PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan hanya 30 wanita diundi ke Dewan Rakyat daripada keseluruhan 222 ahli.
Angka itu merosot berbanding pada PRU14 apabila seramai 32 wanita yang berkhidmat sebagai ahli Parlimen.
Situasi itu jelas menunjukkan sasaran 30 peratus wakil wanita yang dijanjikan sejak sedekad lalu masih jauh untuk dicapai.
Justeru, tidak hairanlah apabila Malaysia berada di kedudukan kedua terbawah di Asia Tenggara kerana bilangan Ahli Parlimen wanita yang rendah.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Ummu Atiyah Ahmad Zakuan berkata, isu kesaksamaan gender masih menjadi penghalang besar buat kaum hawa terlibat dalam politik.
Katanya, penemuan itu dikesan berdasarkan kajian terbaharu dilakukannya di peringkat nasional pada tahun lalu.
Ujarnya, hasil kajian tersebut dibentangkan dalam sesi dialog aras tinggi anjuran Kesatuan Eropah (EU) bersama Konrad Adenauer Stiftung (KAS) di Brussels dan perbincangan meja bulat di Jerman, baru-baru ini.
“Saya terharu kerana kajian ini mendapat perhatian pihak EU untuk kita bersama-sama memperbaiki dan merancakkan lagi usaha mencapai kesaksamaan gender dalam politik.
“Menerusi perbincangan itu didapati cabaran di Malaysia dan EU tidak jauh berbeza, malah terdapat banyak persamaan kerana mereka juga berdepan dominasi lelaki di Parlimen.
“Namun, mereka mengorak langkah mengatasi isu itu dengan memperkenalkan undang-undang memperkasakan kaum hawa, misalnya di Jerman terdapat peraturan khas yang menyokong calon lelaki dan wanita dalam pilihan raya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Peranan gender diterjemahkan dalam operasi parti politik
Menurut Ummu Atiyah, cabaran paling besar adalah untuk memberi kefahaman mengenai kesaksamaan gender dalam politik dan manfaatnya kepada rakyat.
Jelasnya, kefahaman rendah mengenai kepentingan kepemimpinan wanita dalam bidang itu menyulitkan usaha pelbagai pihak termasuk kerajaan untuk memperbaiki diskriminasi.
Kata beliau, wanita sinonim dikaitkan dalam tugasan domestik dan peranan itu kemudian diterjemahkan dalam DNA parti politik.
“Ia sekali gus memberi cabaran kepada wanita untuk membuktikan bakat dan potensi mereka.
“Paling menyedihkan, norma serta amalan yang tidak menyokong kesaksamaan gender itu akhirnya menyebabkan segelintir wanita berbakat terutama golongan muda dan ibu tunggal memilih berundur daripada dunia politik atau menjadi pemimpin kerana kekangan masa dan kerja,” katanya.
Dalam pada itu, Ummu Atiyah turut berkongsi kajian terdahulu mengenai mutu perbahasan ahli Parlimen wanita yang disifatkan sangat berkualiti dalam pembentangan Belanjawan negara.
Katanya, isu yang dibawa tidak hanya fokus kepada wanita sebaliknya merangkumi pelbagai isu termasuk pendidikan, kesihatan, infrastruktur, perundangan, hal ehwal antrabangsa, hak asasi manusia dan alam sekitar.
“Malah setiap isu itu dibawa dengan lebih baik oleh perwakilan wanita kerana tahap advokasi mereka yang bagus berbanding ahli Parlimen lelaki,” katanya.
Perincikan pelan strategik dasar 30 peratus
Ummu Atiyah berkata, sudah sampai masanya negara memiliki pelan strategik berhubung penyertaan 30 peratus wanita di Dewan Rakyat.
Katanya, kewujudan dasar itu diyakini dapat mengubah naratif dalam Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di samping landskap politik negara.
“Bagi mencapai status negara maju dan pembangunan lestari, sesebuah kerajaan memerlukan penyertaan lelaki dan wanita sebagai pembuat keputusan,” katanya.