dapat berfungsi seperti biasa, itu adalah saat individu terbabit memerlukan bantuan.

“Emosi yang tidak normal menyebabkan benda biasa yang kita buat jadi sangat sukar. Ia menyebabkan kita tidak boleh bekerja dan tidak boleh duduk seorang diri. Jadi bila ada perubahan tingkah laku, inilah satu petunjuk yang mungkin kita perlu mendapatkan pertolongan,” katanya.

Hari ini ramai yang suka gunakan istilah sakit mental, namun tidak semudah itu dapat penyakit mental kerana ia memerlukan pelbagai faktor dan waktu bagi mengesahkannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya