KELETAH kanak-kanak berusia empat tahun, Aldariya Dareesa Muhd. Fyairees Syalihin ketika bersembang di dalam kereta dengan bapanya, tidak ubah seperti orang dewasa.
Ramai yang terhibur dengan kecerdikan Aldariya Dareesa yang petah bercakap loghat Kedah tanpa pelat hingga kisahnya tular di media sosial sejak 2020.
Muhd. Fyairees Syalihin Norezan, 33, berkata, puterinya yang mesra disapa Yaya itu mula dikenali ramai menerusi video lori ayam.
“Aktiviti setiap pagi saya ialah menghantar Yaya ke rumah ibu untuk dijaga dan sepanjang perjalanan kami banyak bersembang di dalam kereta.
“Sambil merekod video saya ajar dia sebut nama kenderaan dan ketika itu ada lori membawa ayam, saya sebut lori tetapi Yaya tetap sebut ayam.
“Perbualan menjadi kelakar dan selepas video itu tular, Yaya mula dikenali di media sosial ketika usianya cuma setahun tiga bulan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
KOMUNIKASI DENGAN ANAK
Muhd. Fyairees Syalihin, berkata, rutin bersembang dengan anaknya itu bermula sejak dalam perut lagi sehinggalah selamat dilahirkan.
Katanya, walaupun bayi tidak memahami apa-apa tetapi komunikasi penting terutama dalam bahasa yang betul tanpa pelat.
“Saya juga pesan pada ahli keluarga untuk kerap bercakap dengannya dan mungkin itu yang membuatkan dia petah.
“Dulu, dia susah nak berkawan dengan kanak-kanak sebaya, tetapi sejak bersekolah tahun ini, sikapnya makin berubah,” katanya.
BANYAK BERTANYA
Menjaga dan membesarkan Yaya tidak sukar, namun katanya, cabaran timbul apabila soalan yang sering diajukan kadangkala tidak sesuai dengan tahap umur anaknya.
“Dia tanya kenapa tak boleh buat itu dan ini sedangkan soalan itu melebihi tahapnya.
“Soalan-soalannya masih diterima akal, tetapi buat saya dan isteri terfikir bagaimana dia boleh bertanya sebegitu. Jadi, kami ambil pendekatan tidak menipu dan terangkan dengan betul,” katanya.
BECOK TETAPI PEMALU
Walaupun becok di media sosial, tetapi Yaya sebenarnya seorang yang pemalu.
Muhd. Fyairees Syalihin berkata, anaknya bertukar senyap jika berjumpa orang ramai.
“Sebelum ini, dia selalu menolak ke pusat beli belah kerana ramai yang nak ambil gambar dengannya.
“Tetapi sekarang dia mula faham apabila rakan memberitahu menonton videonya di Facebook dan TikTok.
TAWARAN BERLAKON
Apabila popular, sudah pasti tidak lari dengan tawaran yang banyak untuk menjadikan anaknya sebagai pelakon atau model.
Muhd. Fyairees Syalihin bagaimanapun tidak mahu memaksa atau menetapkan masa depan Yaya.
“Kami bersepakat untuk tidak terlalu mendedahkan Yaya kepada dunia pekerjaan sebab dia masih kecil dan berhak merasai kehidupan atau fasa kanak-kanak tanpa terikat dengan apa-apa.
“Andai kata tidak membebankan Yaya, kami akan pastikan ia sebagai pengalaman sahaja bukan terjun ke dalam bidang itu,” katanya. –UTUSAN