KESEDARAN terhadap aspek pemeriksaan kendiri membabitkan pelbagai penyakit masih rendah dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Premier Integrated Labs, Hareeff Muhammed berkata, pemerhatian dan dapatan pihaknya menemukan hanya 20 daripada 100 individu sahaja yang mempunyai kesedaran dalam melakukan pemeriksaan tersebut.
Katanya, selaras untuk meningkatkan kesedaran dalam aspek berkenaan, pihaknya memperkenalkan aplikasi I-Premier.
“Menerusi aplikasi ini doktor memasukkan segala data pesakit dan kemudian sampel ujian akan dihantar ke makmal sebelum dipautkan dengan data pesakit tadi.
“Proses ini akan menjadi lebih cepat berbanding cara lama yang memerlukan proses penerimaan dan pendaftaran apabila sampel ujian dihantar ke makmal,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Tambah Hareeff, platform itu nanti dapat menyelaraskan proses dalaman dan meningkatkan kualiti serta pengalaman pelanggan melalui pesanan makmal yang lancar, permintaan untuk bahan keperluan makmal, penjejakan penghantaran sampel dan lain-lain perkhidmatan penting.
Dalam pada itu, katanya, Premier Integrated Labs yang merupakan salah satu entiti perkhidmatan makmal diagnostik kini melakukan penjenamaan semula syarikat tersebut selepas dikenali sebagai Pantai Premier Pathology.
“Kita mahu menjadi sebuah perkhidmatan makmal rujukan yang lebih memfokuskan ujian-ujian diagnostik khusus seperti bidang diagnostik molekul, sitogentik, jujukan genom, histologi dan kesihatan keluarga.
“Perkhidmatan khusus ini bukan sahaja ditawarkan dalam kalangan kumpulan hospital IHH Healthcare Berhad tetapi juga akan diperluaskan melangkaui sempadan pasaran Asia Tenggara,” ujarnya. – UTUSAN