“Jangan diingat hanya kita gedebe (perkasa dan samseng), ada suara tinggi, amarah membahang, ruas penumbuk serta tulang keting yang keras. Setiap manusia Allah bekalkan semua sifat itu untuk keperluan hidup mereka.
Cuma orang berakal dan berilmu tidak mudah memuntahkan semua itu melainkan bila masanya tiba.”
Ini antara pesan al-marhum tuan guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat, mantan Menteri Besar Kelantan suatu masa dahulu dalam sebuah kuliahnya. Pesanan itu selalu saya ingat sebagai cara untuk mengawal diri ketika marah.
Beberapa hari ini riuh dibicarakan beberapa peristiwa manusia marah lagi garang bertindak luar kawal sehingga mengundang aduan dan tangkapan. Ada yang menunjal kepala wanita kerana perselisihan pemanduan kereta.
Ada yang menampar pelayan restoran kerana sedikit perselisihan faham. Ada inspektor polis terjerit-jerit menghina pegawai bawahan. Ada yang mengugut lawan dialog agama kerana didakwa menghina guru pujaannya.
Lazimnya apabila ditangkap, dibicara dan dihukum, segala sesalan akan muncul. Pada waktu itu barulah kewarasan muncul, namun masakan masa boleh diputar untuk mengubah kebodohan lampau.
Bertitik tolak daripada premis itu, penting bagi setiap Muslim belajar mengawal marah dan memupuk sabar agar kehidupan mereka lebih tenang tanpa masalah.
Asasnya, marah, garang adalah rencah hidup yang Allah bekalkan untuk setiap manusia. Tanpa sifat marah, manusia hilang sifat manusiawinya bahkan boleh bertukar dayus.
Menurut Islam, marah terbahagi kepada dua iaitu marah dipuji agama dan marah tercela yang wajib dijauhi.
Adakalanya marah dan garang wajib ditunjukkan apabila maruah agama dicabar. Pada waktu ini, marah kerana Allah bakal membuahkan pahala. Nabi Musa a.s pernah meluap kemarahan apabila melihat Bani Israel sesat menyembah berhala.
Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan apabila Nabi Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan dukacita, berkatalah dia: “Amatlah buruknya apa yang telah kamu lakukan sepeninggalanku; mengapa kamu terburu-buru (tidak menunggu) perintah Tuhan kamu?”
Dan Baginda mencampakkan kepingan lauh (yang mengandungi tulisan Taurat) itu serta dia memegang (rambut) kepala saudaranya (Nabi Harun) sambil menariknya kepadanya.
Nabi Harun berkata: “Wahai anak ibuku! Sesungguhnya kaum (Bani Israel) memandangku lemah dan nyaris membunuhku (ketika aku melarang mereka); oleh itu, janganlah engkau menjadikan musuh bergembira melihat (tempelakmu) terhadapku, dan janganlah engkau jadikan daku termasuk dalam golongan orang yang zalim”. (al-A’raf: 150)
Rasulullah SAW sendiri akan memuncak marahnya apabila hak Allah dicabar atau dicerobohi. (Sahih Muslim, 4296).
Marah adalah sejenis penyakit jiwa yang boleh dirawat jika kena ubatnya.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Tidaklah Allah turunkan penyakit melainkan akan diturunkan juga ubatnya. (Sahih al-Bukhari, 5246).
Berikut beberapa ubat ringkas marah menurut suluhan wahyu:
1. Meminta perlindungan Allah daripada syaitan yang pandai meletuskan gejolak amarah. Pernah satu hari Nabi melihat dua lelaki bertelagah sehingga wajah seorang daripadanya bertukar warna dek kemarahan melampau. Berikutan itu Nabi SAW memintanya berdoa agar dijauhi hasutan syaitan). (Sahih al-Bukhari, 3040).
2. Bersabar ketika hentakan pertama peristiwa yang mencetus amarah (Sahih al-Bukhari, 1203).
Ini saat paling kritikal kerana kesabaran pertama itu seumpama air sejuk yang mampu memadamkan api kemarahan yang baru tercetus.
