Fotografi sukan merupakan salah satu genre yang mencabar minda dan keupayaan seseorang yang bergelar jurufoto.
Peralatan rapi seperti kamera dan lensa amat penting ketika merakam aksi lasak di lapangan.
Kejohanan Sukan Asia Tenggara adalah titik permulaan bagi jurufoto sukan yang ingin menceburi genre ini sebelum ke temasya sukan berprestij seperti Sukan Olimpik, Sukan Asia, perlumbaan Formula 1 dan MotoGP.
Kebanyakan jurufoto sukan memerlukan kamera responsif yakni berteknologi tinggi yang mampu menjejak subjek dengan tepat dan meyakinkan.
Ia juga memerlukan pemilihan tepat lensa seperti 400 milimeter (mm), 500mm dan 600mm supaya imej yang dirakam berkualiti tinggi.
Selain menguasai aspek teknikal, jurufoto sukan perlu mengambil kira pengetahuan asas tentang sesuatu jenis sukan itu terutama cara permainan dan kaedah mengira mata.
Ketahanan fizikal dan mental juga diambil kira. Sebagai contoh jurufoto sendiri pernah berjalan sejauh 10 kilometer (km) dengan membawa bebanan seberat 10 kilogram (kg) selepas ditinggalkan kenderaan ketika bertugas di Litar Antarabangsa Sepang.
Momen paling berharga selama 24 tahun sebagai jurufoto, ketika menjejak Tiger Woods dan Mark O’Meara pada kejohanan Golf Piala Dunia ke-45 pada tahun 1999 di Mines Resorts & Golf Club, Seri Kembangan.
Kawalan ketat terhadap bintang golf Amerika Syarikat dan penyokong menjadi cabaran untuk mencari sudut merakam momen yang paling baik.
Kesungguhan, ketepatan dan peka pada keadaan sekeliling menjadi faktor utama.
Jurufoto sukan juga disarankan mempelajari teknik-teknik terkini dalam fotografi sukan.