Ada beza layanan dan bayaran artis luar, lokal? - Utusan Malaysia

Ada beza layanan dan bayaran artis luar, lokal?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SESEKALI bersuara meluahkan apa yang terbuku dalam hati, niatnya bukan untuk menjatuhkan. Sebaliknya sekadar berkongsi pandangan, untuk mempertahankan hak serta kedudukan dalam industri.

Bagi salah seorang anggota Exists, Musa, dia sama sekali tidak pernah menghalang kehadiran artis luar untuk sama-sama memeriahkan industri muzik tanah air. Malah, dia berbesar hati melihat hubungan akrab dua negara.

Namun di sebalik kemeriahan itu, adakala anak seni lokal harus menelan sahaja rasa dalam hati apabila segelintir penganjur melebih-lebihkan artis luar. Baik dari segi bayaran dan juga layanan kelas pertama.

“Perkara seperti ini sudah lama berlaku. Berbelas tahun sudah. Kami tahu ada pihak yang sanggup berhabisan demi membayar artis luar terutama Indoensia. Tetapi untuk artis lokal berkira. Bagi saya itu tidak adil sama sekali.

“Tapi ketika itu, apa yang boleh kita buat? Kalau pihak radio, media ketika itu lebih mengagung-agungkan artis luar. Kalau di sana, radio tak main pun lagu kita. Tetapi di sini sebaliknya berlaku.

“Mereka (radio Indonesia) semangat dalam menjulang karya seni artis-artis mereka. Di sini?” luah Musa atau lebih popular disapa Musrad ditemani anggota Exists lain, Ezad dan Along.

Mendedahkan pengalaman, dakwa Musa, kumpulan popular era 90-an itu pernah ditawarkan untuk mempromosikan lagu baharu Mencari Alasan di Indonesia sekitar tahun 1996. Namun apa yang terjadi, benar-benar membuka mata mereka.

“Saya ingat lagi, ketika itu (1996), kami diminta untuk mempromosikan lagu baharu. Tetapi pihak media di sana terus-menerus memberi soalan provokasi. Seolah-olah memperkecilkan kami.

“Mungkin ketika itu mereka marah artis Malaysia satu demi satu mula mendaki populariti. Mungkin mereka rasa tidak seharusnya kami menerima layanan sebegitu. Lantas ketika itu bermula era ‘menyekat’ artis kita.

“Tetapi saya kira, mereka sudah berjaya buat begitu. Mereka brjaya untuk sekat karya dari sini. Kami antara anak seni tempatan terakhir yang berjaya menembusi pasaran mereka ketika itu. Sekarang lebih susah,” dakwanya.

Kongsi Musa lagi, perbezaan yang berlaku terutama dari segi bayaran dan layanan kekal sehingga kini. Namun luahan tersebut tidak langsung diiringi rasa iri, cuma ada terkilan yang berpaut dalam hati.

“Bukan menghalang, tidak sama sekali. Kami juga bersahabat baik dengan artis sana. Cuma mungkin perlu ada garis panduan berkaitan kemasukan artis luar. Mungkin boleh wajibkan penampilan artis lokal sebagai opening act sebagai contoh.

“Perkata itu boleh dimuktamadkan supaya artis tempatan terutama anak-anak muda mempunyai peluang serlah bakat mereka. Radio dan media di sini juga harus sama-sama, memperjuangkan muzik tempatan.

“Radio tempatan pun main peranan. Pernah juga kami ditolak sebuah stesen radio popular satu ketika dahulu. Mereka cakap, pendengar hanya mahu lagu-lagu Indonesia. Tiada siapa mahu dengar lagu kami.

“Tetapi bila ada persembahan atau siri jelajah, tup-tup pujuk kami untuk sertai. Alasan mereka, artis sana mahal dan demanding. Time susah baru nak cari kami. Jangan begitu, biarlah seimbang sokongan dan layanan,” kongsi Musra.

KONSERT MALAYSIA, INDONESIA

Dalam pada masa yang sama, Bagi Ezad, keterujaan mereka sebenarnya mula terasa apabila dijemput untuk sama-sama memeriahkan antara konsert terbesar di Indonesia, The 90s Festival pada12 dan 13 Ogos depan.

Menjadi satu-satunya wakil Malaysia, bagi Exists, peluang yang diperoleh itu tidak seharusnya diambil mudah terutama mereka bakal berkongsi pentas sama dengan pemuzik hebat seluruh dunia antaranya The Cardigans (Sweden) dan 911 (United Kingdom).

“Bagi kami konsert ini seperti reset untuk Exists kembali memeriahkan industri muzik di sana. Sudah lama juga kami tak buat konsert atau persembahan berskala besar di sana. Dijemput itu satu peluang besar.

“Terutama di atas satu pentas, banyak nama-nama besar dalam industri muzik dari seluruh dunia bakal bergabung. Itu satu peluang dan ruang yang tidak seharusnya kami lepaskan. Bayarannya juga berbaloi,” kata Ezad.

Namun tidak semudah itu Exists menerima tawaran tersebut. Mereka perlu bertimbang tara dan bertanya dengan rakan artis negara republik itu sebelum bersetuju untuk beraksi di pentas Gambir Expo, Kemayoran, Jakarta itu.

“Saban tahun ada sahaja tawaran dari pihak sana. Tetapi ada halangan tertentu. Kami juga takut sekiranya ditipu. Takut bila pergi sana, tup tup kena beli tiket balik sendiri. Tetapi penganjur ini profesional,” katanya.

Bakal terlibat dengan konsert Hausboom Music 2023 juga pada 9 dan 10 September depan di Sepang International Circuit, kongsi Ezad mereka bak mengadakan persembahan 45 minit untuk memeriahkan konsert tersebut.

“Lagu belum kami muktamadkan lagi, tetapi sudah ada beberapa lagu yang menjadi permintaaan peminat. Ini kali pertama kami bekerjasama dengan Hausboom dan diharapkan akan terus berkekalan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya