REKAAN abaya yang lebih minimalis dan glamor sesuai digayakan ketika Hari Raya Aidiladha.
Nour Series daripada Hijabistahub ini mengambil Inspirasi daripada abaya gaya Timur Tengah untuk tampil unik, bergaya, elegan namun lebih sopan.
Sentuhannya menggabungkan konsep minimalis dengan penggunaan bahan yang selesa seperti chiffon, satin, organdi, pleated serta renda atau hiasan yang sesuai dengan citra masa kini.
Walaupun rekaannya menekankan pada siluet mengikut potongan badan, namun ia masih mengekalkan elemen feminin yang sopan dan anggun.
Terdapat enam rekaan menarik dalam koleksi Nour kali ini.
Setiap rekaan terdiri daripada lima hingga enam warna yang dipilih dengan teliti.
Walaupun warnanya terang, penggunaan renda dan hiasan yang versatil memberikan sentuhan yang menarik pada setiap abaya.
Koleksi ini menawarkan pilihan yang menarik kepada pencinta fesyen untuk tampil dengan gaya minimalis namun si pemakai akan kelihatan mewah dan glamor.
Dengan material selesa dan hiasan yang sesuai, setiap rekaan dalam Nour Series memukau mata dan memenuhi cita rasa fesyen masa kini. – UTUSAN ONLINE