WARNA terang atau menonjol kadang-kala sukar untuk digayakan.
Terutama warna jingga yang cukup sinonim memberi bayangan ceria, berani, bertenaga dan menyerlahkan mood atau aura yang berbeza.
Warna-warna panas seperti oren atau jingga ini sesuai dipakai ketika musim sejuk kerana lebih menghangatkan hari namun ia boleh dipadankan juga semasa musim panas.
Seperti pelakon Amelia Henderson memadankan warna oren dengan biru diraja atau royal blue dan hitam bagi mengembalikan nostalgia retro menerusi koleksi Bonia x Amelia untuk tampil gaya klasik mewah.
Inspirasi daripada fesyen lalu, pakaian ready-to-wear adalah koleksi kasual paling mudah dipakai pada bila-bila masa ke majlis santai, bersiar-siar mahupun melancong.
Beg silang dan small shoulder bag
Beg silang dan sandang yang ringan dengan rekaan ringkas serta elegan semakin diminati. Ia mudah dipadankan sama ada dengan pemakaian sweater mahupun dress. Didatangkan dengan pilihan tiga warna iaitu oren, hitam dan biru. Beg warna biru lebih menyerlahkan gaya dengan padanan pakaian jingga.
Sneakers
Gayakan sneakers berwarna putih dan hitam dengan sweater biru. Kasut dengan rekaan yang selesa dan tumit rata untuk mereka yang suka berjalan jauh. Padanan ini lebih sejuk dan tenang bagi yang ingin tampil ringkas. Namun pilihan warna dan gaya ini juga mampu menarik perhatian.
Kasut tumit tinggi
Padanan kasut tumit tinggi dan gaun menyerlahkan penampilan. Padanan warna sama atau senada buat si pemakai kelihatan lebih anggun.
Dress atau gaun
Gaun labuh paras betis, berkolar dan boleh diikat bahagian depan ini sesuai dipakai secara santai atau ke majlis tertentu. Gaun biru disuaikan dengan beg tangan berwarna hitam. Gaun hitam pula dipadankan dengan beg berwarna jingga. Ia lebih anggun ketika digayakan.
Sweatshirt atau sweater
Bagi penggemar sweater atau baju sejuk, ini adalah pilihan yang tepat untuk tampil ringkas dalam bergaya. Disuaikan pula dengan padanan seluar jeans dan sneakers. Padankan sweater oren dan beg daripada warna sama untuk serlahkan gaya ceria dan berani.