FOTOGRAFI dron adalah rakaman imej dan video oleh kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) yang dikendalikan dari jauh, juga dikenali sebagai sistem pesawat tanpa pemandu (UAS).
Dron menjadi semakin popular kerana ia mampu merakam imej yang biasanya sukar untuk dirakam dari daratan. Ia boleh terbang tinggi dan merakam imej dengan melihat secara lurus ke bawah seperti pandangan mata burung.
Dengan kemahiran mengawal dron secara terlatih, anda boleh meneroka di setiap sudut dari atas untuk mendapatkan rakaman imej yang menakjubkan.
Dengan ketinggian dimiliki, anda akan menemui landskap yang berubah dan pemandangan mengagumkan dari pandangan mata burung yang tidak dapat diakses oleh jurufoto dari sudut darat.
Salah satu teknik dron yang popular ialah teknik merakam imej secara menegak di atas subjek. Selain itu, penggunaan jenis dron juga menjadi aspek penting di mana terdapat pelbagai jenis dron yang dijual di pasaran.
Terdapat beberapa tips yang boleh diambil perhatian sebelum menerbangkan dron antaranya, anda perlu memerhati keadaan sekeliling dan cuaca. Pastikan anda berada jauh dari kawasan yang terlalu banyak halangan.
Ini bagi memudahkan anda mengendalikan dron tanpa ada halangan. Kedua, perhatikan keadaan angin. Semakin tinggi anda terbang semakin kuat rintangan angin dan dron akan berada dalam keadaan kurang stabil.
Seterusnya, terbang dengan perlahan dan tenang bagi mengelak kemalangan yang tidak diingini. Sebelum melakukan penerbangan, langkah terbaik adalah meninjau lokasi dan memetakannya dengan Google Earth.
Dengan cara ini, anda akan mengetahui kedudukan pokok, wayar elektrik, bangunan dan halangan lain bagi mengelak sebarang kemalangan. Yang terakhir, ambil masa untuk membuat rakaman bagi memastikan imej dimiliki adalah berkualiti dan menakjubkan. -UTUSAN