AKTIF memperagakan pakaian tradisional sejak berusia dua tahun mendorong Syazwina Mohd. Taib meneruskan minat sebagai model sehingga kini.
Berusia 12 tahun, model cilik yang mesra dipanggil Wina itu turut berkebolehan menyanyi dan menari.Apa sahaja pertandingan melibatkan ketiga-tiga bidang tersebut pasti disertainya.
Walaupun aktif dalam aktiviti seni, adik bongsu kepada penyanyi Wani Kayrie ini bercita-cita untuk menjadi doktor apabila dewasa.
Katanya, pentas peragaan hanya sekadar hobi kerana seronok menggayakan pakaian tradisional pelbagai kaum dan disolek.
“Saya suka melihat model, ratu cantik dan apa sahaja berkaitan kecantikan dan peragaan.
“Biasanya, pakaian atau tema saya pilih sendiri dan kemudian baru minta persetujuan ibu. Saya tidak mahu sama dengan orang lain dan sentiasa inginkan kelainan,” ujarnya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Wina yang fasih berbahasa Cina dan gemar menyanyi dalam Mandarin menjadikan kelebihan itu sebagai bonus setiap kali memasuki pertandingan.
Keunikan yang ditonjolkan itu membolehkan Wina muncul juara Pertandingan Busana Fesyen 2023 baru-baru ini.
Sehingga kini, Wina berjaya mengumpul lebih 50 trofi hasil kemenangan dalam pelbagai pertandingan termasuk sempena Hari Kebangsaan atau perayaan.
IBU GALAK CEBURI PELBAGAI BIDANG
Sementara itu, ibunya, Rukiah Kalapukong, 45, menyifatkan kanak-kanak itu seorang yang berani dan tidak malu di khalayak ramai.
Katanya, Wina dibawa menyertai pertandingan kebaya ketika berusia dua tahun.
Ujarnya, daripada sekadar suka-suka, akhirnya memupuk minat anaknya untuk terus memperagakan busana.
“Walaupun masih kecil tetapi Wina berani berjalan di pentas dan ketika itu, bajunya saya jahit sendiri.
“Sebagai ibu, saya sentiasa menggalakkannya mencuba dan menggunakan bakat atau kebolehan dimiliki. Saya tidak memaksa dan mengehadkan minatnya,” katanya.
Tambah Rukiah, soal pelajaran anak-anak tetap menjadi keutamaan di sebalik kebebasan yang diberikan.
“Saya selalu berpesan padanya, minatlah apa sahaja tetapi perlu belajar. Saya akan pastikan semua kerja sekolah disiapkan terlebih dahulu sebelum menyertai apa-apa pertandingan atau aktiviti lain.
“Alhamdulillah, Wina sangat berdisiplin dan komited dalam pelajaran, malah akan menyiapkan kerja sekolah sebab risau didenda nanti,” ujarnya.
Kata Rukiah, Wina juga merupakan pengawas di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sg. Way, Petaling Jaya, Selangor.
Kejayaan Wina sering mendapat perhatian dan sokongan guru-guru selain aktif dalam sukan badminton di samping meminati busaan kostum. – UTUSAN