PETALING JAYA: Pelakon baharu, Nurin Afiqah Zulkiflee, 27, mengukuhkan jenama fesyen miliknya, Nada dengan memperkenalkan pakaian bebas kedut buat kaum hawa.
Katanya, idea itu tercetus bagi memudahkan golongan wanita berkerjaya bersiap dan bergaya dengan pantas tanpa perlu menggosok baju, skirt, dress atau jaket.
Ujarnya, koleksi baharu dinamakan Summer to Remember itu menampilkan tujuh helaian cantik dan ringkas yang bertemakan bunga-bungaan.
“Sebelum ini, pakaian yang dikeluarkan berkonsepkan sukan kerana latar belakang saya sebagai jurulatih zumba.
“Saya cuba keluar daripada kepompong dengan menghasilkan pakaian untuk wanita berkerjaya pula dalam usaha membawa Nada pergi lebih jauh dalam industri fesyen.
“Istimewanya, koleksi ini tidak perlu digosok kerana saya faham dilema kaum hawa yang sentiasa bergegas dan kesuntukan masa menyiapkan tugasan seharian,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Summer to Remember baru-baru ini.
Pelakon Wifi Sebelah Rumah itu turut menyasarkan jualan mampu mencecah sebanyak RM3juta pada tahun ini.
Katanya, selain pelanggan tempatan, jenamanya itu turut menembusi pasaran Singapura, Indonesia dan Brunei.
Jelasnya, permintaan dari negara luar didapati meningkat terutama pada musim perayaan.