Hasni cipta menu sambal, maruku dari pucuk ubi - Utusan Malaysia

Hasni cipta menu sambal, maruku dari pucuk ubi

Produk sambal dan maruku A’nizac.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UBI kayu mengandungi banyak khasiat antaranya melancarkan sistem pencernaan, mencegah anemia, menurunkan berat badan di samping merawat cirit-birit dan migrain.

Walaupun menu berasaskan sayuran itu popular di negara ini, namun pucuknya sering dipinggirkan.

Sedih melihat banyak pucuk ubi terbiar di sekitar kampungnya di Sungai Panjang di Sabak Bernam, Selangor, mendorong Hasni Kassim,57, menghasilkan kudapan daripadanya.

Percubaan berani wanita itu membuahkan hasil apabila sambal dikenali sebagai pucuk ubi kayu garing pedas A’nizac berjaya dipasarkan pada 2019.

Katanya, sambutan positif pelanggan memberinya inspirasi untuk mengeluarkan produk kedua pula iaitu maruku pucuk ubi.

Ujarnya, inovasi itu sekali gus dapat mempelbagaikan lagi fungsi pucuk ubi selain dijadikan sebagai ulam-ulaman dan lauk bagi sajian masak lemak.

“Mungkin tiada siapa pernah membayangkan pucuk ubi boleh dijadikan sebagai kudapan atau snek kegemaran seiisi keluarga daripada kanak-kanak hingga dewasa.

“Idea menginovasikan pucuk ubi ini datang secara tiba-tiba dan tidak sangka mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Dua bulan R&D

Bekas tukang masak katering itu berkata, proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) sambal garing itu mengambil masa kira-kira dua bulan untuk disiapkan.

Sepanjang tempoh itu, empat kali produknya terpaksa dibuat semula kerana gagal menepati syarat ditetapkan.

“Proses pembuatan mengambil masa selama lapan jam dengan purata pengeluaran sebanyak 40 kilogram dalam sebulan,” katanya yang menjelaskan, sambalnya turut dijadikan produk pengilang peralatan tulen (OEM).

Sambal pucuk ubi keluarannya berbeza dengan di pasaran kerana lebih garing dan tahan lama.

Rosyam Nor jadi duta

Produk sambal dan maruku A’nizac pernah dijual di pasar raya terkemuka selama dua tahun bermula 2019.

Peluang keemasan itu tiba selepas produknya terpilih untuk dipasarkan di platform Mak Cun Mart milik pengarah, Erma Fatima.

Namun, nasib tidak menyebelahi usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) itu apabila pandemik Covid-19 melanda.

“Semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) saya jatuh terduduk, tetapi dengan bimbingan agensi-agensi saya bangkit semula hingga kini.

“Dalam tempoh itu juga, saya menyertai program Perintis Usanita anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Usanita dan terpilih sebagai antara 25 usahawan IKS daripada keseluruhan 1,000 penyertaan,” katanya.

Menerusi program itu, Hasni berpeluang menggunakan wajah pelakon, Rosyam Nor sebagai duta maruku pucuk ubi bagi mengukuhkan lagi jenamanya.

Dalam perkembangan sama, Hasni bakal menampilkan produk baharu berupa popia pucuk ubi dan ubi kayu garing.

Produk sejuk beku itu bakal dipasarkan dalam masa terdekat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya