INDIVIDU yang mempunyai kecelaruan identiti atau mempunyai banyak watak dan personaliti bukanlah khayalan semata-mata.
Dua atau lebih identiti mengawal tingkah laku seseorang dalam satu masa.
Keadaan ini dikenali sebagai Dissociative Identity Disorder atau Kecelaruan Identiti Disosiatif (DID) iaitu sejenis penyakit mental.
Di peringkat global, statistik berkaitan DID menunjukkan pada tahap rendah antara satu hingga lima peratus daripada populasi dunia. Namun begitu, banyak kes tidak dilaporkan kerana kesukaran diagnosis dan kecelaruan ini ‘terselindung’ pada individu yang mengalami gangguan mental lain.
Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Kaunseling. Universiti Putra Malaysia (UPM), Kamariah Derasol, berpengalaman merawat pesakit DID berusia 22 tahun pada 2008, menjelaskan pesakit ditemui, mengakui ada seorang ‘nenek’, yang sentiasa mengikutnya ke mana-mana.
“‘Nenek’ itu jugalah yang mengawal dirinya hingga tidak membenarkan dia belajar. Nenek berkenaan selalu berpesan padanya bahawa ‘tak akan ke mana kalau belajar tinggi’. Situasi berkenaan menyebabkan pesakit berasa putus asa untuk belajar.
“Setelah sesi demi sesi, dia menceritakan bahawa ada watak ‘nenek’ sentiasa ‘berdamping’ dengannya. Personaliti atau watak itu ceritanya akan datang dan pergi,” kongsinya kepada Utusan Malaysia.
Ujar Kamariah, pada awalnya individu itu menemui beliau bagi masalah pembelajaran dan bukanlah sebagai penghidap DID atau mempunyai masalah kesihatan mental.
“Pada peringkat awal sesi kaunseling dijalankan, tidak nampak apa-apa kelainan padanya. Perbincangan difokuskan kepada memahami kaedah belajarnya, masalah dalam pembelajaran yang dihadapi.
“Selepas beberapa sesi, dia menceritakan tentang kewujudan ‘nenek’ yang menghalangnya untuk belajar. Saya bertanyakan beberapa soalan dan minta watak dirinya dan nenek berkenaan menjawab secara bergilir-gilir,” ujarnya.
Tujuan sesi berkenaan adalah untuk mengetahui konsistensi maklumat, sama ada ia sengaja direka-reka atau sebagainya.
Dalam sesi berkenaan, suara individu itu berubah menjadi garau seperti wanita lanjut usia yang menjadi ‘nenek’ bongkok tiga. Postur badannya juga turut berubah membongkok.
“Kemudian saya memujuk watak ‘nenek’ supaya mengizinkan individu ini belajar agar dia dapat berjaya dalam pengajian sekali gus keluar daripada kemiskinan yang dihadapi oleh keluarganya,” kata Kamariah.
Beliau turut mengesyorkan waris pesakit itu memeriksa dan dirawat secara perubatan Islam untuk memastikan tiada unsur-unsur mistik.
“Mengikut amalan normal kaunseling, individu mengalami halusinasi dan delusi perlu dirujuk kepada pakar psikiatrik untuk diagnosis yang lebih terperinci dan rawatan lanjut.
“Dia kemudian dirujuk ke hospital berhampiran agar keadaan dirinya dapat dipastikan secara klinikal dan dia telah disahkan menghidap DID,” katanya.
Spontan berubah
Jelas Kamariah, watak atau identiti boleh bertukar-tukar dalam masa singkat dan juga ada yang berselang hari atau ketika tidur.
Semasa watak bertukar, ada individu separa sedar dan ada juga hilang kesedaran serta daya ingatan. Individu berkenaan tidak tahu apa dilakukan semasa ‘watak’ tertentu mengambil peranan.
“Lazimnya individu mempunyai DID mempunyai dua atau lebih watak mahupun identiti. Ada juga yang dilaporkan mempunyai sehingga 100 watak pada kes yang kronik.
“Mereka dikenalpasti dengan diagnosis buku manual, Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-5).
“Setiap watak mempunyai mempunyai dua atau lebih personaliti yang berbeza daripada segi identiti, nama, sikap, imej, umur dan memori berbeza,” ujarnya.
Individu dengan DID jarang diketahui kerana mereka malu bercerita atau menonjolkan watak ‘pertukarannya itu’ kepada orang lain.
Beliau menambah, penghidap DID sebenarnya mengalami trauma yang teruk semasa kecil sama ada melibatkan penderaan fizikal, seksual dan tekanan mental.
“Untuk pencegahan anak-anak kecil yang menghadapi trauma yang teruk dan berulang kali perlu diperhatikan. Apabila mereka mempunyai kawan halimunan atau sahabat ilusi sejak kecil dan berlarutan hingga besar, ia adalah simptom yang tidak boleh diremehkan.
“Mereka yang menghidap DID juga disarankan menulis jurnal atau membuat catatan watak yang ada dalam dirinya. Dengan catatan itu dapat membantu perancangan rawatan psikologi dan klinikal dengan lebih berkesan,” tuturnya.
Gangguan dek trauma
Dikenali juga sebagai gangguan personaliti yang berpecah, ia adalah gangguan mental melibatkan kehadiran dua atau lebih identiti yang berbeza dalam satu individu. Setiap identiti yang wujud itu mempunyai pola perilaku, ingatan serta persepsi unik dan berlainan.
Kaunselor Berdaftar, Jamaida Jamaludin, berkata faktor jelas atau sebab utama terjadi belum diketahui, namun kebanyakan pakar psikiatris percaya bahawa gangguan ini terjadi akibat mekanisme pertahanan psikologi yang muncul sebagai respons terhadap trauma berulang berkaitan dengan masa silam.
“Boleh jadi berlaku penganiayaan fizikal, seksual atau emosi berulang, seterusnya mewujudkan perasaan mengerikan sehingga tidak dapat ditangani.
“Maka fikiran dan personaliti individu itu berpecah dan menghasilkan identiti baharu kerana mereka cuba untuk melindungi diri mereka daripada kesakitan trauma tersebut,” jelasnya.
Boleh jadi bahaya
Penghidap DID katanya, boleh menjadi bahaya dan sangat mengganggu kehidupan seharian mereka sekiranya tidak mendapat rawatan daripada pakar atau golongan profesional.
“Fungsi kehidupan seharian pesakit boleh terganggu kerana identiti yang berbeza boleh muncul secara tiba-tiba dan mengawal dirinya dan emosinya. Ia boleh mencetuskan gejala kemurungan, kecemasan yang melampau atau kemarahan yang tidak dapat dikawal.
“Individu DID turut akan mengalami gangguan ingatan dan amnesia. Mereka mungkin tidak ingat peristiwa penting atau mengalami simptom kebingungan atau kekeliruan terhadap sesuatu pengalaman hidup mereka,” katanya.
“Selain ia akan mengganggu fungsi hubungan sosial. Malah boleh mewujudkan risiko kepada kesejahteraan dan keamanan persekitaran. Ini kerana penghidap DID boleh bertindak agresif dan berbahaya (gejala merasuk). Namun gangguan ini berbeza setiap individu,” katanya.