Hapus stigma haid di sekolah

Hapus stigma haid di sekolah

HAMPIR 70 peratus pelajar perempuan masih percaya ‘datang bulan’ adalah subjek tabu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGGUNAAN kod gantian seperti ‘cuti’ apabila merujuk kepada haid di samping perlu menyembunyikan tuala wanita di dalam buku teks atau beg kantung merupakan situasi lazim dalam kalangan pelajar sekolah setiap kali datang bulan.

Malah sehingga kini golongan itu masih berbisik jika perlu meminta tuala wanita daripada rakan-rakan sekelas.

Lebih menyedihkan, ada segelintir pelajar perempuan yang mengelak menyertai aktiviti pendidikan jasmani kerana bimbang berlaku kebocoran.

Semua itu dilakukan kerana tidak mahu dianggap kotor atau tidak suci di samping bimbang diusik dan diejek rakan sekolah.

Berdasarkan Kajian Kemiskinan dan Stigma Haid Kotex, lebih separuh daripada 746 pelajar berusia antara 10 hingga 24 tahun ingin ponteng sekolah apabila didatangi haid dengan kira-kira 68 peratus pula masih percaya yang datang bulan adalah subjek tabu.

Penemuan itu cukup untuk membuktikan yang stigma haid masih wujud di sekolah dan berterusan sehingga ke universiti.

Pakar Psikologi Pendidikan dan Pengarah Program Sarjana Muda Psikologi di Sekolah Seni dan Sains Liberal, Universiti Taylor, G. Rajalakshmi berkata, stigma haid boleh menghalang kemajuan dan jika berlarutan dikhuatiri meluaskan lagi jurang perbezaan jantina dalam masyarakat.

Katanya, haid akan dianggap sebagai ketakutan sekiranya datang bulan terus dikaitkan menjadi punca wanita bertukar pemarah, kotor atau murung.

SESI perbincangan mengenai persekitaran kondusif untuk gadis muda penting untuk hapus stigma haid.

“Apabila seorang wanita dikaitkan dengan stigma sejak mengalami haid pertamanya, maka dia mungkin menganggap diri kurang berkemampuan berbanding dengan rakan-rakan lelaki.

“Kepercayaan negatif boleh mendatangkan tingkah laku tidak produktif lain seperti enggan mengambil bahagian dalam aktiviti atau tidak hadir ke sekolah,” katanya dalam sesi panel bertajuk Persekitaran Kondusif untuk Gadis Muda Penting bagi Kemajuan Sosioekonomi Negara sempena Majlis Penyerahan Dana Kotex She Can baru-baru ini.

Panel lain ialah Pengasas Athena Empowers, Anja Juliah Abu Bakar dan Pengasas Kita Geenius, Alma Artin Vaqari.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dan Pengarah Pemasaran Kimberly-Clark Malaysia, Arvind Iyer.

Rajalakshmi berkata, melalui pendidikan, remaja perempuan boleh belajar untuk menerima dan memahami perubahan fisiologi yang dialami semasa kitaran haid sekali gus mempelajari cara menguruskan psikologi mereka dengan lebih berkesan.

Alma Artin berpendapat, stigma haid boleh dihapuskan jika haid dinormalisasikan di sekolah seawal mungkin, sebelum kanak-kanak perempuan mula datang bulan.
Katanya, sudah sampai masanya perubahan dilakukan bagi memastikan masyarakat lebih terbuka dalam isu-isu berkaitan wanita.

“Ada yang takut menegur wanita yang mengalami kebocoran haid pada pakaian di tempat awam dan bagi saya sikap buat tidak tahu sedemikian memburukkan lagi stigma yang sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Anja Juliah mahu pelajar lelaki turut didedahkan dengan maklumat berkaitan haid dalam usaha menormalisasikan agenda itu di sekolah.

“Menormalisasikan haid di sekolah bermakna lelaki dan perempuan belajar memahami yang sindrom pra-haid dan pendarahan hanyalah sebahagian daripada proses biologi wanita sihat.

“Apabila seorang gadis muda mengalami emosi yang berbeza, dia boleh bercakap mengenainya secara terbuka dengan rakan sebaya atau guru kaunseling, malah jika dia bocor semasa menyertai acara sukan, tiada siapa yang akan mengusik atau menularkannya di media sosial.

“Apabila dia perlu menukar tuala wanita, tandas sekolah bersih dan dilengkapi kemudahan sanitasi yang mencukupi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya