“KADANG-kadang dengan hanya membaca laporan berita tentang negara kekurangan telur pun boleh mencetuskan serangan panik dan menyebabkan saya resah. Begitu juga ketika memandu kerana bunyi kenderaan terlalu kuat atau jalan raya yang sibuk.
“Pernah semasa berbual kerana bimbang tersalah pilih perkataan dan kebiasaannya tidak tahu kenapa diserang, tahu-tahu sudah menangis dan ketakutan sendiri.”
Demikian penderitaan dan perjalanan bekas editor hiburan, Maliah Surip, 42, yang disahkan menghidap generalized anxiety disorder (GAD) dan major depressive disorder (MDD) atau kemurungan teruk sejak 2019.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu mengakui dirinya tidak mampu berfungsi sebagai manusia normal dan banyak menghabiskan masa di ruang sendiri, berkurung di bilik malah tidak peduli kepada keluarga atau dunia luar.
Katanya, semua itu disebabkan terlalu takut kepada benda tidak pasti akibat terlampau berfikir.
“Dunia penuh ancaman bagi saya hinggakan pernah tidak keluar rumah sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), namun saya bersyukur suami dan anak-anak sangat memahami serta menjadi tulang belakang kesembuhan saya selama ini,” kongsinya sambil menjelaskan keadaan kesihatan kini jauh lebih baik dengan hanya sesekali diserang anxiety dan depresi.
Menurut Maliah, suami merupakan orang pertama yang mengetahui masalahnya kerana sering menemani ke setiap sesi rawatan di samping kerap berkomunikasi dengan doktor.
Kata Maliah, rahsia mengenai penyakitnya itu bagaimanapun didedahkan kepada keluarga di sebelahnya selepas setahun didiagnosis manakala pihak mentua hanya mengetahui beberapa bulan lalu.
Berkongsi lebih lanjut, Maliah kini yang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) secara berkala pernah dibekalkan ubat anxiety jenis Luvox dalam dos tertinggi iaitu 300 miligram yang wajib dimakan setiap hari di samping ubat tidur, Lorazepam dan ubat penenang, Risperidone.
“Dalam masa sama, saya juga menjalani rawatan tingkah laku kognitif dengan seorang pakar hospital swasta bagi membantu berfikiran lebih tenang, rasional dan positif.
“Saya perlu tolong diri sendiri kerana memakan ubat tanpa perasaan ingin pulih atau bertemu doktor terapi tidak akan membantu keluar daripada penyakit ini. Saya mahu buktikan yang penyakit ini tidak boleh ‘makan’ saya dan akan ‘diajar’ habis-habisan.
“Nasihat saya, jangan takut atau sembunyikan penyakit ini. Belajarlah berdamai dengan diri dan akui sakit dialami untuk membantu kita pulih kerana hanya yang dapat menyelamatkan kita,” katanya.
Ujar Maliah, setiap pengalaman diserang penyakit mental itu dikongsikan dalam buku nukilannya, ‘Senandika: Bercakap Seorang Diri’ yang disiapkan dalam tempoh empat bulan malah beliau berhasrat untuk menerbitkan edisi kedua tidak lama lagi.
Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan naskah itu boleh mendapatkan maklumat lanjut termasuk mengenai pembelian di laman sosial Instagram, @maliahsurip.
Terlalu emosi punca ramai wanita Malaysia anxiety
Pensyarah Kanan Psikologi Klinikal di Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Roseliza Murni Ab. Rahman mengakui lebih ramai wanita dikesan mengalami sindrom keresahan atau anxiety berbanding lelaki.
Hal itu kerana, katanya, wanita cenderung bersikap lebih emosi, bahkan sangat akrab dengan perasaan mereka.
“Hampir semua perkara mahu difikirkan mereka, malah kaum Hawa juga cepat tertekan hingga membawa kepada peningkatan tahap keresahan.
“Daya tindak wanita apabila tertekan juga berbeza dengan segelintirnya cenderung untuk ruminate atau memikirkan masalah itu secara berterusan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kira-kira lapan juta rakyat Malaysia yang berusia antara 18 hingga 60 tahun dikesan berdepan anxiety dengan pesakit wanita akan terus meningkat dua kali ganda berbanding lelaki.
Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Datuk Dr. Andrew Mohanraj berkata, anggaran itu berdasarkan kajian peringkat global yang meramalkan 25 peratus penduduk dunia mempunyai gejala penyakit itu.
Menurut Roseliza Murni, antara penyebab lain yang mendorong wanita mengalami anxiety ialah perbezaan bahan kimia dalam otak dan perubahan hormon.
Katanya, peningkatan hormon estrogen dan progesteron semasa hamil misalnya boleh meningkatkan pemikiran berulang-ulang hingga mengganggu golongan itu.
Kerap takut, gelisah, tegang otot
Perasaan risau atau takut adalah sesuatu yang semulajadi bagi setiap insan apabila berdepan kejadian yang dianggap mengancam atau menakutkan.
Setiausaha Agung Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr. Noor Melisa Nor Hadi berkata, namun ia menjadi abnormal jika terjadi secara keterlaluan, kerap, tidak dapat dikawal dan mengganggu kehidupan seharian.
Ujarnya, sebagai contoh apabila seseorang takut keluar rumah dan mengelakkan aktiviti atau tempat tertentu.
Beliau yang juga pakar psikiatri berkata, tanda-tanda awal untuk individu mengesan simptom itu ialah dari segi psikologi menerusi ketakutan keterlaluan, gelisah, ketegangan otot, pemikiran yang tidak dapat dihentikan, cemas, gugup, mudah berasa marah, sukar menumpukan perhatian dan cepat lupa.
Katanya, dari segi fizikal pula apabila seseorang berdebar-debar, menggigil, tangan dan kaki berasa sejuk atau kebas, tidak senang duduk, loya, rasa tercekik walaupun tiada punca fizikal, perut tidak selesa atau pedih, pening dan seolah-olah mahu pitam.
“Tanda-tanda lain ialah kerap sakit badan dan kepala, sering penat, ketegangan otot terutama di leher dan bahu, sukar tidur dan selera makan terganggu.
“Otak wanita lebih sensitif berbanding lelaki terhadap hormon corticotropin-releasing factor (CRF) yang dirembeskan semasa stres di samping cenderung untuk meluahkan emosi dan tampil mendapatkan rawatan berbanding lelaki, sekali gus menyumbang kepada dapatan data serta statistik,” ujarnya.
Noor Melisa menjelaskan, terdapat beberapa kategori penyakit anxiety seperti GAD, panic disorder, social anxiety, fobia tertentu termasuk agoraphobia dan anxiety disebabkan penyakit lain atau penggunaan dadah.
Kata beliau, seseorang berisiko mendapat penyakit keresahan itu menerusi faktor genetik, stres berpanjangan, pengalaman traumatik, cara didikan ibu bapa semasa kecil di samping personaliti yang cenderung terlalu risau dan rendah diri serta penyakit kronik dan penggunaan dadah atau alkohol. – UTUSAN ONLINE