WALAUPUN telah kembali kepada fitrah seorang lelaki sejak 12 tahun lalu daripada kehidupan mak nyah, namun akui Mohd. Khariri Mohamad Ramli atau lebih dikenali sebagai Cikgu Ery, sehingga kini dia masih lagi dihujani ‘lamaran’ lelaki terhadapnya.
Ujar Cikgu Ery, 46, naluri atau keinginan songsang kebanyakan transgender atau golongan LGBT masih lagi ada malah sukar dimusnahkan tetapi ia berbalik kepada individu yang berubah.
“Bekas golongan LGBT masih mempunyai naluri atau keinginan songsang. Cuma hanya dapat dipositifkan tetapi tidak boleh dimusnahkan sebab takdir golongan ini dianugerahkan dengan nafsu songsang sebagai ujian dalam hidup sehingga mati.
“Namun saya berbeza. Saya fikir dosa, mati, ibu, apa nak jadi dengan masa depan, sekolah dan sebagainya menyebabkan saya tiada keinginan untuk menerima ‘lamaran’, mempunyai teman lelaki mahupun sugar daddy.
“Saya sedar hidup saya lebih banyak pahit daripada manis. Jadi, saya fikir saat berumur dan kematian. Itu yang buat saya berubah terutama melihat orang sekeliling yang rapat, satu demi satu pergi meninggalkan kita. Saya jadi insaf dan fikir panjang. Alhamdulillah berkat doa daripada ibu juga,” kongsinya ketika dihubungi baru-baru ini.
Kata beliau yang bergelar pendidik di sebuah sekolah di Selangor, bukan mudah untuk ada kesedaran berubah tetapi apabila diuji dengan sesuatu yang menyakitkan hati, malapetaka atau apa sahaja ujian maka keinginan kembali kepada fitrah akan datang dengan sendirinya.
“Saya dah lama nak berubah tapi tiada kekuatan dan sokongan sebelum ini. Walaupun keluarga beri sokongan tetapi gelora remaja ketika itu membuak-buak ingin menjadi seorang wanita tanpa memikirkan kesannya,” tuturnya.
Cikgu Ery mula berubah ke arah positif dan menjadi lelaki semula pada 2011. Sejak kecil lagi anak kelahiran Ipoh, Perak ini mempunyai perwatakan yang lemah-lembut, suara yang feminin yang tidak dibuat-buat.
Kehidupannya bergelar mak nyah tegar bermula selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan melanjutkan pengajian ke universiti. Di situlah banyak peluang jumpa rakan senasib dan kejutan budaya dalam dunia LGBT.
“Saya menggelarkan diri saya transgender tegar kerana mengambil ubat-ubatan, vitamin dan pil hormon lepas SPM.
“Apabila ada sumber kewangan, saya melakukan suntikan, pembedahan kecil di muka, rahang, dagu, pipi, dahi, badan serta pinggul,” kongsinya yang berhabis ratusan ringgit di Hatyai, Thailand dan rawatan dalam negara ketika 19 tahun semata-mata untuk kelihatan seperti wanita.
Kata beliau, terjebak dengan kehidupan mak nyah sekalipun jangan sesekali mendekati dengan dadah kerana ramai yang berjaya dan dapat ubah hidup tetapi golongan ini tidak berbahaya.
SELAMI DUNIA LGBT SEBENAR
Bagi Cikgu Ery, perubahan itu biarlah datang daripada hati dan diri sendiri.
Golongan LGBT ini akan kembali pada fitrah dengan cara baik atau sebaliknya tetapi elak untuk menghukum atau memberi kecaman kepada mereka.
“Perlu duduk sama rendah berdiri sama tinggi. Saya mengajak ramai mak nyah untuk berubah. Saya ajak mereka ke umrah supaya dapat rasai perubahan perlahan-lahan.
“Jangan memaksa mereka melakukan perubahan drastik kerana saya juga berada di tempat mereka dahulu,” katanya yang pernah berhubung dengan pempengaruh dan usahawan kosmetik, Sifu Lentik atau allahyarham Muhd. Irfan Abdullah yang meninggal dunia dipercayai menghidap kanser baru-baru ini.
Pesan beliau, pendekatan berhemah perlu dipraktikkan untuk kembalikan golongan LGBT untuk mendekati agama terutama dalam menyantuni mereka.
“Elak dan jangan beri tekanan kepada golongan LGBT. Khususnya para ilmuwan dan agamawan yang saya rasa ramai lagi perlu belajar kehidupan mak nyah sebenar, turun ke lapangan untuk selami golongan ini dan bukan hanya berkata-kata sahaja. Tidak boleh syok sendiri dan harus tahu cara penyampaian yang sesuai supaya mereka akhirnya kembali kepada fitrah,” ujarnya.
Cikgu Ery turut berkongsi kisah hidupnya yang penuh liku dan kegelapan menerusi buku berjudul Maaf Tuhan Aku Tersalah Langkah supaya dapat memberi pengajaran kepada masyarakat.
LGBT TERPERANGKAP DENGAN DISFORIA
KEBANYAKAN golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang terperangkap atau mempunyai krisis dengan jantina dikategorikan sebagai disforia jantina ataupun gender disforia (GD).
Disforia jantina bukan bermaksud seseorang itu sengaja ingin merubah dirinya.
Namun mereka dihantui satu rasa yang amat kuat mengenai jantina sendiri hingga ia mampu mengganggu kehidupan seharian. Bahasa mudah adalah golongan ini menghadapi kekeliruan identiti.
Menurut Presiden Persatuan Kaunselor Pendidikan (PEKA), Datin Dr. Siti Taniza Toha, gangguan identiti jantina ini adalah keadaan yang mana seorang lelaki atau wanita menghadapi konflik diri untuk menerima jantina sendiri.
“Golongan ini juga boleh dilabel kecelaruan identiti. Rasa tidak selesa ini sangat kuat hingga ia boleh menyebabkan seseorang itu menghidap depresi dan kegelisahan yang melampau.
“Biasanya jika mahu kembali kepada fitrah, dalam tempoh berubah mereka jadi tidak tenang, mengalami tertekan, kemurungan, anxiety yang tinggi, tidak boleh bekerja dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kongsi beliau ketika bertugas sebagai kaunselor di Kementerian Pendidikan (KPM), pengalaman dalam mengendalikan kes-kes berkaitan masalah keluarga, sosial dan kewangan membawa kepada timbulnya kes transgender yang meninggalkan kesan terhadap kehidupan mereka.
“Yang datang bukanlah terus berkongsi mengenai isu transgender tetapi lebih kepada tiga masalah tersebut. Ada yang terperangkap dengan emosi tetapi setelah dibimbing mendapati keluarga tidak sokong, dipandang serong oleh rakan dan mempunyai masalah sosial lain.
“Malah ada juga yang berhabis duit untuk proses menjadi wanita atau lelaki. Kesan psikologi kewangan dalam mencari wang bagi pembelian ubat-ubatan, pil hormon, rawatan, pembedahan dan sebagainya memberi tekanan buat mereka.
“Contohnya, rawatan di Thailand dan Korea yang menawarkan pembedahan mendapatkan bentuk tubuh wanita termasuk ‘memotong’ bahagian kemaluan capai kos kira-kira RM100,000,” jelasnya.
Manakala kesan psikologi pula ujar beliau, golongan ini sentiasa tidak berpuas hati tentang diri yang menginginkan menjadi seorang wanita atau lelaki.
“Jadi, mereka akan kerap rasa terasing dengan jantina sebenar, dilabel menerusi tanggapan negatif, terhina, dihukum dan sebagainya,” jelas Siti Taniza.
Bekas mak nyah perlu saling bantu
Meskipun ada antara golongan ini akhirnya akan memenuhi fitrah dengan berkahwin dan mempunyai anak namun sebaliknya masih boleh kembali kepada kegiatan asal.
“Sukar untuk kawal diri untuk berubah atau menghentikan naluri songsang. Ia biasanya akan berhenti apabila hormon menurun dan capai umur 55 tahun ke atas maka mereka akan bertaubat dan kembali pada fitrah,” ujarnya.
Siti Taniza berkata, individu yang hanya boleh menyelami dan membawa golongan ini ke pangkal jalan adalah mereka yang telah pulih dan kembali kepada fitrah.
“Jika orang biasa mahupun agamawan yang tiada ilmu tentang GD pasti hanya tahu menghukum kerana kita hanya mengalami nafsu normal.
“Bekas mak nyah tahu bagaimana cara membantu kumpulan itu kerana berpengalaman dan berada di tempat mereka sebelum ini.
“Jadi, nasihat saya, transgender yang sudah berubah eloklah belajar psikologi, kaunseling dan agama supaya tahu teknik yang sesuai untuk ‘masuk jarum’ dalam suasana golongan ini dan menarik mereka untuk berubah,” tegas beliau.
Kaunselor sendiri perlu turun padang jelaskan pada mereka tentang perwatakan lembut atau kasar mahupun melakukan pekerjaan berlainan jantina tidak salah asalkan tidak menukar jantina.
“Apabila menggunakan nasihat agama, tidak boleh terus kata itu ‘haram’ atau judge mereka tetapi terokai dahulu apa yang mereka mahu dan kongsikan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, biarpun golongan ini dilabel menyimpang dan dipinggirkan, namun ketahuilah Allah SWT uji hamba-Nya dengan ujian nafsu, songsang sebegini.
“Anggaplah ujian Allah adalah satu kelebihan untuk mempelajari tentang personaliti selain dapat menasihati dan membawa orang lain untuk tidak terjerumus untuk tukar jantina.