BERITA kematian penyanyi Coco Lee pada usia 48 tahun baru-baru ini mengejutkan banyak pihak kerana bintang itu dilaporkan meninggal dunia kerana bunuh diri.
Disahkan bertarung dengan masalah mental, iaitu kemurungan sejak beberapa tahun lalu, keluarga Coco memberitahu diva pop itu sebenarnya tidak mempunyai niat langsung untuk mengambil nyawanya sendiri.
Berdasarkan laporan media Hong Kong, Coco tinggal bersama kakaknya, Carol di wilayah separa autonomi itu sejak dia keluar dari hospital pada bulan lalu akibat masalah kesihatan.
Beberapa jam sebelum cuba membunuh diri, Coco menikmati makan tengah hari bersama ibunya dan Carol sebelum ke tandas untuk mandi.
Pada pukul 3.30 petang waktu tempatan, pembantu rumah Carol memberitahu ternampak bintang itu keluar dari tandas dengan pergelangan tangan kirinya berdarah.
Pembantu rumah itu kemudiannya menghubungi polis untuk bantuan.
Polis Hong Kong memaklumkan, mereka menerima panggilan pada pukul 3.37 petang pada 2 Julai mengenai seorang wanita yang cuba membunuh diri di sebuah unit kediaman dan dalam keadaan koma ketika dihantar ke hospital.
GUNA PENGETIP KUKU
Di lokasi kejadian, polis menemukan satu pengetip kuku dengan kesan darah, dipercayai digunakan Coco untuk mengelar pergelangan tangannya.
Ketika Covo dikejarkan ke hospital, dia dilaporkan sudah koma dan mengalami kesukaran bernafas.
MATI OTAK
Kakak sulung Coco yang juga bekas pengurusnya, Nancy memberitahu media Hong Kong bahawa penyanyi itu disahkan mengalami mati otak akibat kehilangan darah yang banyak.
Namun, ibu mereka tidak mahu menghentikan mesin sokongan hayat pada Coco kerana mahu terus memberinya peluang.
“Amat menyedihkan melihat ibu kami tidak mahu melepaskan Coco pergi biarpun doktor memaklumkan adik sudah tiada harapan.
“Kami merayu kepada doktor supaya beri peluang untuk adik saya berjuang biarpun peluangnya tipis.
“Kami tidak sanggup melihat ibu bersedih dan dalam masa sama, mahukan yang terbaik untuk Coco,” kata Nancy.
Coco kekal dalam keadaan itu sehingga menghembuskan nafas terakhir pada 5 Julai.
MASALAH RUMAH TANGGA
Coco berkahwin dengan ahli perniagaan, Bruce Rockowitz pada 2011 dan sejak beberapa tahun lalu, timbul khabar angin menyatakan rumah tangga mereka bergolak, sekali gus menjadi punca kepada masalah mentalnya.
Selepas itu, terdapat juga khabar angin kononnya pasangan itu berpisah, namun Coco tidak pernah mendedahkan perkara tersebut.
Penyanyi itu turut dilaporkan menjalani rawatan persenyawaan in vitro (IVF) sebanyak sembilan kali sepanjang tempoh perkahwinannya untuk mendapatkan zuriat.
Pada Januari lalu, Coco mengejutkan para peminatnya apabila tampil dengan imej terlalu kurus, dengan berat mencecah 42 kilogram manakala pada Mac pula, dia menjalani pembedahan pada kaki dan terpaksa berjalan semula.
ERA KEGEMILANGAN
Kerjaya bintang itu bermula di negara kelahirannya, Hong Kong, sebelum melebarkan sayap ke Taiwan.
Coco antara bintang pop Asia terawal mencipta nama di Amerika Syarikat (AS) apabila singlenya, Do You Want My Love berjaya memasuki carta muzik negara itu.
Penyanyi itu juga dipilih Walt Disney Pictures untuk menyanyikan lagu tema filem Mulan, Reflection, selain turut menjadi pelakon suara watak Fa Mulan versi Mandarin.
Dalam Anugerah Akademi Ke-72, Coco dijemput mempersembahkan salah satu calon kategori Lagu Asal Terbaik, A Love Before Time yang dipetik daripada filem Crouching Tiger, Hidden Dragon. –UTUSAN