TIDAK ramai yang mengenali Sungai Panjang jika dibandingkan dengan jirannya, Sekinchan.
Namun, Sungai Panjang yang terletak dalam daerah Sabak Bernam itu sebenarnya sudah sinonim dengan perusahaan inap desa dan industri kecil sederhana (IKS) sejak dahulu lagi.
Saban tahun ada sahaja pengusaha baharu dalam bidang pelancongan dan keusahawanan, malangnya perniagaan mereka sukar untuk berkembang.
Walaupun produk dan perkhidmatan yang diperkenalkan memiliki potensi tersendiri, tetapi masih belum mampu bersaing dengan kawasan sekitar.
Kini, suasana itu mulai berubah, Sungai Panjang yang dahulunya bukan pilihan ramai tiba-tiba popular hingga merebak ke media sosial.
Buktinya, lebih 1,000 orang direkodkan ke destinasi pelancongan itu dalam sebulan, tidak termasuk kunjungan harian bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan percutian.
Koordinator Sungai Panjang Agro Tourism Sdn. Bhd. (SPAT), Ummi Nabilah Shafry, 30, berkata, perubahan sekelip mata itu hasil komitmen seratus peratus penduduk demi memajukan pelancongan agro dan pelancongan berasaskan komuniti (CBT).
Paling membanggakan, katanya, kerja keras tersebut berjaya membuahkan hasil dalam tempoh amat singkat iaitu kira-kira setahun.
Jelasnya, Sungai Panjang bukan sahaja menyajikan panorama sawah padi yang indah mempesona, malah terdapat pelbagai keunikan lain seperti makanan tradisi, produk kraf, pertanian, penternakan dan aktiviti.
“Saya kagum dengan kesungguhan penduduk untuk keluar dari kepompong dan mencabar diri melakukan transformasi bagi mengubah kehidupan masing-masing di samping mempertahankan warisan turun-temurun.
“Misalnya, daripada bukan siapa-siapa, pengusaha di Sungai Panjang mula dipandang ramai termasuk pembuat kuih ros berstatus orang kurang upaya (OKU) dikenali sebagai Din Sajak di samping satu-satunya pembuat mengkuang, Aminah Naim.
“Bahkan, kita juga memiliki petani yang mengusahakan ladang Melon Selangor (MeloSel) yang merupakan tanaman eksklusif dan premium di negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Muncul hab pelancongan agro global
Menurut Ummi Nabilah, inisiatif yang diterajui SPAT itu bertujuan membentuk dan memperkasakan rantaian dalam ekosistem perniagaan di Sungai Panjang.
Katanya, ia selaras dengan misi menjadikan destinasi itu sebagai hab pelancongan agro global di masa depan.
Hal itu kerana, ujarnya, trend pelancongan berkenaan makin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat bukan sahaja pelancong tempatan malah antarabangsa seperti Singapura, Taiwan, Australia dan Eropah.
“Matlamat kita adalah untuk mewujudkan CBT yang mampan di Sabak Bernam sekali gus menjadikan Sungai Panjang sebagai hab pelancongan agro global.
“Sebelum ini, tiada rangkaian perniagaan di sini kerana pengusaha biasanya bergerak sendiri dalam memasarkan produk masing-masing.
“Sedangkan jika kita bekerjasama dan berganding bahu menyokong antara satu sama lain, hasilnya pasti lebih besar sekali gus mampu mengangkat produk serta perkhidmatan penduduk dengan lebih tinggi di mata pelancong,” katanya.
Ummi Nabilah berharap kesemua pelancong yang menginap di Sungai Panjang dapat meneroka pengalaman baharu menerusi makanan tradisi, IKS, pertanian, penternakan dan aktiviti.
Katanya, kemasukan pelancong ke kawasan itu dapat memberi limpahan ekonomi termasuk menjana pendapatan pengusaha di samping menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Didik ilmu keusahawanan,buang sikap tamak
Perjalanan mengubah minda penduduk pasti ada cabarannya, tetapi tidak melemahkan semangat Ummi Nabilah dan rakan-rakan lain dalam SPAT.
Katanya, pada peringkat awal tidak ramai yang menunjukkan keyakinan untuk bernaung di bawah platform itu, namun kejayaan demi kejayaan yang diraih pengusaha akhirnya berjaya membuka mata yang lain.
Jelasnya, hingga kini hampir 100 pengusaha mendaftar sebagai ahli SPAT dalam usaha mengembangkan lagi potensi perniagaan masing-masing.
Ummi Nabilah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 30 orang merupakan pengusaha penginapan dan IKS diikuti pertanian (18 orang), aktiviti (10 orang), makanan (6 orang) manakala penternakan (5 orang).
“Kita didik mereka dengan ilmu, sebelum ini kaedah berniaga mungkin terus masuk poket tanpa ada akaun lengkap dan aliran keluar masuk wang.
“Antara yang didedahkan termasuk cara membuat risalah, etika berkomunikasi dengan pelancong dan lain-lain lagi, malah 35 daripada ahli kita dalam proses untuk mendaftarkan perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya yang turut bekerjasama dengan Politeknik Sultan Idris Shah dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis.
Menurut Ummi Nabilah, pendekatan tersebut dapat memupuk penduduk untuk saling berkongsi rezeki, tidak tamak dan sentiasa menyokong antara satu sama lain.
Inovasi produk
Kebanyakan produk makanan milik IKS di Sungai Panjang tidak stereotaip seperti di tempat-tempat lain.
Kata Ummi Nabilah, kelebihan itu yang membuatkan barangan berkenaan sering menjadi pilihan pelanggan dan pelancong.
“Contohnya, kita ada pengusaha muruku pucuk ubi di samping pembuatan kuih ros yang masih menggunakan cara tradisi berbanding mesin.
“Selain itu, pengusaha ladang pisang mempelbagaikan cabang perniagaan dengan menghasilkan kek berbanding kelaziman dijadikan sebagai kerepek,” katanya.