Jika letusan pertama ini tidak segera dikawal, api kemarahan akan semakin marak sehingga mencetuskan bencana emosi yang lain.
3. Menambah ilmu pengetahuan berkaitan penyakit hati nurani. Dalam istilah agama, ia dipanggil ilmu tasauf iaitu sejenis ilmu yang dipelajari untuk membersihkan jiwa daripada berbagai sifat yang tercela.
4. Mengingati berbagai kelebihan menahan amarah yang dijanjikan Allah (rujuk ali-Imran: 133-134).
Ganjaran syurga bagi orang yang menahan marah turut disokong nabi dalam hadisnya yang bermaksud: Sesiapa yang menahan marah sedangkan dia mampu melepaskannya, pada hari kiamat kelak Allah akan memanggilnya mendahului semua makhluk lain (sebagai lambang kemuliaan), kemudiannya dia diberi pilihan untuk memilih mana-mana bidadari yang dikehendakinya (kiasan kepada kedudukan syurganya yang tinggi). (Sunan al-Tirmidzi, 1944).
5. Menyedari kekuatan serta kelebihan fizikal yang ada pada diri hanya pinjaman yang boleh Allah sentap atau Tarik pada bila-bila masa sahaja. Nabi Musa a.s yang terkenal kuat pun berdoa kepada Allah agar tidak salah menzalimi orang lain.
Ini doa baginda ketika silap menumbuk mati lelaki Qibti di Mesir dahulu yang bermaksud: (Selepas tersilap menumbuk mati orang Qibti, Nabi Musa merayu: “Wahai Tuhanku, demi nikmat (seperti kekuatan fizikal luar biasa) yang Engkau kurniakan kepadaku, (peliharalah daku) supaya aku tidak akan menjadi penyokong kepada golongan yang bersalah. (al-Qasas: 17)
Bahkan Nabi SAW turut menjelaskan makna sebenar ‘kuat’ dalam sabdanya yang bermaksud: Bukanlah orang yang kuat itu dinilai dengan kemampuannya menewaskan musuh, sebaliknya orang kuat sebenar adalah orang yang mampu mengawal diri ketika marah. (Sahih al-Bukhari, 5649).6. Berfikir secara bijaksana merentas alam akhirat.
Perkataan bijaksana itu sendiri boleh dipecah-gabung sebagai ‘bijak berfikir sampai ke sana’ (alam akhirat). Apabila kesedaran akhirat menjadi piawaian sebarang Tindakan kita, pastinya aksi tunjal kepala, tampar muka, hina orang bawahan dan ugut pukul tidak akan berlaku.
Manfaat meletuskan amarah sangat sedikit berbanding usaha sabar dan mengawal diri. Jika tidak diberkas pihak berkuasa, kita mungkin dianggap kuat dan digeruni orang. Pun begitu, kita mungkin mengalami muflis akhirat.
Ia sebagaimana amaran Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tahukah kalian siapakah orang yang muflis?” Para sahabat menjawab: “Orang yang muflis dalam kalangan kami adalah orang yang tidak miliki dirham atau harta.”
Rasulullah menyambung: “Orang yang muflis daripada umatku adalah orang yang datang pada hari kiamat membawa pahala solat, puasa dan zakat. Namun dia juga bawa dosa kezaliman. dia pernah cerca si ini, tuduh tanpa bukti si ini, makan harta si anu, menumpahkan darah orang ini dan memukul orang itu.
Maka sebagai tebusan atas kezalimannya, kebaikannya diberi kepada si ini, si anu dan si itu. Apabila kebaikannya habis dibahagikan kepada orang yang dizaliminya sedangkan kezalimannya belum tertebus, diambil pula kesalahan yang dimiliki oleh orang yang dizaliminya lalu ditimpakan kepadanya, kemudian ia dicampakkan ke dalam neraka.” (Sahih Muslim).
Semoga Allah mengurniakan kita semua sabar yang mampu menyelamatkan diri daripada berbagai bencana amarah. Amin!
Abdullah Bukhari Abdul Rahim al-Hafiz ialah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.