KERAJAAN baru-baru ini telah mengumumkan untuk menghentikan subsidi elektrik kepada golongan T20 atau mereka yang menggunakan terlalu banyak sumber tenaga itu.
Ini bagi membantu mengurangkan beban kewangan kerajaan yang mana pada tahun lalu RM6.51 bilion digunakan untuk membiayai subsidi tarif elektrik.
Pada masa ini subsidi dilaksanakan secara menyeluruh. Semua orang dapat manfaat termasuk golongan kaya (T20) akan mendapat manfaat lebih berbanding isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40).
Golongan kaya biasanya menggunakan lebih banyak peralatan elektrik terutama penyaman udara, tetapi tetap menikmati subsidi yang sama.
Walaupun belum ada tarikh muktamad bila subsidi itu akan dimansuhkan, namun apabila tiba masanya golongan yang terbabit ekoran penarikan itu pasti akan terasa kesannya.
Jika kita teliti bil elektrik daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) setiap bulan dengan jelas dinyatakan berapa jumlah kilowatt elektrik yang kita gunakan dan berapa pula subsidi yang dinikmati.
Contohnya, jika bil elektrik sekitar RM1,300 sebulan, anda menikmati subsidi lebih kurang RM700 iaitu hampir 50 peratus. Jika subsidi itu ditarik balik bil sebenar elektrik yang perlu dibayar setiap bulan adalah sekitar RM2,000. Iaitu peningkatan hampir mencecah sekali ganda.
Walaupun untuk golongan T20, ia adalah kenaikan yang banyak. Bagi yang mahukan penjimatan mereka perlu membuat persediaan bagaimana untuk mengurangkan bebanan kos tambahan setiap bulan itu.
Mereka sudah boleh merancang untuk menggunakan sumber tenaga alternatif supaya beban bulanan itu dapat dikurangkan.
Menurut Profesor Adjung di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Datuk Dr. Guntor Tobeng, bagi golongan T20 yang mahu mengurangkan kesan penghapusan subsidi ini mereka perlu beralih kepada sumber tenaga alternatif yang mana salah satu daripadanya adalah solar.
Katanya, dengan solar mereka boleh menikmati penjimatan tenaga elektrik hingga 70 peratus.
Mereka dengan bil sekitar RM1,300 setiap bulan hanya perlu membayar sekitar RM500 apabila menggunakan solar melalui Net Energy Metering (NEM).
Maknanya, jika subsidi ditarik sekalipun ia masih lagi menjimatkan dan penjimatan itu boleh digunakan untuk membayar bayaran ansuran pemasangan solar sekira RM435 sebulan bagi tempoh 10 tahun.
Selepas 10 tahun penggunakan akan menikmati kebebasan penggunaan elektrik sepenuhnya tanpa perlu risau akan bil yang tinggi dan panel solar yang dipasang di bumbung pula boleh bertahan sekurang-kurangnya untuk 25 tahun.
“Untuk pemasangan solar yang menghasilkan 10 kilowatt (kw) elektrik memerlukan sekitar RM40,000 dengan bayaran bulanan hanya RM435 sebulan untuk tempoh 10 tahun.
“Kalau mereka yang bil elektriknya RM2,000 sebulan pemasangan solar ini merupakan satu penjimatan,” katanya yang juga Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., iaitu antara syarikat pembekal solar terkemuka di negara ini.
Katanya, apabila subsidi elektrik untuk golongan T20 ini ditarik balik, penggunaan solar adalah alternatif yang sangat menjimatkan.
Lagi pula, ia turut menyumbang kepada lebih banyak penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) untuk alam sekitar yang lebih bersih.
“Ini boleh diibaratkan seperti serampang dua mata, iaitu untuk penjimatan elektrik dan pada masa sama menyumbang kepada kelestarian alam sekitar,” katanya.