KADAR hipertensi di Malaysia kini di tahap sangat tinggi dengan tiga daripada 10 orang dewasa terjejas oleh situasi kronik itu.
Malangnya, masih ramai yang mengambil mudah mengenai perkara itu, malah kira-kira separuh daripadanya tidak sedar mereka dijangkiti kerana tiada gejala ketara hipertensi.
Pakar Perubatan Keluarga di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof. Madya Dr. Verna Lee Kar Mun berkata, hipertensi atau tekanan darah tinggi merupakan pembunuh senyap dan boleh membawa kepada komplikasi serius seperti strok dan kegagalan organ dalam badan.
Katanya, jika muncul tanda-tanda amaran seperti penglihatan kabur, pening-pening, sakit dada dan kesukaran bernafas, itu bermakna komplikasi sudah pun berlaku.
“Faktor-faktor risiko termasuk sejarah keluarga, obesiti, gaya hidup tidak aktif dan diet yang tinggi kandungan garam.
“Jika mengalami kesemua faktor itu, berkemungkinan besar anda berisiko mendapat hipertensi,” katanya di sini baru-baru ini.
Hipertensi berlaku apabila saluran darah makin sempit sekali gus memaksa jantung bekerja lebih keras untuk meningkatkan jumlah dan mengekalkan aliran darah ke organ-organ utama.
Sehubungan itu, Verna menggariskan tiga perkara penting yang perlu dilakukan untuk memastikan tekanan darah dalam julat normal, sekali gus mengurangkan risiko mendapat komplikasi.
KENAL PASTI PUNCA DARAH NAIK
a) Hipertensi sekunder
Berlaku disebabkan oleh keadaan kesihatan lain misalnya apnea tidur okstruktif (OSA) yang lazim dialami individu obes di samping tiroid dan penyakit buah pinggang kronik seperti radang buah pinggang.
OSA menyebabkan nafas pesakit terhenti seketika yang membawa kepada hipoksia atau kekurangan oksigen dalam otak. Keadaan ini mencetuskan banyak tindak balas kepada badan termasuk penyempitan saluran darah dan lama-kelamaan mengakibatkan hipertensi sekunder.
Tiroid menghasilkan hormon-hormon yang membantu mengawal banyak fungsi dalam badan, termasuk emosi, tahap kecergasan, selera makan, tidur, kadar denyutan jantung dan tekanan darah. Oleh itu, adalah penting untuk merawat kedua-dua masalah tiroid dan hipertensi supaya tahap tekanan darah dapat diuruskan dengan lebih berkesan.
b) Ubat-ubatan tertentu
Ubat pelega (dekongestan) dan ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs) masing-masing meningkatkan tekanan darah. Walaupun pengambilan jangka pendek ubat-ubatan ini dianggap selamat, tetapi pesakit disaran mengikut nasihat doktor.
c) Tabiat pemakanan
Garam adalah punca utama hipertensi dan kebanyakan kita tahu kicap dan kuah dalam makanan mengandungi natrium yang tinggi. Adakalanya makanan yang tidak begitu masin pun tinggi kandungan natrium. Bagaimanapun, memakan makanan tinggi potasium seperti pisang, kekacang dan buah-buahan sitrus dapat membantu mengawal tahap tekanan darah.
BANTU DOKTOR URUS TEKANAN DARAH
Segelintir pesakit tidak bersikap jujur dengan doktor apabila berahsia mengenai suplemen herba atau ubat tradisional Cina yang diambil.
Malah, ada juga yang takut berterus-terang sudah berhenti makan ubat ditetapkan kerana merasakan diri sihat di samping bimbang kesan sampingan.
Sikap sedemikian tidak wajar diamalkan, sebaliknya, pesakit perlu terbuka tentang kesihatan keseluruhan mereka termasuk, sejarah hipertensi dalam keluarga dan tabiat gaya hidup bagi memudahkan doktor membantu.
Doktor boleh membantu menetapkan sasaran dengan menggunakan bacaan tekanan darah selain merancang pelan pengurusan berat badan anda.
Kedua-dua perkara tersebut dapat menyokong keberkesanan ubat-ubatan yang diberikan.
SENTIASA PERIKSA TEKANAN DARAH
Walaupun anda sihat, tetapi pemeriksaan tekanan darah perlu dilakukan dengan kerap atau sekurang-kurangnya setahun sekali, sama ada di rumah atau klinik.
Tekanan darah lazimnya naik sedikit jika seseorang tidak sihat, tetapi tidak akan melepasi 140/90. Hanya bacaan melebihi 140/90 secara konsisten yang didiagnosis sebagai hipertensi.
Individu yang mempunyai sejarah hipertensi, berisiko tinggi untuk menghidapnya dan perlu lebih kerap mendapatkan pemeriksaan supaya tekanan darah tinggi dapat diteliti oleh doktor.
Kekerapan pemeriksaan membolehkan hipertensi dikesan lebih awal dan perubahan gaya hidup serta rawatan dapat dibuat.
Bagi individu yang didiagnosis hipertensi, mereka perlu mempunyai alat untuk memantau tekanan darah di rumah. Berbincang dengan doktor mengenai kekerapan pemeriksaan tekanan darah yang perlu dilakukan. – UTUSAN