SELEPAS 15 tahun melancarkan klon kopi Liberica MKL 7, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berjaya menghasilkan tiga lagi klon jenis sama yang ditingkatkan kualitinya.
Klon dikenali sebagai klon 213 (MKL 8), 222 (MKL 9) dan 224 (MKL 10) itu mempunyai peratus pertukaran kopi jambu ke kopi beras yang tinggi antara 9.9 hingga 10.8 peratus, iaitu 25 peratus lebih tinggi daripada klon kopi Liberica komersial MKL 7.
Pegawai Penyelidik Kanan MARDI, Noor Syahira Nasarudin berkata, peratus pertukaran yang tinggi menunjukkan kadar pemulihan kopi beras daripada kopi jambu adalah lebih baik.
“Susulan itu, purata hasil kopi beras MKL 8 (2.0 hingga 2.5 t/ha), MKL 9 (1.9 hingga 2.7 t/ha) dan MKL 10 (2.1 hingga 2.7t/ha) boleh mencapai sehingga 108 peratus lebih tinggi berbanding MKL 7 yang telah disyorkan sebelum ini.
“Purata hasil kopi jambu bagi set klon kopi Liberica baharu ini di antara 17 hingga 25 t/ha, sehingga 60 peratus lebih tinggi daripada hasil klon kopi komersial sedia ada,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di stesen utama penyelidikan kopi di Kluang, Johor.
Sejak 1980-an, inisiatif kajian tanaman kopi yang dijalankan itu berjaya membangunkan dan memperkenalkan enam klon kopi Liberica yang berhasil serta berkualiti tinggi.
Teras utama penyelidikan dalam tanaman kopi adalah pembaikbakaan; agronomi; penyakit dan perosak; pengendalian lepas tuai; pembangunan produk hiliran serta ekonomi pengeluaran dan pasaran.
Hasil tinggi
Tambah Noor Syahira, klon kopi Liberica terbaharu itu mempunyai kualiti biji kopi yang lebih baik daripada kopi jenis Arabica dan Robusta yang terdapat di pasaran.
Katanya, kualiti kopi ditentukan melalui kajian fitokimia ke atas bijinya .
“Set ketiga klon Liberica terbaharu ini mempunyai nilai lebih baik bagi enam parameter kualiti yang dikaji iaitu dari segi aktiviti antioksidan melalui dua kaedah pengujian iaitu aktiviti pemusnahan radikal (1.00 hingga 1.15 mg/ml) dan aktiviti penurunan ferik (0.04 hingga 0.15 mol Fe/mg).
“Selain itu, jumlah kandungan fenol (11.43 hingga 21.94 mg GAE/g), kandungan flavonoid (5.11 hingga 10.77 mg RE/g), kandungan asid klorogenik (3.35 hingga 7.18 mg/g) dan kandungan kafein (3.97 hingga 9.89 mg/g),” ujarnya lanjut.
Selain itu, ketiga-tiga klon baharu yang dibangunkan itu mampu meningkatkan produktiviti tanaman kopi berdasarkan potensi tinggi kopi beras.
Dengan anggaran purata hasil kopi jambu bagi klon kopi baharu sebanyak 19.5 t/ha, jumlah pengeluaran kopi di Johor misalnya, dianggarkan boleh mencapai sehingga 1,775 mt iaitu merangkumi hampir 53 peratus pengeluaran kopi dalam negara yang direkod pada 2020.
Oleh itu, set klon berkenaan dapat meningkatkan hasil pendapatan petani dan pengusaha kopi.
Katanya, harga pasaran kopi beras lebih tinggi sekitar RM19.15 per kilogram (kg) berbanding kopi jambu RM1.67 per kg.
“Berdasarkan kajian fitokimia, klon kopi Liberica baharu ini juga mempunyai kualiti biji kopi yang lebih baik dan berpotensi tinggi untuk dibangunkan sebagai produk premium kopi Liberica dengan fungsi kesihatan,” jelasnya.
Sementara itu, satu prosedur turut dibangunkan melalui kajian pemilihan dan penentuan segmen keratan yang sesuai, kaedah pembiakan terbuka dan tertutup, tempoh optimum secara tertutup dan teknik penyediaan keratan bagi kopi Liberica.
Katanya, pembiakan melalui keratan menggunakan tunas orthoropic, segmen keratan kayu lembut yang mengandungi dua nod dengan pangkal keratan tunas dipotong secara tirus atau ‘V’.
“Peratus kejayaan bahan tanaman kopi Liberica berjaya ditingkatkan melebihi 80 peratus.
“Anak pokok yang terhasil mencapai ketinggian 36 sentimeter, diameter batang 7.8 milimeter dan bilangan daun sehingga 10 helai selepas sembilan bulan dan didapati sesuai dipindahkan ke ladang,” jelasnya. -UTUSAN