Islam sangat melindungi wanita terutamanya dalam soal perkahwinan.
Salah satu yang dapat kita lihat adalah mut’ah.
Mut’ah ialah saguhati yang wajib diberikan oleh suami kepada bekas isteri sebagai tanda penghargaan kepada wanita tersebut untuk memulakan hidup baharu.
Dengan syarat, penceraian tersebut bukan berpunca daripada isteri.
Bagaimanapun, untuk mendapatkan hadiah itu bukanlah mudah kerana kadangkala bekas pasangan memberikan beribu alasan serta culas untuk membayar.
Jika itu terjadi, bekas isteri sebenarnya boleh memfailkan tuntutan mut’ah di Mahkamah Syariah yang berbidangkuasa terhadap bekas pasangan.
Pengamal Undang-undang Syariah, Muhammad Hafizuddin Muhammad berkata, sekiranya suatu perintah telah diputuskan oleh mahkamah berkaitan mut’ah bekas suami wajib bayar tuntutan itu untuk mengelakkan penguatkuasaan perintah ke atas bekas suami atas sebab menghina mahkamah.
“Jika mahkamah sudah mengeluarkan perintah kepada bekas suami untuk membayar mut’ah, namun dia ingkar, maka isteri boleh membuat permohonan pengkomitan.
“Oleh itu, suami kena bagi tunjuk sebab mengapa berbuat sedemikian dan jika alasan tidak munasabah, dia boleh dipenjarakan tidak lebih daripada setahun.
“Tapi selalunya melalui pengalaman saya kalau diperintahkan untuk masuk penjara terus ada duit untuk bayar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimana pun, jika bekas suami yang sudah dipenjarakan masih juga tidak mahu membayar maka isteri boleh mohon untuk memfailkan permohonan hiwalah.
Hiwalah adalah pemindahan hutang daripada penghutang penghakiman kepada pihak ketiga iaitu individu lain yang mempunyai hubungan persaudaraan dengan bekas suami atau melalui institusi kewangan kepada pemiutang penghakiman.
Maksud ringkasnya adalah membolehkan mahkamah mengeluarkan perintah mencagarkan harta suami untuk bayar jumlah tersebut.
Tiada nilai spesifik
Tambah Hafizuddin, setiap wanita yang diceraikan berhak untuk ke atas nafkah iddah dan mut’ah walaupun wanita tersebut mempunyai pendapatan sendiri atau pendapatan bekas suami kurang daripada wanita tersebut.
Bagaimana pun, terdapat beberapa situasi yang menggugurkan hak mut’ah bekas isteri.
Antaranya adalah isteri yang diceraikan sebelum bersetubuh dan mas kahwin disebut dalam akad, isteri murtad serta penceraian disebabkan suami papa (tidak membayar nafkah isteri).
Tiada formula spesifik dalam pengiraan jumlah tuntutan, namun terdapat beberapa faktor yang boleh diambil kira dalam menentukan kadar mut’ah yang sewajarnya iaitu kemampuan suami dan tempoh perkahwinan.
Selain itu, taraf hidup pasangan semasa perkahwinan, sumbangan atau pengorbanan isteri serta taraf kedudukan dan sifat isteri.
“Namun, ada pandangan daripada ulama mengatakan bahawa suatu tuntutan mut’ah, suami disunatkan bayar mut’ah dalam kadar 30 dirham.
“Hakim juga akan menilai kemampuan suami untuk membayar,” jelasnya lanjut.
Bukan semua isteri dambakan mut’ah
Sementara itu, Kaunselor Perkahwinan, Fadzli Aziz berkata, tidak semua wanita mendambakan dan bergantung harap kepada mut’ah semata-mata terutamanya bagi yang mempunyai kerjaya.
“Seperti satu kes yang pernah saya kendalikan isteri tuntut mut’ah hanya untuk memberikan pengajaran kepada bekas suami kerana culas nafkah.
“Sebab itu dia buat tuntutan (mut’ah) yang berjumlah agak besar kepada bekas suami semata-mata untuk memberikan pengajaran,” ujarnya.
Namun, tidak dinafikan mut’ah sebenarnya mampu memberikan sedikit kelegaan emosi kepada wanita yang pernah bergelar isteri.
Katanya, setidak-tidaknya ada sesuatu yang isteri bawa pulang selepas berkongsi kehidupan bersama pasangan selama ini.
“Islam sangat memahami psikologi manusia. Penceraian sememangnya memberikan kesan emosi negatif terutamanya jika suami yang ingin bercerai.
“Mut’ah ini boleh dikira sebagai pengiktirafan dan penghargaan selepas berkhidmat kepada suami dan keluarga selama ini,” kongsinya lagi.
Mulakan hidup baru
Penceraian menandakan bermulanya episod baharu dalam kehidupan seorang wanita. Bagi yang bergelar surirumah terutamanya, amat penting untuk merancang perjalanan kehidupan akan datang.
Bagi yang memperoleh mut’ah, Fadzli berkata, tidak kira kecil atau besar nilainya, seeloknya dilaburkan kepada perkara yang akan membawa pulangan kepada diri.
“Kenali diri sendiri dulu. Fikirkan usia dan kepakaran yang ada boleh disalurkan ke mana.
“Sebelum melabur kaji dahulu di mana kita letakkan duit itu. Sebaiknya fikirkan perniagaan yang tidak berisiko tinggi dan kos rendah,” katanya lanjut.
Sebagai panduan menuntut mut’ah pula katanya, suami isteri perlu redha dengan jumlah yang dituntut agar tidak berlaku pertikaian yang tidak perlu.
“Kerana nilainya subjektif, di situ timbulnya isu berapa yang boleh dituntut. Sebab itu asas kepada nilai apabila masing-masing saling redha.
“Katakanlah, isteri minta RM10,000, walaupun ia mungkin melebihi kemampuan suami tetapi suami redha dan berusaha mencari untuk memberi maka tiada masalah,” akhirinya.