“KENAPA anak awak kurus sangat? Banyakkan minum susu dan makan nanti sihat macam anak saya.”
Ramai ibu bapa runsing jika si cilik mereka ditegur bermasalah gara-gara bertubuh kecil berbanding anak saudara-mara atau rakan-rakan.
Hal itu kerana kebanyakan masyarakat masih menganggap bayi atau kanak-kanak sihat perlu memiliki badan yang montel atau tambun.
Ciri itu seolah-olah wajib ada bagi setiap anak-anak dan paling baik jika lahir-lahir terus berisi.
Presiden Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS), Dr. Nurain Mohd. Noor berkata, persepsi salah itu perlu diubah segera kerana saiz fizikal bukan pengukur tahap kesihatan anak-anak.
Beliau sekali gus mengingatkan orang ramai untuk tidak sesekali menggalakkan anak-anak montel sejak kecil kerana mampu mendorong risiko obesiti dan penyakit-penyakit lain.
“Galakan sejak kecil bertubuh ‘montel’ boleh menyebabkan berat badan jadi berlebihan malah sukar mengawal pemakanan.
“Walaupun ada beberapa kes, berat anak montel boleh menurun apabila mereka bersekolah dan sebagainya tetapi ada juga yang kekal berisi serta obesiti hingga dewasa,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) untuk Pengurusan Obesiti (edisi kedua) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Perasmian majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Cawangan Perkembangan Perkhidmatan Perubatan, Dr. Mohd. Ridzwan Shahari.
Separuh rakyat Malaysia obes
Sementara itu, Nurain bimbang dengan kes obesiti di Malaysia yang melonjak, setiap tahun.
Pakar perunding kanan endokrinologi itu berkata, separuh daripada 33 juta penduduk di negara ini diklasifikasikan mempunyai berat badan berlebihan atau obes.
Kata beliau, penemuan itu diperoleh hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019.
“Dalam kajian pada 2011, kadarnya ialah 44.5 peratus, namun meningkat kepada 50.1 peratus, lapan tahun kemudian.
“Trend sama dilihat dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Pada 2011, kadar obesiti bagi mereka yang berumur antara lima hingga 17 tahun ialah 6.1 peratus tetapi jumlahnya naik dua kali ganda kepada 14.8 peratus pada 2019,” katanya.
Makin ramai orang muda obes
Jelas Nurain, peningkatan itu dianggap mengejutkan kerana semakin ramai orang muda dikesan obes.
Tambah beliau, situasi buruk tersebut mendorong kepada ramalan lonjakan penghidap penyakit itu di negara ini tidak lama lagi.
Ujarnya, berat badan berlebihan merupakan masalah kesihatan yang serius kerana mampu meningkatkan risiko penyakit kronik seperti hipertensi, diabetes jenis dua, penyakit arteri koronari di samping kanser.
Garis panduan baharu
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan CPG, Prof. Dr. Norlaila Mustafa berkata, garis panduan baharu yang diperkenalkan itu menggabungkan kepakaran daripada pelbagai bidang seperti endokrinologi, psikologi, dietetik, perubatan sukan, perubatan keluarga dan juga endokrinologi pediatrik.
Katanya, wujud keperluan untuk menggunakan pendekatan yang lebih holistik serta komprehensif dalam usaha memerangi masalah berat badan berlebihan dan obesiti. – UTUSAN ONLINE