meroyan selepas bersalin

Seorang dari 10 ibu hamil alami gangguan emosi, risiko meroyan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebenarnya masalah gangguan emosi boleh berlaku sejak wanita hamil lagi disebabkan perubahan hormon dan boleh menyebabkan meroyan selepas bersalin jika tidak ditangani.

Dianggarkan seorang dalam 10 ibu hamil akan mengalami gangguan emosi sama ada semasa mengandung atau selepas melahirkan.

Manakala 10 sehingga 20 peratus ibu bersalin mengalami meroyan atau kemurungan selepas bersalin. Namun hanya segelintir yang mengalami meroyan serius yang membawa kepada mortaliti atau kematian.

Pakar dan pensyarah perubatan obstetrik & ginekologi, UPM, Dr. Nurul Iftida Basri berkata, selain perubahan hormon, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada gangguan emosi ibu.

“Sekiranya gangguan emosi ketika hamil menyebabkan kemurungan dan tidak dikesan atau dirawat dengan awal, ia boleh menjadi punca ibu meroyan lepas bersalin.

“Meroyan atau postnatal depression adalah berbahaya bukan sahaja kepada ibu tetapi kepada bayi yang baru lahir kerana ia boleh menggangu hubungan antara ibu dan bayi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah beliau lagi, meroyan juga boleh mengganggu pembesaran dan perkembangan bayi.

Lebih membimbangkan, ia juga berisiko menyebabkan anak mengalami masalah tingkah laku dan pembelajaran.

Ibu yang sedang hamil dan mengalami gangguan emosi juga mendedahkan risiko kepada bayi dalam kandungan.

Antaranya bayi berkemungkinan lahir pramatang, bayi juga mungkin dilahirkan lebih kecil dan ringan dari sepatutnya iaitu kurang dari 2.5 kg bagi bayi lahir matang.

Selain faktor perubahan hormon, faktor persekitaran seperti tidak mendapat sokongan suami atau keluarga, masalah kewangan dan tekanan tempat kerja atau keluarga boleh menganggu emosi ibu.

Tanda-tanda ibu mengalami gangguan emosi

Ahli keluarga terutama suami perlu mengambil berat sebarang tanda-tanda awal ibu mengalami gangguan emosi bagi menanganinya pada peringkat awal.

Dr. Nurul Iftida berkata, tanda- tanda gangguan emosi boleh dilihat melalui perubahan perasaan atau fizikal ibu terbabit.

“Perhatikan sama ada ibu menunjukkan perasaan seperti sedih atau murung secara tiba-tiba atau menangis secara berlebihan atau tanpa sebab. Mereka juga mungkin mempunyai niat membunuh diri atau mencederakan diri sendiri.

“Perubahan fizikal pula boleh dilihat apabila ibu mengabaikan kesihatan dan penjagaan diri seperti mengabaikan pemeriksaan antenatal, tidak mengambil makanan seimbang atau makan berlebihan tanpa sebab, sukar untuk tidur, hilang minat terhadap sesuatu perkara yang diminati dan memencilkan diri,” katanya lagi.

Selain itu, ibu yang mengalami gangguan emosi juga menunjukkan perasaan bercelaru atau bercakap merapu seperti mendakwa bayinya sakit sedangkan bayinya sihat.

Selain itu, tanda -tanda serius lain yang perlu diperhatikan seperti sedih tiba-tiba, tidak mahu menjaga atau memegang bayi, mendengar suara-suara ghaib dan mempunyai delusi (kepercayaan karut).

Cara cegah dan atasi gangguan emosi

Dr. Nurul Iftida berkata, ibu menggunakan banyak tenaga semasa proses bersalin sehingga menyebabkan keletihan selepas melahirkan sedikit sebanyak akan mengalami gangguan emosi.

“Perubahan fizikal dan mental disebabkan tidak mendapat cukup tidur untuk menjaga bayi baru selama 24 jam boleh menjadi punca ibu meroyan.

“ Justeru, amat penting bagi mereka mendapatkan rehat dan tidur secukupnya. Selain itu, pastikan mereka mendapat pemakanan sihat dan seimbang. Sokongan dari suami dan ahli keluarga amat penting dalam mengurangkan risiko mengalami meroyan, “katanya.

Katanya ada wanita yang mengalami masalah gangguan emosi dan meroyan berikutan faktor genetik atau sejarah keluarga.

Mereka yang ada sejarah depresi sebelum mengandung dan bersalin juga menyumbang kepada punca berlakunya meroyan.

Justeru, suami atau ahli keluarga perlu peka terhadap perubahan ibu hamil. Suami perlu meluangkan masa bersama isteri hamil, membantu urusan rumah, mengelakkan percanggahan pendapat atau pergaduhan selain bersabar melayani kerenah mereka.

“Sekiranya ibu hamil menampakkan tanda-tanda gangguan emosi, sebaiknya dinasihatkan untuk berjumpa doktor atau pakar psikologi untuk penilaian segera.

“Ini bagi mengurangkan atau mengelakkan berlakunya meroyan selepas bersalin, di mana penilaian dan terapi sepatutnya boleh diberikan dengan lebih awal, “ katanya.

Kata beliau lagi, ibu perlu dinilai dan dirawat oleh pakar psikiatri. Rawatan terapi, kaunselling dan ubatan bergantung pada diagnosis dan tahap keseriusan meroyan.

Jenis meroyan dalam kalangan ibu bersalin boleh dibahagikan kepada ringan (postpartum blues), depresi dan psikosis.

“Jenis depresi dan psikosis memerlukan rawatan pakar manakala jenis ringan pula bersifat sementara dan berlaku kepada hampir 60 hingga 70 peratus ibu bersalin.

“ Bagi kes ringan, peluang untuk sembuh dan kembali normal adalah tinggi. Manakala bagi kebanyakan kes jenis depresi dan psikosis boleh sembuh dengan rawatan yang sesuai, walaupun ada yang mengambil masa lebih dari setahun, “ katanya.

Katanya lagi, bagaimanapun ibu yang pernah mengalami masalah gangguan emosi ini, berisiko mengalami gejala sama untuk kelahiran akan datang.

Cara mencegah meroyan

Pastikan ibu bersalin mendapat bantuan secukupnya utk menjaga diri dan bayi yang baru dilahirkan.

Ibu perlu mendapatkan rehat dan tidur cukup. Bagi muslim, digalakkan berzikir, berdoa dan mendengar ayat-ayat quran.

Cari individu yang boleh dipercayai untuk menceritakan apa yang anda sedang alami terutama suami, ahli keluarga dan pakar terapi untuk mendapatkan bantuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya