Lestari Vipers latih pelapis muda bola sepak

Lestari Vipers latih pelapis muda bola sepak

LESTARI VIpers FC dibarisi lima jurulatih dan 122 ahli kelab dan pemain bawah 17 tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELENTUR buluh biar dari rebungnya. Peribahasa itu sangat sinonim dengan usaha untuk melatih anak-anak kecil dalam mencungkil bakat dan kemahiran mereka bermula di usia muda dalam apa jua bidang.

Begitu juga dalam bidang sukan. Ia ternyata tidak mudah untuk melahirkan dan membentuk seorang atlet. Tanpa latihan dari awal, amat sukar untuk beraksi di lapangan, apatah lagi mampu bergelar juara.

Mencari pelapis bagi pemain sukan dalam mana-mana acara sekalipun adalah sangat diperlukan supaya negara tidak lompong dalam menyediakan pasukan berprestij di arena antarabangsa.

Menyedari kepentingan itu, Kelab Bolasepak Lestari Vipers (Lestari Vipers FC) tampil sebagai sebuah kelab bola sepak dalam mengurus dan melatih pemain kanak-kanak berumur 6 hingga 17 tahun.

Kelab ini yang ditubuhkan sejak 2015 turut melatih pemain muda dalam kalangan wanita dan orang kurang upaya (OKU Kudung) yang dilatih oleh jurulatih bertauliah (mempunyai sijil kelayakan) yang berpengkalan di Padang Utama, Taman Lestari Putra, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor.

Sepanjang lapan tahun dalam menggilap bakat anak muda, kelab yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia ini meraih pelbagai pencapaian membanggakan. Lebih mengujakan, ada antara ‘produk’ dari kelab ini kini diiktiraf sebagai pemain profesional dan menyertai skuad bola sepak negara.

Ada antara bekas pemain kelab ini kini menyertai pasukan JDT 2, Perak 2, KL Belia dan Selangor Belia.

Ternyata, objektif penubuhan kelab ini bukan sahaja sebagai satu program riadah sukan bagi kawasan rukun tetangga berdekatan, malah membentuk sebuah pasukan bola sepak muda yang digeruni dan sebaris nama-nama kelab besar lain.

Pada masa sama, ia secara tidak langsung membentuk budaya bersukan dan bersiplin dalam kalangan generesi muda; membangunkan pelapis pemain bola sepak pada setiap peringkat umur serta menghasilkan kelompok pemain mempunyai asas bola sepak yang sempurna sekali gus muncul sebuah kelab bola sepak secara professional.

Selaras dengan matlamat pasukan untuk mencapai kemajuan serta kebersediaan untuk menghadapi perlawanan, pengurusan kelab merancang mengadakan enam perlawanan persahabatan setiap tahun.

Untuk itu, bagi mengekalkan momentum semangat dan mengasah bakat pemain, Lestari Vipers FC menganjurkan Program Liga Bola Sepak Kanak-Kanak, Viper Super Sunday bermula 10 Jun lalu pada setiap hari Ahad sehingga 30 Jun 2023.

Pertandingan ini adalah hasil cetusan idea daripada beberapa kelab yang aktif dalam melahirkan pemain bola sepak khususnya di peringkat Selangor.

Walau bagaimanapun, kelab-kelab ini yang kebanyakkannya bukanlah kelab bersifat komersial, mereka terhimpit dengan masalah yuran penyertaan liga yang cukup tinggi.

Menurut Presiden Lestari Vipers FC, Mohd. Tarmizie Mohd. Shahidan, rata-rata penganjuran liga akar umbi memerlukan yuran penyertaan sekitar RM 1,500 hingga RM2,500 untuk satu pusingan liga. Ini sudah cukup membebankan kelab dan ibu-bapa pemain.

“Bertitik tolak dari situasi ini, Lestari Vipers FC mengambil langkah menganjurkan liga yang berkonsepkan Liga Rahmah iaitu hanya mengenakan kos rendah dan lebih tersusun sejajar saranan kerajaan.

“Kami percaya dengan pengalaman mengendali beberapa kejohanan sejak 2017 dan bantuan masyarakat setempat, Liga Viper Super Sunday ini dapat dijalankan demi melahirkan bakat-bakat bola sepak untuk negeri Selangor serta Malaysia amnya,” katanya di sini baru-baru ini.

Sebagai menyokong penganjuran Liga Rahmah ini, Ahli Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya tampil memberikan sumbangan berupa satu set persalinan jersey kepada satu pasukan pemain bagi tujuan latihan.

Menurut beliau, usaha murni kelab ini yang melatih 122 pemain muda amat diperlukan dalam mencungkil bakat-bakat muda yang ada dalam negara ini untuk mengajar cara permainan bola sepak dengan betul supaya mereka boleh kuasai teknik-teknik asas apabila mereka meningkat dewasa.

“Perkara ini penting dalam bola sepak, seseorang pemain bukan tiba-tiba boleh terus main bola sepak. Dengan taktikal, cara sepak bola dengan betul, mereka tidak ada masalah nanti untuk berada di peringkat nasional atau negeri.

“Jadi peranan kelab-kelab muda ini amat dituntut dan diperlukan FAM dalam usaha membangun dan mencungkil bakat muda,” katanya.

Mohd. Hisamuddin yang juga Ahli Dewan Negara yakin, kewujudan kelab-kelab pelapis pemain bola sepak seperti Lestari Vipers FC ini mampu menjadi ‘kilang’ dalam membekalkan pemain-pemain hebat kepada pasukan kebangsaan pada masa akan datang.

Pada masa sama, katanya, aktiviti seumpama ini secara tidak langsung mendisiplinkan anak-anak muda selain demi mendidik generasi muda membentuk sikap murni seperti cara menghormati orang tua, semangat kesetiaan dan kecintaan kepada negara sekali gus menjauhkan mereka daripada terjebak masalah sosial.

“Peranan ibu bapa juga penting untuk menjadikan anak-anak ini pemain profesional satu hari nanti seterusnya mampu mengharumkan nama negara,” katanya.

MOHD. Hisamudin Yahaya (kiri) berbual bersama jurulatih LV Vipers FC, Mohd. Fadzan Mat Isa yang juga pemain pasukan bola sepak kudung kebangsaan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya