TANGGAL 14 September 2017 mencatat tragedi paling menyayat hati apabila sebuah pusat pengajian Al-Quran terbakar di ibu kota.
Lebih menyedihkan, peristiwa ngeri yang mengorbankan 23 individu dari Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah itu berpunca daripada perbuatan khianat.
Walaupun hampir enam tahun berlalu, namun pengalaman menguruskan jenazah mangsa masih lagi segar dalam ingatan Pengasas Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Rafie Zainal.
Rafie berkata, hatinya tersentuh apabila melihat keadaan mangsa yang terbakar di samping keluarga yang meraung.
“Sewaktu menguruskan jenazah, tiba-tiba pintu bilik diketuk, rupanya-rupanya ibu dan ayah mangsa mahu menatap wajah anak mereka buat kali terakhir.
“Sedangkan, sebelum itu kami dimaklumkan untuk melarang waris masuk bagi menjaga perasaan mereka memandangkan mangsa meninggal terbakar.
“Tetapi atas belas ihsan kami benarkan mereka masuk, ibu mangsa pada awalnya meraung dan rebah melihat jenazah yang rentung, namun tetap memeluk dan mencium anaknya sehingga cebisan kulit mayat turut melekat,” ujarnya yang sebak melihat situasi itu.
Katanya, suasana di bilik pengurusan jenazah itu hiba apabila mengenangkan nasib ibu bapa yang terpaksa menerima kehilangan anak dalam keadaan tragis.
Bantu kebumi asnaf
Selain pengurusan jenazah yang terlibat dalam bencana, SPJM turut menawarkan perkhidmatan pengurusan jenazah secara percuma kepada asnaf.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menjalankan kerja-kerja amal bagi membantu mengurangkan kos pengebumian bagi waris yang tiada khairat kematian.
Bagi waris yang berkemampuan pula, ia mengikut kadar yang ditetapkan oleh kariah.
Tambah Rafie, SPJM diasaskan sejak 2017 berbekalkan pengalaman selama 18 tahun dalam pengurusan jenazah.
Katanya, misi pertubuhan itu adalah untuk mendidik masyarakat terlibat dalam pengurusan jenazah dan persediaan bantuan bencana alam.
“Sebelum ini saya dapati pengurusan jenazah banyak diserahkan kepada masjid dan kariah.
“Saya mula mengajar kursus berkenaan sejak 2012 lagi dalam meningkatkan pengetahuan masyarakat,” jelasnya.
Sementara itu, kata Rafie, SPJM turut menyalurkan bantuan pengurusan jenazah bagi bukan Islam menerusi hal ehwal logistik seperti pengangkutan dan pengurusan pengawetan mayat.
“Kami juga dalam perancangan untuk menjadikan SPJM sebagai pusat pengurusan jenazah yang menyeluruh iaitu dari awal sehingga akhir.
“Maksudnya, daripada awal urusan pengebumian sehinggalah hal berkaitan faraid dan tuntutan. Kami ingin menjadi pusat sehenti yang lengkap dengan kerjasama pihak-pihak berwajib lain.
“Inisiatif itu diharap dapat memudahkan waris kerana apabila berlaku kematian pasti timbul masalah berkaitan harta dan sebagainya,” jelasnya.
Beri pengajaran berharga
Bercerita lanjut, Rafie berkata, pengalaman mengurus jenazah memberi pengajaran besar buat dirinya dan masyarakat.
Katanya, antara yang diingati ialah jenazah warga emas yang digelar pakcik salam kerana sering memberi salam kepada penduduk setempat tetapi tidak pernah menjejakkan kaki ke surau.
“Ketika menguruskan jenazahnya di surau, baru saya nampak ada beg stoma di perutnya. Anaknya memaklumkan arwah merupakan orang surau sebelum mereka berpindah ke kejiranan itu.
“Tetapi disebabkan penyakitnya, arwah segan untuk ke surau kerana risau mengotorkan kawasan,” katanya.
Tambah Rafie, amalan memberi salam kepada jemaah surau merupakan cara arwah untuk menghilangkan rasa rindu kepada rumah Allah itu.
Katanya, proses pengebumian jenazah warga emas itu berjalan dengan sangat mudah walaupun hujan lebat, malah air tidak bertakung pada liang lahad.
“Saya sangka penggali kubur sedutkan air rupanya tidak dan situasi itu lazim dikaitkan dengan jenazah yang terdiri daripada kalangan orang baik,” katanya.
Sementara itu, Rafie mengalu-alukan sumbangan dana bagi tujuan pengurusan termasuk kes-kes asnaf dan keluarga yang tidak berkemampuan.
Sumbangan boleh dihulurkan kepada: SPJM menerusi akaun CIMB (8603-48-9285) dan BSN (1410-0410-0030-6186). –UTUSAN