MASIH ada masyarakat kita berpandangan pusat tahfiz hanya tempat melahirkan penghafal al-Quran atau mereka yang mahu memberi fokus dalam bidang ilmu agama.
Paling menyedihkan, pelajar pusat tahfiz sering dituduh tidak mempunyai masa depan dan institusi itu bukan tempat untuk golongan profesional.
Bagaimanapun, tanggapan tersebut sebenarnya silap dan kini sudah ramai ibu bapa yang mahu menghantar anak-anak menuntut ilmu di pusat berkenaan.
Hal itu kerana pusat tahfiz bukan sahaja menyediakan silibus pendidikan agama, tetapi turut mendedahkan pelajar dengan pelbagai ilmu kemahiran hidup lain antaranya penternakan dan pertanian.
Pendekatan itu diterapkan di Madrasah An-Nuur (MAN) di Johor yang kini mempunyai lebih 80 pelajar.
Pengasasnya, Noor Effendi Hamid berkata, pelaksanaan silibus ilmu kemahiran hidup dilihat penting untuk memastikan pelajar mampu berdikari dan dapat memberi keseimbangan antara ilmu dunia serta akhirat.
Menurutnya, pelajar di pusat tahfiz itu boleh memilih bidang lain berdasarkan minat sama ada untuk membantu penternakan kambing, bercucuk tanam, menternak kelulut atau dalam bidang kimpalan besi sebagai sebahagian silibus mereka selain subjek berkaitan pendidikan agama Islam.
“Semua pelajar di sini sudah ada jadual harian mereka sendiri, biasanya pada waktu petang mereka membantu di kebun dan juga bertugas di kandang kambing.
“Kalau mereka tidak berminat dalam kedua-dua bidang ini, pelajar turut diajar untuk berniaga kecil-kecilan. Mereka bebas untuk menentukan minat sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Madrasah An-Nuur yang terletak di Parit Sekoyan Laut, Kesang Laut, Muar mempunyai ladang seluas 0.80 hektar yang diusahakan sejak 2013 .
Ladang milik madrasah itu memilikii beberapa hasil tanaman lain antaranya jambu batu, ternakan kelulut dan kandang yang menempatkan lebih 60 ekor kambing.
Tambah Noor Effendi, pusat tahfiz itu turut mewajibkan para pelajar menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memastikan mereka mencapai keputusan yang baik.
“Kita mahu melahirkan peguam, doktor, arkitek, juruterbang dan golongan profesional yang tidak dipisahkan dengan ilmu agama dan al-Quran,” jelasnya.
Sementara itu, seorang pelajar, Zarif Darwis Muhd. Zaki, 15, teruja dapat membantu kerja-kerja di ladang kerana mempunyai minat mendalam terhadap bidang penternakan.
“Sejak kecil saya membantu ayah menguruskan lembu-lembu dan saya seronok kerana dapat meneruskan minat saya di sini.
“InsyaAllah mungkin satu hari nanti saya boleh menjadi penternak berjaya,” ujarnya.
Bagi Guru Penolong Kanan 1 madrasah itu, Muhammad Firdaus Ismail berkata, sebanyak 40 pokok rock melon ditanam secara fertigasi selain cili.
“Kami bercadang untuk menanam lebih 1,000 pokok rock melon lagi selepas ini di samping akan memulakan penternakan ikan keli.
“Pada peringkat awal, ikan-ikan ini akan digunakan untuk memenuhi keperluan di madrasah dahulu sebelum boleh dipasarkan ke tempat lain,” ujarnya.
Madrasah An-Nuur turut dilawati pelbagai pihak termasuk Jabatan Pertanian dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi melihat dan membantu projek berkaitan.