Istiqamah selepas tunai haji

Istiqamah selepas tunai haji

Kuota jemaah haji Malaysia bagi musim tahun ini kekal 31,600 orang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“HAJI mabrur bukan sekeping sijil yang perlu digantung papar pada dinding rumah, bukan juga himpunan gambar swafoto di hadapan Kaabah. Ia adalah jentikan harapan serta kesedaran dalam jiwa orang yang pulang haji agar terus istiqamah atau konsisten menempuh hidup dengan reda Allah.”

Hampir seminggu Arafah meninggalkan kita. Pengalaman haji pastinya akan terus melekat dalam jiwa setiap tetamu Allah yang selesai menunaikan haji. Semua pastinya berharap agar dikurniakan haji mabrur kerana itulah matlamat utama setiap Muslim menunaikan haji.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Haji mabrur tidak ada ganjaran selayak baginya melainkan syurga dan antara dua umrah itu menjadi sebab penghapus kepada (dosa kecil) antara keduanya. (Musnad Ahmad, 9562).

Haji mabrur juga mampu menjadi ‘sabun rohani’ luar biasa sebagaimana janji hebat Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang menunaikan haji, kemudian tidak berkelakuan/bercakap kotor dan juga tidak melakukan kefasikan kembali (suci dari dosa) seperti hari dilahirkan oleh ibunya. (Sahih al-Bukhari, 1424).

Antara satu cara mencapai haji mabrur selepas pulang ke tanah air adalah dengan istiqamah atau konsisten mempraktikkan Islam yang sebenar.

Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh (istiqamah dan konsisten) di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan. (Hud:112).

Pun begitu, keupayaan untuk istiqamah bukanlah suatu perkara yang enteng. Ia telah mengubankan kepala baginda SAW sendiri. Pernah pada suatu hari Saidina Abu Bakar r.a bertanya baginda SAW: “Engkau sudah beruban wahai Rasulullah!” Baginda menjawab; “(Isi kandungan) surah Hud, al-Waqi’ah, al-Mursalat, al-Naba’ dan al-Takwir menyebabkan aku beruban.” (Sunan al-Tirmidzi, 3219).

Mengapa sampai beruban? Ia adalah kiasan kepada beratnya isi kandungan semua surah tersebut yang menceritakan perihal kiamat.
Untuk surah Hud pula, Abdullah Ibn ‘Abbas r.a sepupu nabi menyatakan ayat arahan istiqamah itu sangat sukar dilaksanakan sehingga ia seakan memutihkan kepala baginda SAW. (Tafsir al-Razi)

Walaupun sukar, istiqamah mampu dilakukan dengan resepi manusiawi anjuran Rasulullah SAW dalam hadisnya iaitu biar sedikit asal kekal: Aisyah r.ha menceritakan Rasulullah SAW pernah ditanya apakah amalan yang paling dicintai Allah? Baginda menjawab: Amalan yang berterusan dilakukan walaupun sedikit jumlahnya. (Sahih Muslim, 1303).

Selama para jemaah berada di Mekah dalam musim haji, kehidupan rohani mereka sangat teratur dan tertib. Solat jemaah, itikaf, aurat, tuturan lidah, pandangan mata dijaga rapi. Pendek kata, akaun dosa seakan menyusut ditelan keberkatan musim haji dan tanah suci.

Semangat ini sewajarnya dipanjangkan selepas pulang ke tanah air. Berikutan itu, penulis mencadangkan beberapa amalan yang perlu dijaga dalam kerangka istiqamah demi mencapai haji mabrur walaupun selepas pulang:

1) Berpegang kepada akidah yang benar dan menjauhi segala lubang dan jurang syirik kerana syirik adalah ‘kezaliman terbesar yang perlu dijauhi’ (Luqman:13). Tambahan pula ibadah haji adalah lambang tauhid. Amat malang jika ada tuan haji atau puan hajah yang masih bergelumang dengan khurafat, bomoh dan syirik.

2) Menjaga solat lima waktu secara berjemaah di surau dan masjid sebagaimana kita konsisten berjemaah mengejar pahala 100,000 solat di Masjidilharam. Solat berjemaah di surau dan masjid mampu menjana bateri rohani orang beriman. Teruskan rutin ini selepas pulang sehingga kita dijemput Allah.

3) Melazimi pakaian takwa yang berbentuk zahir (menutup aurat secara sempurna), juga pakaian takwa berbentuk batin (akhlak mulia). (al-A’raf: 26). Bagi merealisasikan usaha ini, semua pergaulan bebas dan gambar tidak lulus syariah dalam media sosial wajib segera dihapuskan.

4) Berdamping dengan al-Quran seumur hidup kerana ia adalah tali penghubung antara kita dengan Allah dan Rasulullah SAW. Ia juga menjadi penolong setia kita di akhirat kelak. (Sahih Muslim, 1337).

5) Cintakan ilmu dan melazimi majlis ilmu. Pencarian ilmu pada zaman moden semakin mudah. Alasan sibuk atau tidak sempat sudah tidak relevan kerana ilmu boleh dicapai di mana sahaja dengan pelbagai peranti mudah alih kurniaan Allah.
Percayalah, antara audit paling mengancam akaun akhirat kita kelak adalah audit berkenaan peranti mudah alih yang kita miliki semasa di dunia.

6) Menjaga halal haram dalam muamalat. Hindari riba sejauh mungkin kerana ia antara wasiat utama khutbah wada’ Rasulullah SAW (Sirah Ibn Hisyam). Berterusan dalam sistem riba seumpama mengisytiharkan perang dengan Allah dan Rasulullah. (al-Baqarah: 279). Ia pasti sangat tidak kena dengan keseluruhan falsafah haji itu sendiri.

7) Bersahabat dengan orang soleh terutama sekali kaki masjid dan surau kerana mereka adalah sahabat para malaikat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya bagi masjid itu ada “tiang serinya”, mereka (kaki surau masjid) mempunyai teman (semasjid) dari kalangan para malaikat, jika mereka tidak hadir (ke masjid) para malaikat akan bertanya khabar perihal mereka, jika mereka sakit para malaikat akan menziarahinya dan jika mereka mempunyai keperluan, para malaikat akan membantu mereka. (Mustadrak al-Hakim, 3466).

8) Sentiasa berdoa agar ditetapkan hati atas iman dan amal soleh. (ali ‘Imran: 8). Antara doa terbaik anjuran Nabi SAW untuk tujuan ini adalah yang bermaksud: (Ya Allah) Yang Berkuasa membolak balikkan hati, tetapkan hatiku dalam agama-Mu. (Sunan al-Tirmidzi, 2066). Selepas pulang para jemaah haji jangan mengharap bertukar menjadi malaikat. Ia mustahil kerana kita tetap terdedah kepada salah dan silap. Maksud mendapat haji mabrur adalah sentiasa cenderung ke arah kebaikan dan semakin menjauhi dosa dan maksiat.

Jika berasa lesu daripada kebaikan, carilah panduan atau teman yang boleh memugarkan kembali kesolehan dalam diri sebagaimana kebiasaan para sahabat Rasulullah yang saling mengingatkan sesama mereka ketika bertemu yang bermaksud: Duduklah bersama kami seketika untuk menambah iman (dengan sedikit peringatan agama). (Musannaf Ibn Abi Syaybah). -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya