Hidangan belut lembut, ramen istimewa bagaikan berada di Jepun

Hidangan belut lembut dan ramen istimewa bagaikan berada di Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKALI suapan sahaja saya sudah terpegun dengan keenakan rasa hidangan tori paitan ramen baharu daripada Sushi King ini.

Pengalaman pernah memakan ramen di kebanyakan premis makanan yang menawarkan menu dari negara matahari terbit itu membuatkan saya dapat merasai sedikit kelainan pada hidangan ini.

Kuah­nya, walaupun kelihatan polos dan kosong, namun sebenarnya dilimpahi dengan rasa ayam yang membuka selera.


Pengarah Urusan, Hiroki Mori berkata, resipi ramen yang dibawa khas dari wilayah Kyoto, Jepun itu menggunakan kaedah merebus dalam jangka masa lama untuk mengeluarkan rasa ayam yang lebih enak.

Katanya, kuah yang bertekstur tidak terlalu pekat atau cair itu menyempurnakan rasa saat dimakan bersama dengan mi berwarna kuning.

Ujarnya, tekstur yang tidak terlalu cair juga membuatkan ia lebih enak dihirup.

“Kita menggunakan resipi khas dari Kyoto, Jepun yang dapat membuat pelanggan seolah-olah berada di sana apabila menikmati hidangan ini.

“Ia juga diolah semula menggunakan bahan-bahan halal yang sesuai dengan tuntutan di negara ini,” katanya yang memaklumkan hidangan berkenaan akan mula dijual pada suku ketiga tahun ini.

Sementara itu, bagi hidangan kedua, japonica unagi pula adalah belut yang disaluti sos istimewa.

Ia memiliki rasa sedikit manis dan smoky kerana kaedah memasak yang menggunakan dapur arang.

Bagi saya, rasanya sempurna kerana isi belut begitu lembut sehingga rasa cair di mulut.


Dalam majlis sama, syarikat berkenaan turut meraikan pemenang hadiah utama Kempen Sushi King 1 Million Happy Members, Vyvian Elvy Jefry.

Surirumah dari Sabah itu memenangi hadiah percutian untuk dua orang ke Jepun.

Selain itu, hadiah turut diberikan kepada ahli kesejuta mendaftar, Mohd. Shahrin Samian yang menerima ganjaran makan percuma di restoran berkenaan selama setahun.

Tambah Hiroki, kempen berkenaan mencapai kejayaan dan sambutan yang luar biasa daripada peminat makanan Jepun.

“Kami terharu dengan penghargaan orang ramai terhadap Sushi King dan budaya makanan Jepun. Melalui kempen ini, ahli-ahli berpeluang mendapat ganjaran sambil menikmati hidangan kegemaran mereka.

“Kami bertekad menjadikan Sushi King sebagai Your Happy Sushi Place buat pelanggan dan merasai nikmat serta keistimewaan budaya makanan Jepun melalui hidangan menyelerakan,” ujarnya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya